Kebebasan bersuara di Malaysia tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara kita. Perkara 10(1)(a) memperuntukkan setiap warganegara Malaysia adalah mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara.
Warganegara Malaysia mempunyai kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan buah fikiran mereka selagi mana mereka tidak menyentuh pada isu-isu sensitif yang telah dikenal pasti oleh Parlimen dalam perkara 10(4).
Dasawarsa ini, kehidupan kita dihidangkan dengan kepelbagaian aplikasi media sosial yang sedikit sebanyak tanpa kita sedar telah menghakis nilai manusiawi sedikit demi sedikit.
Ditambah pula dengan kepesatan dunia mengejar Revolusi Industri Keempat ( Revolusi Industri 4.0) yang dilihat mampu mengubah setiap fasa kehidupan dan mempengaruhi banyak aspek dalam hidup manusia.
Revolusi kali ini mengubah landskap kehidupan manusia melalui penciptaan Internet, satu teknologi tanpa sempadan yang berkuasa mengubah pandangan dunia dan amalan manusia.
Jauh di ufuk sana, jika kita memandang sisi positifnya secara umum revolusi ini akan membentuk masyarakat yang berpengetahuan serta yang berkeupayaan mencipta, membentuk dan menggunakan pengetahuan untuk pembangunan demi kemakmuran dunia.
Selain itu, landskap baharu ini juga menawarkan jaringan antara masyarakat yang tidak terbatas, yang mana kuasa adalah terletak pada jemari semua orang.
Lempar Batu Sembunyi Tangan
Oleh yang demikian, dalam ketidakbatasan yang berlaku itu telah mengakibatkan ramai di antara kita yang bicaranya lebih laju daripada pemikirannya.
Jari jemari lebih pantas menari di atas papan kekunci sebelum sempat akal memproses maklumat menimbang tara baik buruk sesuatu isu tersebut.
Malah yang lebih membimbangkan, ada yang identitinya direka semata-mata untuk tujuan yang berniat tidak baik.
Mereka berselindung di sebalik identiti sebenar, menutup wajah mengaburi para pengguna yang lain, manakala lelaki boleh menjadi perempuan dan yang tua boleh menjadi muda.
Mudahnya, di alam yang tanpa batasan ini, siapa sahaja boleh menjadi apa sahaja yang dia inginkan, asalkan niat dan matlamat mereka tercapai.
Mereka juga berselindung di sebalik nama samaran telah menjadi ‘lesen besar’ kepada sesetengah pelayar media sosial untuk menyebarkan apa sahaja maklumat tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu, umpama melempar batu sembunyi tangan.
Walhal, tindakan mereka itu amatlah tidak bermoral bahkan mampu mengakibatkan kekecohan serta menggugat keharmonian negara.
Menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC), sebanyak 2,731 akaun sosial media palsu telah dipadamkan dari 2020 sehingga November 2022.
Ini sesuatu yang amat tidak sihat untuk keharmonian negara. Kebanjiran akaun media sosial yang palsu ini akan melebar luas lagi fitnah dan berita palsu serta akan mencetuskan lagi pelbagai jenayah siber.
Lebih Sudu Dari Kuah
Lebih malang dan menyedihkan lagi, dewasa ini kita lihat ramai di antara kita yang cuba mengulas apa sahaja isu yang timbul di dalam negara.
Biarlah isu itu hanya isu picisan dan kecil, namun ia tampak besar apabila yang memainkan isu tersebut adalah daripada orang ternama atau pempengaruh sedangkan isu yang diungkapkan itu adalah sesuatu yang tidak betul, bahkan ia satu fitnah umpama lebih sudu dari kuah.
Apabila bicaranya nampak meyakinkan, maka para pengikutnya mula percaya dan menyebarkan kepada yang lain. Akhirnya, fitnah itu mengalir ke seluruh pelosok dan ceruk negeri. Akibatnya ramai yang terpedaya dan termakan akan hasutan fitnah tersebut.
Contohnya siaran YouTube daripada meja kuliah masjid atau ceramah umum, ruangan FYP TikTok, tayangan Reels Instagram, ciapan di dinding Twitter dan pelbagai lagi medium terhidang luas buat para pengguna Internet untuk mengekspresikan pandangan dan suara mereka.
Ada yang mengambil kesempatan dan ada yang ingin mengejar populariti semata sehingga menolak hak akal untuk berfikir dan menilai akan sesuatu perkara tersebut yang mana baik buruknya.
Bahkan, mereka kononnya menidakkan fitnah atau berita palsu itu dengan cara berselindung di sebalik frasa mengkritik dan memberi pandangan peribadi, walhal sudah terang lagi bersuluh akan kebenaran dan kesahihan sesuatu perkara tersebut.
Kerana nafsu keegoan dan berasa diri lebih ‘suci’ daripada yang lain, mereka enggan melafazkan maaf dan terus mempertahankan fitnah yang ditabur itu.
Lebih malang lagi, ini bukan sahaja berlaku kepada orang kebanyakan, bahkan ada juga segelintir para ilmuwan dan asatizah yang bersifat demikian, mendongak tinggi ke langit tetapi lupa asal tanah yang hina.
Kritik Biar Beradab
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan kritik membawa erti analisis, penilaian dan teguran terhadap sesuatu perkara. Tidaklah dinafikan bahawa setiap di antara kita ada kesilapan yang dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Namun kritikan, teguran dan berbahaslah apa sahaja kesilapan yang dilakukan seseorang itu dengan penuh adab serta tinggi keilmuannya, bukan sekadar menabur fitnah di jalanan dek kerana dendam kesumat. Bahaslah dengan ilmu dan kritiklah dengan hujah yang membina.
Pada akhirnya, apa yang kita inginkan sebenarnya? Adakah dendam kesumat terhadap seseorang itu telah menghalalkan kita melakukan apa sahaja sehinggakan kita sanggup untuk menyebarkan fitnah terhadapnya umpama tak dapat tanduk telinga dipulas? Ini negara kita. Ini masa depan kita.
Selain itu, adab merupakan rukun bagi kita bangsa Melayu. Hari ini, sedih melihat anak bangsa sendiri terutamanya generasi muda yang sudah mula terhakis nilai dan adab sopan yang mungkin dipengaruhi sedikit sebanyak daripada media sosial yang terlalu bebas.
Keruntuhan nilai adab ini amat membimbangkan dan merisaukan kita jika ia tidak dirawat dengan kadar segera.
Maka dengan itu, adalah sesuatu bukan luar biasa kenapa ramai pengguna di media sosial hari ini yang menolak ke tepi adab dan ilmu dalam merespons atau mengkritik sesuatu isu tersebut.
Jangan kita lupa, jika ilmu tinggi menggunung tetapi tiada adab, ilmu itu menjadi hina. Ketinggian adab cerminan kepada peribadi mulia seseorang.
Jiwa Besar
Menegur demi kebaikan seseorang adalah perbuatan yang sangat dituntut. Orang yang ditegur atau dikritik haruslah menerima teguran dan kritikan itu dengan hati yang terbuka.
Siapa pun kita, kita layak menerima kritikan. Bahkan, orang yang mengkritik juga boleh dikritik, orang yang menegur pun boleh ditegur.
Jika teguran dan kritikan itu membawa kepada kebaikan, maka terimalah dengan rendah hati dan jangan kita membalasnya dengan keegoan yang langsung tidak membantu, malah akan mengganggu lagi.
Menerima kritikan memerlukan jiwa yang besar, umpama meminum secawan kopi. Namun, secawan kopi yang pahit itu akan sentiasa pahit jika bersendirian, maka carilah teman menghias kepahitan dengan kemanisan jiwa besar agar pahit yang ditelan mengalir bersama kemanisan di saat mencecah lidah.
Tuntasnya, kritik itu bukanlah sesuatu yang salah, namun kritikan itu amatlah baik dan diperlukan untuk pembangunan sesebuah organisasi malah seseoarang individu.
Tetapi, kritikan itu biarlah dengan penuh adab, berhujah dengan penuh ilmu dan menilai serta mengkaji dengan penuh hikmah bijaksana bukan sekadar mengambil input daripada sumber yang tidak pasti dan seterusnya menyebarkan di media sosial.
Bukankah agama mengajar kita sikap tabayyun atau menyiasat serta mengkaji terlebih dahulu?
Di samping itu, ingatlah, jangan selalu kita ingin menyalahkan orang lain, kerana dengannya juga kita mudah buta kesalahan diri sendiri.
Umpama buruk muka cermin dibelah, satu peribahasa yang menggambarkan sikap menyalahkan orang lain, namun tanpa kita sedar kita juga turut melakukan perkara yang sama.
Muhammad Ashrul Affiq Abd Halim
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia
Negeri Sabah