Menghindari wabak menurut perspektif Sunnah

Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar telah membangkitkan kebimbangan kemungkinan COVID-19 boleh tersebar luas jika individu yang dijangkiti walaupun belum disahkan positif, menunaikan solat jemaah di masjid seperti solat Jumaat serta majlis-majlis keagamaan yang lain, sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian Online pada Ahad, 8 Mac 2020.

 

Kebimbangan itu adalah berdasarkan penularan wabak coronavirus yang membabitkan individu ke-26 (pada waktu tersebut) dijangkiti COVID-19 di negara ini. Ia sekali gus mewujudkan kluster jangkitan dengan lebih 40 individu yang positif dikaitkan dengannya.

 

Tambahan pula, ekoran jangkitan wabak ini semasa ijtimak tabligh baru-baru ini, sebanyak 77 kes positif dikesan, menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 238 sehingga 14 Mac 2020.

 

Dalam pada itu, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibussamahah Dr Wan Salim Wan Mohd Noor baru-baru ini juga berkata, kerajaan Malaysia wajib mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit daripada tersebar serta mengancam kesihatan dan nyawa warganya.

 

Beliau menyarankan antaranya agar menghentikan buat sementara solat berjemaah di masjid dan solat Jumaat bagi mengelakkan jangkitan virus ini yang semakin menular.

 

Persoalannya, adakah semua saranan ini bertepatan dengan Islam melalui al-Quran dan Sunnah Nabi SAW?

 

Bagimenjawab persoalan ini, IKRAMedia telah berkesempatan menemu bual Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, Ketua Unit Hal Ehwal Syariah IKRAM.

 

Kisah wabak pada zaman Umar RA

 

Beliau memulakan bicaranya dengan membacakan sebuah hadis sahih yang panjang yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (No. 5729) dan Imam Muslim (No. 2219). Hadis ni mengisahkan bahawa Umar bin al-Khattab RA yang merupakan Khalifah kedua ketika itu keluar bermusafir menuju ke negeri Syam.

 

Ketika beliau dan rombongannya sampai di daerah yang bernama Sargha, beliau bertemu dengan panglima tentera Islam iaitu Abu Ubaidah bin al-Jarrah RA bersama para sahabatnya. Mereka mengkhabarkan bahawa negeri Syam sedang dilanda wabak.

 

Setelah beliau berbincang dengan semua wakil sahabat Nabi SAW yang terdiri daripada Muhajirin, Ansar dan pembesar-pembesar Quraisy, Umar akhirnya membuat keputusan untuk membatalkan perjalanan ke Syam.

 

Keputusan beliau itu dipersoalkan dengan ditanya, “Apakah kamu hendak lari daripada takdir Allah?” Umar menjawab, “Ya, kami lari dari takdir Allah menuju takdir Allah yang lain.” Sejurus itu datang pula Abdul Rahman bin ‘Auf RA yang mengesahkan keputusan Umar tersebut dengan menyampaikan sabda Nabi SAW:

 

“Jika kalian mendengar wabak menular di sesuatu tempat, maka janganlah kalian pergi menuju ke sana. Apabila ia menular di tempat yang kalian berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar dan lari daripada tempat tersebut.”

 

Pengajaran kisah Umar RA

 

Kisah ini menunjukkan bahawa takdir Allah SWT itu pelbagai. Allah SWT yang mentakdirkan kebaikan dan Allah SWT jualah yang mentakdirkan keburukan. Semuanya ada hikmah yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

 

Sebagai tanda seseorang itu beriman dengan qada’ dan qadar, ia sepatutnya memilih takdir yang lebih baik serta mengelakkan takdir yang buruk. Setelah itu, ia reda menerima apa sahaja ketetapan yang Allah SWT tetapkan baginya.

 

Bagi memahami perkara ini dengan lebih jelas, dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ فِرَارَكَ مِنْ الْأَسَدِ

Daripada Abu Hurairah beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Larilah (hindarilah) penyakit kusta sebagaimana engkau lari daripada kejaran singa.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad [No. 9345])

 

Saranan Nabi SAW ini bersesuaian dengan situasi yang melanda negara kita kini. Pakar-pakar perubatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa virus COVID-19 ini bahaya dan amat aktif serta terlalu cepat merebak.

 

Sewajarnya orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga agar terhindar daripada virus tersebut, apatah lagi jika ianya boleh memudaratkan nyawa. Hal ini kerana, secara umumnya Nabi SAW mengarahkan supaya menghindari sebarang bentuk mudarat seperti sabda baginda dalam sebuah hadis Riwayat Ibnu Majah (No. 2341):

 

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Daripada Ibnu Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh juga perbuatan membalas kemudaratan (dengan kemudaratan yang lain).”

 

Hadis ini jelas menuntut agar manusia menghidari segala mudarat dan perbuatan yang boleh mendatangkan mudarat.

 

Jauhi berita palsu berkaitan wabak

 

Di samping kita mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga menghadapi virus COVID-19, perlu juga diingat bahawa penyebaran sebarang maklumat dan berita palsu berkenaan wabak ini mesti dielakkan.

 

Ia termasuk perbuatan mendakwa penyakit ini merupakan kesan yang berpunca daripada sesiapa atau apa sahaja yang tidak dikemukakan oleh pakar bidang merupakan satu kepercayaan karut yang pernah ditegur oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi:

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَةَ وَلَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Tidak ada ‘adwa, tidak ada thiyarah, tidak ada hammah (kepercayaan masyarakat jahiliah tentang penularan penyakit, sial atau keburukan yang dibawa oleh sesuatu) dan tidak pula Safar (menganggap bulan Safar sebagai bulan yang membawa sial dan bencana).” (Hadis Riwayat al-Bukhari [No. 5757] dan Muslim [No. 2220])

 

Punca hadis ini antara lain adalah, masyarakat Arab jahiliah pada waktu itu percaya bahawa sebab datangnya penyakit adalah kerana sial yang dibawa oleh seseorang sehingga boleh merebak dan menjangkiti orang lain. Maksudnya, sesuatu penyakit itu dibawa oleh orang yang membawa sial itu.

 

Namun melalui hadis ini, Rasulullah SAW berusaha menghapuskan kepercayaan karut tersebut serta menafikan bahawa penularan penyakit adalah disebabkan oleh kesialan yang ada pada diri seseorang atau bulan tertentu.

 

Oleh yang demikian, adalah sewajarnya kita mengembalikan setiap urusan itu kepada pakar bidangnya. Maka dalam isu ini, pihak yang selayaknya mengeluarkan sebarang kenyataan adalah Kementerian Kesihatan Malaysia yang merupakan badan yang telah dipertanggungjawabkan secara rasmi oleh kerajaan. Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi segala saranan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia