Berkorban – Untuk Siapa?

Berkorban - Untuk Siapa?

Hampir dua minggu yang lalu, ketika menuju ke sebuah masjid di pinggir Cyberjaya untuk menunaikan solat sunat Aidiladha, pandangan saya tertarik kepada kumpulan-kumpulan pekerja asing yang berduyun-duyun bergegas berjalan kaki ke masjid tersebut.

Jarak yang bukan dekat mengingatkan saya akan suasana umat Islam menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat berjemaah saban waktu solat fardu. Mendamaikan.

Terlintas di fikiran saya ketika merenung akan kesungguhan mereka untuk menunaikan ibadah sunat tersebut. Dengan berpakaian ala kadar, hari raya diraikan dengan ibadat sunat yang dituntut itu.

Lebih jauh dari itu, terkenang juga akan keputusan mereka merantau demi mencari nafkah yang halal, sudah pasti kebanyakan daripada mereka mempunyai tanggungan keluarga, isteri dan anak-anak yang bergantung harap sepenuhnya kepada pendapatan mereka di sini.

Besar sungguh pengorbanan berjauhan daripada keluarga dan bekerja keras membina bangunan pencakar langit dan gah di Cyberjaya ini.

Berkorban waktu bersama keluarga, bertemu keluarga tercinta bukan sebulan sekali, setahun sekali barangkali belum tentu juga, bukan mudah melainkan dengan satu momentum yang kuat dalam diri.

Ibadah Korban Tanda Kepatuhan

Bulan Zulhijah ialah bulan korban bagi umat Islam, bulan yang signifikan dengan dua peristiwa besar umat Islam iaitu ibadah haji di Makkah dan ibadah korban sepanjang hari tasyrik dirayakan di merata dunia.

Ibadah korban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmat-Nya dan menjadi salah satu ukuran takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.” (Surah al-Maidah, ayat 27)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: 

“Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)

Selain memberi kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan, ibadat korban sebenarnya adalah manifestasi kepatuhan hamba kepada perintah Allah SWT kerana bukan semua bersedia untuk memberi atau berkongsi apa yang dimilikinya.

Berkorban seekor lembu mungkin mudah untuk yang berharta, tetapi keinginan untuk melakukan korban bukanlah dimiliki oleh semua. Hakikatnya, keinginan untuk beribadah ialah manifestasi ketakwaan kepada Allah Yang Maha Esa.

Apalagi jika ibadah korban tersebut dilakukan di kawasan komuniti yang tidak miskin, dapat makan daging lembu atau kambing mungkin perkara biasa sahaja. Oleh kerana itu, ibadah korban dikaitkan dengan peristiwa sejarah Nabi Ibrahim AS dan anaknya Ismail AS.

Nikmat makan daging haruslah dilihat lebih jauh dengan ufuk nilai yang ingin diterapkan melalui ibadah korban. Semangat ingin berkorban demi kecintaan dan kepatuhan sewajarnya dihayati oleh setiap Muslim dalam kehidupan mereka.

Tujuan Pensyariatan Hukum

Jika kita lihat kepada tujuan pensyariatan hukum-hukum dalam Islam, kebaikan yang diperolehi daripada amal dan ibadah-ibadah yang dilakukan tidak lain dan tidak bukan, semuanya kembali kepada kemaslahatan orang yang melakukannya.

Ibadah solat dan puasa contohnya, disyariatkan sebagai cara seorang Muslim menjana takwa kepada Allah SWT.

Takwa yang menjadi kayu ukur keakraban dengan Allah SWT akan menentukan kejayaan dengan redha Allah SWT di dunia dan akhirat.

Ibadah solat dan puasa yang dilakukan, hakikatnya, kebaikan yang diperolehi tidak lain dan tidak bukan, demi mengukuhkan teras-teras agama seseorang Muslim jua.

Begitulah keindahan syariat Islam, yang datang dengan tujuan memberikan kebaikan kepada sekalian alam.

Lihat sahaja hukum-hukum berkaitan perkahwinan, segalanya diaturkan demi menyusun supaya kelangsungan zuriat manusia berlaku dalam keadaan yang sejahtera dan penuh dengan rahmat dan kasih sayang.

Hukum-hukum diatur sesuai dengan keinginan semula jadi manusia untuk mempunyai pasangan dan melahirkan zuriat keturunan.

Namun, hukum-hukum yang teratur bukanlah bertujuan mengekang mahupun mengongkong, kerana ruang kemanusiaan terbentang luas dalam hal ehwal pengurusan rumah tangga. 

Justeru, suami mahupun isteri sangat digalakkan untuk mewujudkan sakinah, mawaddah dan rahmah yang akan melatari apa jua ujian rumah tangga yang mungkin mendatang. 

Memahami syariat dengan melihat kepada tujuan ia diturunkan akan membuatkan Muslim tidak cukup zikir untuk bersyukur, tidak cukup keringat untuk beribadah membalas kebaikan yang disediakan oleh Allah melalui pensyariatan hukum-hukumnya.

Apa pun, dalam menjadikan syariat sebagai panduan hidup, peranan akal sebagai nakhoda sangatlah penting untuk diingat.

Jika kita perhatikan, Allah SWT menjadikan kemampuan akal untuk memahami hukum sebagai syarat utama sebelum seseorang mukallaf dituntut untuk melakukan kewajipan agama.

Justeru, ulama meletakkan had umur baligh sebagai kayu ukur kepada kemampuan akal tersebut. Senada dengan itu, kewajipan agama diangkat daripada mereka yang belum mempunyai kesempurnaan akal seperti kanak-kanak atau mereka yang tidak memiliki kewarasan akal langsung seperti orang gila.

Gunalah Akal Dalam Beragama

Apa yang dapat difahami daripada mesej syarak dalam pensyariatan hukum-hukumnya, gunalah akal untuk memahami agama. Buktinya, para ulama telah memerah akal dan usaha ijtihad demi menghuraikan hukum-hukum kepada kita.

Jika dalam hal agama pun Allah Taala menggalakkan Muslim untuk berfikir dan menggunakan kecerdasan akal fikiran, apatah lagi dalam tindak tanduk kehidupan seharian yang melibatkan hubungan manusia sesama manusia. Islam adalah agama yang mengangkat setinggi-tingginya kemampuan akal untuk berfikir dan bertindak.

Selaras dengan ayat al-Quran pertama yang diturunkan dengan seruan untuk membaca, maka penjagaan kesejahteraan akal juga menjadi antara tujuan utama syariat diturunkan. Justeru, penggunaan akal yang dipandu syarak adalah cara terbaik untuk manusia menjalani kehidupan mereka.

Gunalah Akal Dalam Kehidupan

Akhir-akhir ini, kuasa viral dalam masyarakat tidak dapat dinafikan lagi. Kuasa viral ini digunakan untuk mencari pengaruh dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk menjual produk.

Maka tidak pelik, jika ada yang sanggup mencari jalan untuk menjadi bahan viral hingga keluar daripada batas kewarasan akal. Maka berlakulah pelanggaran adat dan susila, apalagi batas agama, semuanya dilanggar demi mengejar tumpuan dan julangan manusia. 

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Kami telah muliakan anak Adam.” (Surah al-Israa’, ayat 70)

Ayat ini dengan jelas menerangkan tentang kemuliaan manusia. Kemuliaan manusia ialah pada penggunaan kewarasan akal dalam menjalani kehidupan. Kewarasan akal akan menjadi benteng kepada kelakuan dan tindakan yang menyalahi norma kehidupan.

Kewarasan akal yang dipandu syariat akan melahirkan rasa hormat kepada kepentingan orang lain, sensitif kepada batas-batas agama dan adab.

Hakikatnya akal dan syariat saling melengkapi. Akal tanpa syariat adalah kesesatan, syariat tanpa akal pula adalah kezaliman. Menjalani kehidupan tanpa kewarasan akal pula ialah kejahilan.

Lalu, sekiranya ditanya, kita berkorban untuk siapa? Pejam mata, tanyalah minda.

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), 
Penasihat ILMAN

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia