SERI KEMBANGAN – Laporan terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menunjukkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 63,415 orang melibatkan 17,377 buah keluarga, setakat 6.30 pagi Selasa.
Lima negeri yang terlibat dengan banjir ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Berdasarkan laporan tersebut, Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 37,021 orang, manakala Kelantan merekodkan sejumlah 25,353 mangsa.
Pahang pula mencatatkan 934 mangsa, manakala di Johor, seramai 53 mangsa terjejas dengan banjir dan Perak merekodkan 17 mangsa.
Di Terengganu, daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,613 diikuti dengan Besut iaitu seramai 8,228 mangsa.
Manakala di Kelantan, daerah Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,322 orang, diikuti dengan Pasir Puteh dengan 4,379 mangsa.