Para penonton turut terpana dan mengalirkan air mata keharuan mendengar puisi “Mata Kecilku” yang lahir daripada sanubari yang cukup meruntun hati, menggambarkan pengalaman di Gaza yang sangat bermakna dan memberi pengajaran pada dirinya.
Pada petang hari sebelumnya, beliau memenuhi jemputan untuk berkongsi pengalaman di Gaza dalam program “Tangisan Gaza Laungan Syria” di Padang Kota Lama anjuran Aqsa Syarif Pulau Pinang.
Pada malamnya pula, beliau bersama Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkongsi pengalaman dalam Konsert Save Gaza sempena Karnival Jom! MAIS anjuran MAIS dan Aqsa Syarif.
Di Gaza, beliau dikenali sebagai ‘Ammu Afdlin (pakcik Afdlin) di kalangan kanak-kanak atau Abu Miasara di kalangan dewasa. Hayati puisi nukilan beliau yang dibaca pada malam tersebut:
MATA KECILKU
Nukilan : Ammu Afdlin Shauki aka Abu Miasara
Kau buat mataku kecil
Kau buat badanku besar
Kau sayangkan aku
Kau buatku serba kekurangan
Supaya aku berusaha mencari kejayaan
Kemudian kau limpahkan dengan kesenangan
Kau sayangkan aku
Aku leka dengan hidup dunia
Tiada syukur tersemat di dada
Hari hari bergelumang dosa
Perhubungan kita tidak ku jaga
Seperti seorang anak tak mengenang jasa
Kau sayangkan aku
Aku yang sudah hanyut jiwaku
Rasa tak layak lagi bersamaMu
Sangkaku tertutup sudah pintu kemaafanMu
Kerana kealpaan diriku
Kerana kebodohan diriku
Kerana keangkuhan diriku
Kerana kubutakan mata kecilku
“Masihkah Kau sayangkan Aku?”
F16 Israel membedil Gaza
Kau sayangkan aku
Bom bom Israel mencari Syuhada
Kesengsaraan di tanah Gaza
Kehancuran merata-rata
Kezaliman yang tak terkata
Kau sayangkan aku
Kemanusiaan membawaku ke sana
Kau permudahkan segala cara
Walaupun debar menggoncang dada
Kau beri ku kekuatan minda
Selamat perjalananku ke Gaza
Agar akhirnya dapat ku guna
Mata yang lama tak bercahaya
Kerana hanya mengejar dunia
Kau sayangkan aku
Mataku melihat, runtun hatiku
Bukan kerana kematian dan kesusahan di situ
Gaza tanah barakahMu
Walaupun semuanya kelabu
Dipenuhi oleh kekasih-kekasihMu
Yang tidak pernah menyoal cintaMu
Yang tak pernah menyalahkanMu
Walaupun apa saja kesusahan yang kau beri
Kesyukuran tak pernah meninggalkan hati
Semua kekasih kekasihMu itu merindui
Bersamamu di Jannah nanti
Air mata berlinangan dari mata kecilku
Melihat ketenangan wajah kekasihMu
Melihat keberanian jiwa kekasihMu
Melihat keredhaan hati kekasihMu
Melihat ketaqwaan hidup kekasihMu
Senyum kekasihMu penuh cahaya
Senyum terukir walaupun duka
Senyum diberi tak memilih siapa
Senyum penuh kesyukuran padaNya
Aku terduduk, terdiam melihatnya
Mata aku berkelip tidak percaya
Tidak pernah aku melihat sepertinya
Adakah aku di bumi nyata
Ataupun menghampiri ahli-ahli syurga
Palestin bergolak atas keizinanMu
Kau mahu Palestin menjadi guru
Pelajaran bagi umat Muhammad SAW Mu
Menyuluh jalan pulang padaMu
Aku meminta pengampunan dariMu Ya Allah
Kerana setelah semua yang aku laku
Kau masih sudi membuka mataku
Kau masih sudi mahu bersamaku
Kau masih sudi sayangkan aku
Kau sayangkan aku
Aku bersyukur dan merasa rendah
Kerana diriku yang masih kau endah
Akan ku balas cintamu dengan seluruh jiwaku
Dengan badan besarku
Dengan seniku, dengan jenakaku, dengan akalku
Dengan mata kecilku yang kini melihat kebesaranMu
KekuatanMu, kebijaksanaanMu, pengampunanMu
CintaMu yang memang tidak ada seteru.
Semua yang ku lakukan kini kerana Mu Ya Allah
Insyaa Allah
UntukMu inginku menjadi Qalam
Akan aku ceritakan kebesaranMu kepada sekian alam
Akan ku sampaikan kasihMu yang sangat mendalam
Ya aku, budak gemuk yang 120kg ni sebenarnya…ISLAM.
Wallahualam Bisawab
Semoga segala usaha Afdlin Shauki memberi kesedaran kepada umat Islam, betapa pentingnya Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin dibela dan dipertahankan sedaya upaya sebagai tanah wakaf umat Islam, insya-Allah.
Video Puisi Mata Kecilku – Afdlin Shauki
Video Puisi Mata Kecilku [muzik] – Afdlin Shauki