Menyemai Semangat Berkorban Sebagai Sendi Kehidupan

Menyemai Semangat Berkorban Sebagai Sendi Kehidupan | IKRAM

Setujukah anda jika saya katakan bahawa semakin tinggi nilai cinta manusia terhadap sesuatu atau seseorang, semakin tinggi kesanggupannya untuk berkorban?

Lihat sahaja kasih seorang ibu yang menjadikannya manusia yang paling menyayangi anak hingga sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan anak yang dilahirkan. Pandang pula sayang seorang anak kepada kedua-dua ibu bapanya hingga menerbitkan ketaatan yang membuahkan pahala.

Masya-Allah… Begitu jugalah cintanya manusia kepada pasangan dan keluarga, lalu apa sahaja yang membahagiakan akan dilakukan sehabis upaya. Bahkan pepatah Melayu ada mengatakan, “lautan api sanggup kurenangi.”

Dalam kehidupan kita, pengorbanan merupakan aspek penting yang menjadi sendinya. Seperti dalam tubuh manusia, sendi ialah rangkaian artikulasi yang menghubungkan tulang-tulang yang ada.

Sendi memberikan fleksibiliti untuk anggota tubuh bergerak dengan baik. Bayangkan jika tubuh tiada sendi yang berfungsi, maka mobiliti badan akan terganggu.

Dengan kata lain, sendi memastikan tubuh dapat bergerak dengan baik demi memastikan kehidupan manusia dapat diteruskan dengan sejahtera. Hal ini bermakna, jika sendi mempunyai masalah, pergerakan manusia turut akan terjejas atau tergendala.

Berkorban dianggap sebagai sendi kepada kehidupan. Ia bermaksud bahawa dengan pengorbanan yang dilakukan, kelangsungan hidup manusia dapat diteruskan. Ibarat sendi kepada tulang, pengorbanan menyebabkan perjalanan kehidupan manusia boleh berlaku dalam suasana yang teratur.

Erti pengorbanan

Pengorbanan pada asasnya ialah mengetepikan kepentingan sendiri demi kepentingan orang lain. Pada satu sudut, pengorbanan ialah sesuatu yang menyakitkan dan menyusahkan.

Namun Islam datang membawa persepsi yang berbeza mengenai pengorbanan. Pengorbanan dalam Islam ialah satu konsep yang penting dan aplikasinya berlaku secara meluas.

Lantaran kepentingan itu, peringatan tentang mulianya berkorban diulang-ulang saban tahun lewat Aidiladha yang dirayakan pada bulan Zulhijah. Aidiladha ialah perayaan simbolik kepada pengorbanan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada Tuhannya.

Kisah pengorbanan keluarga Nabi Allah Ibrahim a.s. menjadi lambang keimanan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba demi menjunjung perintah Allah SWT.

Nabi Ibrahim juga telah menunjukkan bahawa baginda lebih mengutamakan kepentingan Allah daripada kepentingan dunia, isteri apalagi anaknya.

Jika diikutkan rasa kasih sayang dan cinta seorang ayah, Nabi Ibrahim tidak akan pernah sanggup untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Namun, keimanannya yang tinggi kepada Allah SWT membuatkan baginda sanggup untuk melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Ranah pengorbanan seorang Muslim

Dalam konteks kehidupan seorang Muslim, pengorbanan bukan sahaja merujuk kepada tindakan fizikal tetapi juga melibatkan aspek spiritual, emosi dan material.

Masa merupakan “modal” dan “aset” seorang hamba yang sangat bernilai. 

Seorang Muslim yang taat perlu mengorbankan masa mereka untuk beribadah seperti solat lima waktu, membaca al-Quran dan menghadiri majlis ilmu. Ia menunjukkan komitmen mereka kepada Allah dan usaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Antara bentuk pengorbanan fizikal yang mudah kita nampak ialah pengorbanan harta dalam pelbagai bentuk seperti zakat dan sedekah serta infak. Seorang Muslim mengorbankan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membantu golongan yang memerlukan. Sikap  seperti ini membentuk sifat empati dan kasih sayang dalam komuniti.

Pengorbanan juga boleh berlaku pada aspek spiritual dan emosi. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam sebagaimana ketika berpuasa pada bulan Ramadan adalah bentuk pengorbanan nafsu. Ia membantu seorang Muslim membina disiplin diri dan ketakwaan kepada Allah. 

Umat Islam juga dilatih untuk mengorbankan kepentingan peribadi jika terdapat kepentingan lain yang lebih utama.

Konsep ‘ithar’ yang dipromosikan oleh para sahabat iaitu mendahulukan orang lain dalam memberikan kebaikan sangatlah wajar diaplikasi. Menghulurkan kebaikan kepada orang lain atau memberikan kesenangan kepada golongan yang memerlukan dengan mengorbankan kesenangan diri merupakan pengorbanan yang tidak mudah.

Dalam konteks yang lebih luas, sejarah Islam dipenuhi contoh-contoh sahabat dan pejuang yang mengorbankan jiwa mereka untuk mempertahankan agama juga keadilan. 

Pengorbanan ini menjadi inspirasi dan teladan bagi umat Islam dalam menjalani kehidupan mereka. Dengan kata lain, pengorbanan dalam kehidupan seorang Muslim adalah satu perbuatan yang melibatkan kesanggupan untuk memberikan yang terbaik demi mencapai keredaan Allah, kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.

Ia juga adalah satu konsep yang memperkukuh ikatan spiritual dan sosial dalam kalangan umat Islam.

Menuai hasil pengorbanan

Berkorban berupaya membentuk nilai-nilai murni dalam diri individu dan keharmonian dalam masyarakat. Berkorban dalam melakukan ketaatan dapat meningkatkan keimanan kepada Allah Taala. Malah, pengorbanan tersebut ialah bukti kecintaan kita sebagai hamba kepada-Nya. 

Pengorbanan sudah pasti menyemai nilai-nilai seperti kesabaran, keikhlasan dan kedermawanan. Seseorang yang biasa berkorban akan lebih mudah mengembangkan sifat-sifat positif dalam diri mereka seperti empati dan kasih sayang terhadap orang lain.

Pengorbanan meningkatkan solidariti dan keakraban dalam komuniti. Apabila seseorang berkorban untuk membantu orang lain, dia sebenarnya memperkukuh hubungan sosial dan menyebarkan kasih sayang serta perasaan saling memahami dalam masyarakat.

Melalui pengorbanan seperti memberi sedekah dan membantu golongan yang memerlukan, masyarakat dapat berkembang dengan lebih sejahtera dan harmoni. Hal ini mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin serta dapat meningkatkan kesejahteraan sosial.

Pengorbanan yang ikhlas akan membantu manusia mencapai reda Allah Taala dalam hidupnya. Reda dan restu Allah dalam apa yang hamba-Nya lakukan sangatlah penting. Reda Allah dapat melapangkan dada dan mencerahkan masa depan seorang hamba. 

Menyemai semangat untuk berkorban

Pengorbanan memang mudah untuk dilafazkan, tetapi ia tidaklah mudah bagi sesetengah orang. Pahala berkorban sangat besar, justeru cabaran untuk melakukannya juga adalah besar. Pengorbanan hanya boleh dilakukan dengan keinginan yang tinggi dan didorong oleh rasa cinta dan kasih yang tulus.

Dorongan yang kuat pula perlu diiringi dengan ilmu dan kefahaman yang benar tentang sesuatu yang ingin dikorbankan. Kedua-duanya harus bergandingan demi mencapai tujuan utama pengorbanan iaitu reda Allah dan restu manusia yang menjadi motif pengorbanan.

Maka mulakanlah hari dengan pengorbanan-pengorbanan yang ikhlas walaupun kecil. Cubaan dan latihan akan menjadikan pengorbanan yang dilakukan dapat dibuat dengan lebih mudah.

Yang penting ialah keikhlasan pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan atau pujian. Jika dikejar penghargaan manusia, pengorbanan akan menjadi seperti fatamorgana. Tentunya jika diharap reda Allah Yang Esa, pengorbanan akan membuahkan kepuasan yang tiada tandingannya, insya-Allah.

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia