Mencukupkan bekalan du’at di jalan dakwah

Selaku aktivis jamaah dakwah, tarbiah dan kebajikan, kita telah diingatkan oleh almarhum Syeikh Mustafa Masyhur dalam kitabnya Zaadu ‘ala Thoriq (Bekalan Sepanjang Jalan) untuk sentiasa mencukupkan bekalan yang akan menjadi pemangkin kepada pergerakan kita yang serba panjang dan serba susah ini.

 

Beliau menyifatkan bahawa perjalanan atas jalan dakwah ini pastinya memerlukan bekal yang mencukupi bagi menghadapi segala ranjau sepanjang perjalanan.

 

Beliau berpesan, “Bekalan yang sangat diperlukan dalam perjalanan ini adalah iman yang mantap serta takwa kepada Allah.”

 

Ini adalah bekal utama yang memberikan sumber inspirasi, motivasi, keyakinan, keikhlasan, keazaman, ketahanan dan kesungguhan lantas memudah gerakan, meringankan tarikan, melintasi segala rintangan dan menghindari segala kesalahan. Prestasi amal bertambah baik dan lancar umpama ada ‘miracle’ yang berlaku.

 

Beliau berpesan lagi, “Apabila bekalan iman dan takwanya kurang ataupun kehabisan tanpa ada sebarang usaha untuk menambahnya, maka sudah tentulah dai itu menjadi bangkai yang kaku atau sekurang-kurangnya sakit, tidak bermaya malah tidak mampu bergerak.”

 

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.” (Al-Anfal: 24)

 

Para du’at dalam menelusuri jalan yang penuh ranjau ini, memerlukan sahabat-sahabat yang soleh serta dapat memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman yang berharga daripada percubaan-percubaan yang lalu sama ada mendepani kegagalan mahupun kemanisan kejayaan.

 

Tidak sunyi jalan dakwah ini dihiasi dengan pengalaman-pengalaman lalu para du’at yang memberi peluang kepada generasi baharu untuk memperbaiki gerak kerjanya agar tidak jatuh ke lubang yang sama dua kali.

 

Bimbingan dan pengarahan yang jelas daripada kepimpinan gerakan dakwah juga membantu kita untuk menguatkan tekad agar pergerakan kita tidak menyimpang daripada tujuan asal. 

 

Setiap kali beliau menyebut jalan dakwah, malah mana-mana tokoh Ikhwan sekalipun pasti menyandarkan ia dengan pengalaman Ikhwan sepanjang aktiviti dakwahnya yang penuh ranjau, telah beliau kongsikan dalam bukunya berjudul Tariq ad-Da’wah: Baina asholah wal inhiraf (Jalan Dakwah: Di antara Keaslian dan Penyimpangan).

 

Begitu juga tulisan Dr Fathi Yakan dalam bukunya Al-Mutasaaqitun fi thoriq ad-da’wah, kaifa wa limaza? (Mereka yang Berjatuhan di Jalan Dakwah, Bagaimana dan Kenapa?)

 

Semua pengalaman yang dikongsikan kepada kita seharusnya menjadi pengajaran betapa para du’at perlu berhati-hati dengan fenomena berguguran daripada jalan dakwah ini selalunya pasti terjadi kerana salah satu faktornya adalah pada lemahnya iman dan takwa di hati para du’at. 

 

Antara fenomena yang dikongsikan ialah; penyimpangan daripada tujuan asal jalan dakwah kerana disilaukan oleh manfaat duniawi, kegagalan melaksanakan perancangan bagi mencapai matlamat kerana kejenuhan dan rasa lemah, malah halangan daripada musuh agama yang tidak pernah berehat untuk melemahkan perkembangan agama Allah ini.

 

Semua ini merugikan kerana hilangnya kebaikan dan manusia terhalang untuk memperolehi keuntungan yang besar.

 

Dalam keadaan yang sukar sekarang ini dengan tekanan ekonomi dan faktor pandemik yang meruncing, kita tidak sunyi dari terus menggerakkan dakwah tarbiah dan kebajikan, menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, membina iman dan saling memberi peringatan sesama manusia.

 

Usaha membina Negara Rahmah tetap diteruskan dengan rangka kerja yang bersesuaian dengan keadaan semasa agar kebaikan dan rahmat Allah itu dapat terus kita semarakkan di bumi ini. 

 

Pentingnya untuk kita mendapatkan bantuan Allah pada masa yang sukar ini kerana cahaya-Nyalah yang menyuluh kita jalan keluar daripada permasalahan yang kita hadapi agar tidak sesat dan terjerumus ke lembah kegelapan (sesat). 

 

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian daripada rahmat-Nya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya, serta diampunkan-Nya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Al-Hadid: 28)

 

Supaya amal dakwah kita terus mengesani dan menyentuh hati manusia, kita perlukan ‘jari-jari’ yang dapat menyentuh dan menyatukan hati mereka untuk dipautkan bersama dalam mahabbah (kasih sayang) Allah.

 

Walaupun pelbagai cara santunan telah kita persembahkan kepada mereka, namun yang menyentuh hati mereka tidak lain dan tidak bukan hanyalah Allah kerana firman-Nya:

 

“..dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal: 63)

 

Sudah sunnah orang yang berjuang, pastinya berdepan dengan banyaknya halangan dan ujian yang melanda sama ada berbentuk kesihatan, kewangan, keluarga, kerjaya dan sebagainya.

 

Kerana itu para du’at memerlukan iman di dada dan kejelasan ghayah (tujuan) untuk memaksa jiwa terus berjihad, bersabar walaupun memerlukan dirinya untuk berkorban jiwa, harta, tenaga, pemikiran, masa dan segalanya tanpa ragu. Kerana imanlah, para du’at yakin akan janji Allah SWT pada firman-Nya:

 

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.”

“(Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)

 

Sunnah perjuangan juga tidak sunyi daripada halangan dan gangguan dari manusia lain. Mana-mana du’at silam mahupun era kini pasti terdedah kepada gangguan, cercaan, ancaman dan siksaan demi siksaan dari musuh Allah. Ini semua sangat ditakuti manusia biasa. Mereka menjauhkan diri darinya malah lari dari jalan dakwah.

Bagi para da’i yang telah membekali diri dengan iman dan takwa kepada Allah, perkara seumpama ini tidak akan terjadi. Allah berfirman:

 

الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” (Ali-Imran: 173)

 

Kita juga memerlukan kekuatan ikatan ukhuwah dan kasih sayang kerana Allah kerana ia boleh menyempurnakan konsep tolong menolong dan persefahaman dalam perlaksanaan tugas dakwah dengan mudah.

 

Mungkin akibat pandemik yang menyukar kita membuat perjumpaan fizikal yang kerap sesama kita, tapi dengan kecanggihan teknologi yang ada dewasa ini, kita manfaatkannya untuk terus menjalinkan ikatan ukhuwah sesama ahli di laman media sosial masing-masing secara semasa.

 

Berinteraksi secara maya juga masih lagi dapat membuat “eye-contact” semasa berhubungan dan perkhidmatan menghantar hadiah secara dalam talian juga dapat dilakukan dalam membina ukhuwah agar kita dapat melakukan seperti firman-Nya:

 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah: 71)

 

Sehingga Rasulullah SAW mensyaratkan kesempurnaan iman hanya akan tercapai dengan merealisasikan perasaan kasih sayang ini, seperti sabda baginda:

 

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.” [Hadis riwayat al-Bukhari. No. Hadis 12]

 

Hadis ini menunjukkan bahawa ukhuwah menyempurnakan lagi sinar iman. Dengannya ia mendorong kita saling bantu-membantu, saling meringankan beban kepayahan duniawi antara satu sama lain.

 

Kerana saling berkasih-sayang membuat kita saling menasihati tentang kesabaran dan memberi peringatan yang bermanfaat, menegur kesalahan dan menutup keaibannya, mengingatkan ikhwah yang lupa dan segera membantu ikhwah ketikamana kita teringatkan dia yang mungkin memerlukan bantuan kita.

 

Membiarkan anggota Jamaah berada dalam syubhat akan membuatkan mereka berenggang dan pasif dengan jamaah kerana ketidakpastian yang meragui mereka. Kerana itu santunan ukhuwah dapat melapangkan hati yang syubhat dan sempit menjadi lapang dan mudah urusannya.

 

Ukhuwah juga menjadi ‘check and balance’ sesama anggota jamaah dengan memastikan gerakan kita terus kekal mentaati syariat Allah SWT dalam setiap perkataan dan perbuatan, jangan sampai menderhakai syariat-Nya. Sekiranya kita terus mendaulatkan syariat Allah Taala, kesatuan ummah akan terus kukuh kerana hasil daripada menjaga syariat adalah ketakwaan kepada Allah SWT.

 

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.”

“Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Ali Imran: 103)

 

Di atas jalan dakwah ini, kita sangat perlu kepada ilmu yang bermanfaat, yang perlu bagi pendakwah kepada Allah di atas hujjah yang nyata. Tidaklah mencukupi dengan banyaknya membaca kitab kecuali disertai dengan takwa kepada Allah dan niat ikhlas kerana Allah, kelak Allah akan menambahkan kurniaan ilmu, nur dan taufiknya. Benarlah seperti firman-Nya:

وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (al-Baqarah: 282)

 

Akhir sekali, kita mesti sentiasa memperkotakan baiah kita dengan Allah dan manusia, tidak mungkir janji, tidak mengubah dan tidak cuba menggantikan agama Allah sehingga kita menemui Allah di atas jalan dakwah dalam keadaan yang setia dan taat kepada-Nya. Iman dan takwa adalah sebaik-baik bekalan yang menolong kita berbuat demikian. 

 

Kesetiaan kita kepada bai’ah ini adalah sumber inspirasi kepada kemenangan para pendahulu di Jalan Dakwah ini. Mereka beriltizam, jika tidak dapat mencapai kemenangan di dunia, mati syahid juga adalah cita-citanya! Allah SWT berfirman:

 

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” (Al-Ahzab: 23)

 

Sudah lama agaknya kita tidak menelaah semula buku Zaadu ‘ala Thariq ini yang begitu sarat pesanan mengingatkan kita untuk mendapatkan bekalan sepanjang jalan dakwah ini dengan ibadah, ilmu, serta amal soleh.

 

Sama-sama kita renungi betapa lemahnya kita yang memerlukan bekalan malah bantuan Yang Maha Kuasa. Bagaimanalah kita mampu melangkah melakukan kebaikan tanpa bekalan iman dan takwa. 

 

Lantaran itu, artikel ini sebagai peringatan buat diri sendiri serta ikhwah akhawat yang lain untuk bersama-sama kita memperbaiki perbekalan iman dan taqwa di sepanjang perjalanan ini.

 

Jangan dibiarkannya berkurangan atau terus habis, sebaliknya kita bekerja untuk menambah dan terus menambahkannya agar kita boleh memberi bekalan iman ini juga kepada santunan mad’u kita.

 

Mohd Syariffudin Abu Kassim

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia