Di Kota Bandung, para peserta melawat Sekolah Bintang Madani di bawah kelolaan Sygma Foundation, melawat Sygma Creative Media Corporation iaitu penerbit kitab terjemahan Syaamil Quran dan juga melawat stesen televisyen Inspira TV.
Sygma Foundation diasaskan oleh anak syarikat Sygma Creative Media Corporation sebagai Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat tersebut untuk menyumbang bakti dalam aspek sosial, pendidikan dan keagamaan. Rombongan ke Sekolah Bintang Madani disambut oleh Pengetuanya, Bapak Pepen Supendi dan beberapa orang guru dan perkongsian dilakukan di tempat duduk khas di perkarangan sekolah.
Sekitar Sekolah Bintang Madani
Lanskap sekolah tersebut yang berkeluasan hanya 5,000 meter persegi agak unik dengan warna bangunan sekolah yang berbeza pada setiap tingkat dan juga tingkapnya yang berbentuk bulat, hiasan pokok di luar kelas di setiap tingkat yang melambangkan kesegaran dan keceriaan.
Sekolah Bintang Madani yang baru berusia lima tahun operasinya menjadikan al-Quran dan kurikulum nasional sebagai asas pendidikannya. Bilangan pelajar di sekolah ini meningkat setiap tahun di mana ia bermula dengan 77 orang pelajar pada tahun 2010 dan pada tahun ini seramai 323 pelajar.
Perkongsian Bapak Pepen dan bacaan serta hafazan al-Quran oleh pelajar
Sekolah ini mewajibkan hafazan dalam kalangan pelajar sebanyak satu ayat sehari menggunakan Metod Ummi di mana pelajar diperkenalkan dengan bacaan dahulu sebelum dimahirkan dengan ilmu tajwid. Hafazan pelajar disemak oleh 10 orang guru al-Quran setiap hari. Bagi menjamin kualiti pengajaran al-Quran dan hafazan pelajar, semua guru al-Quran turut disemak hafazan mereka setiap hari oleh pihak sekolah sebelum mereka mengajar.
Lawatan diteruskan ke ibu pejabat Sygma Creative Media Corporation yang merintis penerbitan kitab terjemahan al-Quran pertamanya iaitu Syaamil Quran. Rombongan IKRAMedia disambut oleh Pengarah Urusan Sygma, Bapak Riza Zacharias dan para kakitangan Sygma.
Bermula dengan syarikat penerbitan kecil pada tahun 1997, Sygma kini berkembang dalam penerbitan terjemahan al-Quran, buku-buka keagamaan dan umum dengan pelbagai versi sesuai dengan perkembangan teknologi. Kini, Sygma mempunyai 350 kakitangan sepenuh masa dengan beberapa anak syarikat.
Perkongsian Bapak Riza dan lawatan ke pejabat Sygma
Lawatan ke kilang percetakan terjemahan al-Quran
Rombongan turut melawat kilang percetakan terjemahan al-Quran yang beroperasi 21 jam sehari. Uniknya, setiap kakitangan Sygma dikehendaki mengikuti kelas pengajian al-Quran setiap hari hingga sudah ada yang mampu menghafaz beberapa juz al-Quran.
Selain itu, Sygma turut memastikan bahan untuk menghasilkan terjemahan al-Quran adalah daripada sumber yang halal, meskipun bahan tersebut lebih mahal harganya atau kurang kualiti daripada bahan yang diharamkan.
Selesai solat Jumaat, rombongan seterusnya melawat Inspira TV yang baru beroperasi pada tahun lalu. Inspira TV yang berpusat di Kota Bandung merupakan salah satu stesen TV tidak berbayar (free to air) yang bersiaran secara online selama 24 jam, menerbitkan rancangan yang inspiratif dan positif untuk golongan muda. Tidak hairanlah, Pengarah dan kira-kira 30 kakitangannya juga adalah golongan muda.
Sesi perkongsian dan taklimat Bapak Trieha
Lawatan ke bilik operasi dan studio rakaman
Rombongan IKRAMedia disambut oleh Pengarah Inspira TV, Muhammad Tri Harmoko (Bapak Trieha) dan para kakitangannya. Di sini, Bapak Trieha berkongsi pengalaman membangunkan stesen TV yang mula diusahakan pada tahun 2013 dan kini siarannya sudah beroperasi di 12 wilayah di Indonesia.
Beliau turut berkongsi bagaimana Inspira TV mampu bertahan meskipun ia adalah stesen TV tidak berbayar. Usai perkongsian, rombongan dibawa melawat bilik operasi dan studio rakaman Inspira TV.