Merdeka: Ketahui Empat Aspek Kita Masih ‘Dijajah’

Merdeka: Ketahui Empat Aspek Kita Masih 'Dijajah' | IKRAM

Saban tahun tarikh keramat 31 Ogos tidak pernah dilupakan dan tetap disambut dengan penuh kemeriahan dengan pelbagai acara seperti persembahan kebudayaan negara, pertandingan, perbarisan kemerdekaan oleh kementerian, agensi, jabatan, unit beruniform dan sebagainya.

Sebahagian masyarakat awam baik yang muda, belia, warga emas akan menyambutnya dengan pelbagai cara serta gaya. Terdapat juga sesetengahnya mengambil peluang bercuti dan melancong bersama keluarga, lebih-lebih lagi pada tahun ini, sambutan merdeka jatuh pada musim cuti persekolahan.

Apabila direnung dan dihayati pada sejarah, peristiwa, persekitaran, suasana sambutan kemerdekaan juga isu-isu semasa yang berlaku di negara ini, membuatkan diri tanda tertanya sendiri, apakah maksud merdeka sebenarnya?

Adakah sekadar berbangga dan bergembira dengan asbab tiada ‘penjajah fizikal’ walau masih terdapat lagi beberapa perkara yang masih ‘dijajah’ dalam kehidupan masyarakat? Antara jajahan yang belum merdeka sepenuhnya ialah jajahan dari sudut jasmani (fizikal), pemikiran, hati dan akhlak.

Apa itu merdeka?

Sebagaimana yang diketahui, merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain, tidak dikongkong dan tidak terikat. Merdeka itu membawa kepada ‘pemerdekaan’ iaitu satu perbuatan atau usaha untuk memerdekakan dan membebaskan daripada sesuatu.

Berdasarkan definisi merdeka di atas yang membawa maksud yang luas, tersurat dan tersirat, namun sesetengah daripada kita hanya melihat merdeka dari konteks sejarah dan politik, iaitu membebaskan negara atau bangsa daripada kuasa asing dengan memberikan hak kepada rakyat di negara tersebut untuk menguruskan diri mereka sendiri, menjalankan pemerintahan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

Merdeka fizikal

Secara jasmaninya, Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas daripada penjajah. Kita sudah bebas daripada penjajah Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824), British (1824-1941; 1945-1957) dan Jepun (1941-1945)  sejak 66 tahun yang lalu.

Sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu dijajah selama empat abad iaitu 446 tahun  yang bermula pada tahun 1511 sehingga 1957. 

Kini, jajahan berbentuk fizikal ditonjolkan dalam bentuk yang  lain iaitu masyarakat masih belum bebas daripada berpakaian, masih terdapat segelintir masyarakat tanpa segan silu berpakaian mencolok mata, tidak menutup aurat dan mendakwanya sebagai fesyen atau busana ‘muslimah’.

Namun, ia dicemari dengan jenis fabrik yang kurang sesuai untuk menutupi anggota badan, terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan, warna kulit dan pakaian dalam. 

Terdapat juga individu yang masih berbangga menggayakan simbol-simbol ‘penjajah’ pada pemakaian mereka atas alasan mengikut trend semasa dan terkini. Bentuk jajahan fizikal yang lain ialah negara  belum bebas sepenuhnya dari aspek kebersihan. Lihat sahaja di taman-taman awam, kawasan perumahan, longkang, sungai, tepi pantai, jalan raya yang masih menjadi tempat pembuangan sampah.

Alam sekitar di sesetengah tempat belum bebas sepenuhnya, tidak dijaga, dipelihara dan dipulihara dengan baik sehingga terjadinya masalah banjir kilat. Selain itu, projek pembinaan rumah yang terbengkalai, kawasan rumah yang kotor, tidak diurus, jalan raya yang tidak selamat, masih berlubang, bertampal-tampal yang menunjukkan tiada usaha mahu ‘membebaskan’ kawasan fizikal tersebut daripada kemudaratan atau bencana yang akan muncul pada masa hadapan.

Justeru, bentuk ‘jajahan’ fizikal ini perlu dibebaskan dengan kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan kelestarian negara terus utuh baik di peringkat nasional mahupun global serta dihormati.    

Merdeka pemikiran

Merdeka pemikiran ialah kita mengharapkan masyarakat Malaysia berfikiran kritis, kreatif, inovatif dan berfikir di luar kotak.

Apa yang dilihat kini, khususnya ciapan-ciapan yang dimuat naik di media sosial, terdiri daripada kandungan yang kurang bijak, seperti menyentuh isu agama, perkauman, raja-raja, tidak kurang juga yang membuka aib diri sendiri, pasangan mahupun keluarga.

Terdapat juga individu yang menggunakan alasan berjenaka dan hiburan semata dengan memuat naik kandungan berunsurkan lucah, memaki hamun, mengecam, menghina, mengeluarkan kata-kata kesat, body shaming, bergaduh, berlumba dan memandu secara berbahaya di jalan raya, menjadi ‘penonton’ di kawasan kemalangan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang.

Pemikiran tidak merdeka ini tidak hanya berlaku pada peringkat masyarakat sahaja, malah berlaku juga pada peringkat pemimpin melalui perbahasan mereka di Dewan Rakyat dengan pelbagai ragam dan drama yang dapat ditonton secara langsung oleh rakyat. 

Pemikiran yang merdeka ialah individu itu membebaskan diri daripada pemikiran negatif, mampu berfikir secara matang, kritis, sentiasa belajar mencari ilmu baik formal atau informal, berfikiran terbuka, memberi pandangan yang konstruktif, menyelesaikan masalah secara rasional, berlandaskan fakta, data dan bukti, bukannya emosi.

Selain itu, mereka menganalisis maklumat yang diterima, membuat penilaian, mencari rujukan yang tepat daripada sumber yang  berautoriti, benar dan diyakini, bukan berguru dan ‘bertaklid’ secara semberono dengan ‘Google’ bagi mencari jawapan terhadap masalah yang dihadapi.

Tidak terkecuali bagi individu yang aktif di media sosial, mereka mampu menapis segala maklumat yang diterima, dengan memahami, meneliti terlebih dahulu sebelum terus menyebarkan dan berkongsi dengan rakan-rakan di media sosial. 

Merdeka pemikiran untuk pelajar sekolah dan di institut pengajian tinggi pula perlu mengaplikasi serta mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian, tidak hanya mempelajari teori dan dimuntahkan ketika peperiksaan berlangsung.

Mereka juga perlu bersemangat dalam mereka cipta sesuatu yang baharu, memberi manfaat, berfikir secara kreatif, saintifik, berinovasi dan berdaya saing terhadap sumber yang ada.

Bagi individu yang mempunyai pemikiran keusahawan atau yang masih belum mendapat pekerjaan, mereka perlu sentiasa melihat masalah sebagai peluang untuk mereka cipta sesuatu yang diperlukan sebagai penyelesaian masalah yang dihadapi.

Kita sepatutnya tidak hanya menjadi pengguna tetapi pencipta kepada produk tersebut. Bebaskan fikiran “saya tidak boleh” kepada “saya boleh” atau “saya mampu dan saya akan menyelesaikannya.” Ini secara tidak langsung mampu meningkatkan kesihatan mental, berkeyakinan diri, serta memacu kualiti kehidupan secara keseluruhan.

Merdeka hati

Ibnu Manzur dalam Lisan al-‘Arab menyebut qalb sebagai segumpal daging (mudghah) yang tergantung pada sesuatu. Sebagaimana dalam Macmillan English Dictionary menjelaskan, hati bermaksud jantung iaitu organ yang berada di dalam badan yang mengepam darah,  terletak di kawasan dada.

Imam al-Ghazali pula mendefinisikan hati mempunyai dua takrifan. Pertama, hati berbentuk fizikal iaitu daging yang (berbentuk bundar memanjang) terletak di bahagian kiri dada, di dalamnya terdapat rongga-rongga yang menyalurkan darah hitam dan berperanan sebagai sumber nyawa manusia.

Kedua, hati spiritual iaitu sesuatu yang bersifat halus dan bersifat ketuhanan. Hati dalam definisi kedua ini menggambarkan hakikat diri manusia yang mana hati berfungsi untuk merasai, mengenali dan mengetahui sesuatu perkara atau ilmu. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;

“Ketahuilah bahawa dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruhnya dan apabila rosak, rosaklah sekaliannya. Itulah dinamakan hati.” (HR Bukhari, No. 52)

Daripada maksud hati yang dijelaskan di atas, setiap individu perlu membersihkan hati agar  fungsi manusia sebagai khalifah mampu dilaksanakan dengan baik.

Justeru, hati dibebaskan daripada jajahan yang bersangka buruk, dengki, riak, ujub, takabur, kedekut, bersikap narsisistik, menabur fitnah, marah, lalai, mengadu domba, ragu-ragu, malas, terlalu cinta akan dunia dan sebagainya.

Apabila hati bebas daripada sifat-sifat mazmumah tersebut, maka tiada isu-isu yang masih mendapat liputan akhbar seperti mempercayai dan melakukan amalan sihir, santau, khurafat, tangkal, azimat, perubatan batin dan mengamalkan ajaran sesat.

Merdeka daripada penyakit hati di tempat kerja ialah disiplin, menepati masa, tekun, mempunyai matlamat, bekerja secara berpasukan, menyimpan rahsia, berintegriti, mengamalkan budaya kerja kondusif, mengelakkan politik pejabat, mengelakkan budaya saling menjatuhkan, melaksanakan kerja secara berstruktur dan sebagainya.

Apa yang penting ialah hati melaksanakan kerja sebagai ibadah dengan perasaan yang ikhlas serta meletakkan ganjaran pahala dan Allah sebagai matlamat melunaskan amanah yang diberikan berbanding dengan niat menunjuk-nunjuk.

Individu yang berjaya membebaskan hati daripada perasaan negatif merupakan mereka yang merdeka kerana hati berperanan menentukan akhlak seseorang. Ini adalah kerana, hati umpama raja yang mengawal semua kegiatan yang berlaku pada roh, nafsu dan akal. 

Merdeka akhlak mazmumah

Sebagaimana dijelaskan di atas, hati menentukan akhlak seseorang, apabila hati itu sudah dibuang dengan sifat jajahan berbentuk negatif, maka akan membentuk individu yang mempunyai peribadi mulia serta dihormati.

Lihat sahaja dari dahulu dan kini, masalah sosial masih terus berlaku seperti tiada nokhtahnya, baik dari kanak-kanak, remaja, belia, dewasa sehinggalah ke hujung usia, tanpa mengira jantina, bangsa, status dan agama.

Ia termasuk isu buli, ponteng sekolah, gengsterisme, vandalisme, masalah hamil luar nikah, zina, bersekedudukan, kecelaruan jantina, kecelaruan identiti, terlibat dengan jenayah kolar putih atau biru, bunuh diri, tidak solat, tidak puasa ketika bulan Ramadan, rasuah, minum arak, merogol, membunuh, tiada adab di media sosial, buli siber, keyboard warrior, attention seeker, menyebarkan aib, menjadi scammer, menipu dalam talian, menjual produk yang tidak berkualiti dan pelbagai lagi.

Contoh-contoh tersebut menunjukkan masih lagi terdapat jajahan dari aspek akhlak yang masih belum dibersihkan sepenuhnya. Kini, sudah sampai masanya masyarakat Malaysia menilai dan memahami apakah erti merdeka.

Benar, Malaysia merupakan bumi bertuah yang mampu berdiri sendiri, mempunyai perlembagaan dan kerajaan sendiri tanpa campur tangan daripada pihak penjajah asing, namun tanpa disedari arus kemodenan teknologi yang semakin canggih merupakan ‘kuasa penjajah’ dalam bentuk versi yang moden.

Masyarakat perlu sedar bahawa laungan merdeka bukanlah hanya sekadar laungan yang menunjukkan negara telah bebas daripada penjajah, terdapat satu perkara yang lebih daripada itu iaitu negara memerlukan rakyatnya, masyarakatnya yang merdeka daripada sifat-sifat negatif yang masih menjajahi diri.

Semoga semangat itu dihayati dan ditelusuri dengan melihat apa yang tesurat serta tersirat di sebalik merdeka. Harapannya sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun ini lebih bermakna, di mana rakyat Malaysia menilai erti merdeka yang sebenarnya. 

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi 
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial
Open Universiti Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia