Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Khalid Ibrahim berkata, nilai kemanusiaan mula luntur dan kepedulian iman ummah menjadi tipis akibat kalangan pemimpin dan kelompok tertentu yang lebih menumpukan perhatian kepada usaha mengekalkan kuasa dan pengaruh.
“Saya harap kita akan dapat bersama-sama mendoakan, sekurang-kurangnya mengingatkan keadaan umat Islam sekarang ini perlu diperbetulkan, kerana ini merupakan cabaran kita sebagai ummah,” katanya ketika berucap semasa Majlis Makan Malam IKRAM Selangor bersama NGO-NGO Islam di Kelab Shah Alam, di sini.
Menurut Khalid, beliau merasa bertanggungjawab untuk mengingatkan pemimpin-pemimpin Islam supaya menjalankan tugas dengan betul dan lurus bukan kerana pemimpin itu sendiri tetapi kerana dia mewakili ummah dan kejayaannya merupakan kejayaan ummah.
Beliau berkata budaya ingat-mengingati demi kebaikan dan mecegah kemungkaran dalam suasana keikhlasan dan bertatasusila mampu menjadikan negeri Selangor berkebajikan dan lebih maju ke hadapan.
“Ia menjadi tangga pengamalan nilai demokrasi yang saling menghormati tanpa senda mempersendakan. Bahkan semua pihak sewajarnya saling mengiktiraf sumbangan untuk membangunkan negeri dan juga negara yang merdeka demi kemaslahatan dan kemakmuran,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid mengucapkan tahniah kepada IKRAM yang menjalankan fungsi ajaran agama dalam pengertian dakwah dan tarbiah dengan menyeru kepada kebaikan serta mendidik manusia untuk meningkatkan tatasusila dan akhlak sebagai makhluk Allah.