Setiap kali Bulan Kebangsaan tiba, masyarakat Malaysia kembali menghayati makna kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Kemerdekaan sering dikaitkan dengan pembebasan daripada penjajahan, pembinaan negara bangsa dan usaha mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk seluruh rakyat.
Namun, dalam konteks dunia hari ini, kemerdekaan tidak hanya bermakna bebas daripada penjajahan kuasa asing, tetapi juga membebaskan jiwa manusia daripada nilai-nilai yang boleh merosakkan keharmonian seperti kebencian, prasangka dan sikap saling mencurigai sesama sendiri.
Sebuah negara yang merdeka secara fizikal belum tentu benar-benar merdeka dari sudut pemikiran dan akhlaknya. Sesebuah masyarakat boleh memiliki kemajuan ekonomi, teknologi yang canggih dan pembangunan yang pesat, tetapi masih berdepan cabaran besar sekiranya hubungan sesama manusia dibina atas dasar curiga, stereotaip dan permusuhan.
Oleh sebab itu, pembinaan negara yang sejahtera perlu bermula dengan pembinaan manusia yang memiliki jiwa besar, pemikiran matang dan akhlak yang tinggi. Salah satu nilai terpenting yang perlu dipupuk ialah budaya menghormati manusia lain tanpa mengira perbezaan latar belakang bangsa, ekonomi dan sosial.
Persoalan yang perlu kita renungkan ialah: Apakah yang sedang kita wariskan kepada generasi akan datang? Adakah kita mewariskan budaya hormat, keterbukaan dan keadilan? Atau kita secara tidak sedar mewariskan sikap prasangka, label negatif dan rasa curiga terhadap orang lain?
Prasangka: Benih kecil yang boleh membesar menjadi perpecahan
Prasangka merupakan antara cabaran terbesar dalam hubungan manusia. Ia sering bermula dengan perkara yang kelihatan kecil, tetapi kesannya boleh menjadi besar. Seseorang mungkin membuat kesimpulan terhadap individu atau kelompok tertentu hanya berdasarkan pengalaman terhad, cerita yang didengar atau persepsi yang diwarisi daripada persekitaran.
Dalam kehidupan bermasyarakat, prasangka boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Ada yang berpunca daripada perbezaan bangsa, agama, budaya, status ekonomi atau pandangan politik. Apabila prasangka dibiarkan tanpa kawalan, ia akan membentuk tembok psikologi yang menghalang manusia daripada memahami antara satu sama lain.
Allah SWT memberi peringatan yang jelas:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat: 12)
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam memberi perhatian serius terhadap penyakit hati yang boleh merosakkan hubungan sosial. Prasangka bukan sekadar kesalahan dalam pemikiran, tetapi boleh membawa kepada tindakan yang tidak adil terhadap orang lain.
Apabila seseorang sudah membina persepsi negatif terhadap sesuatu kelompok, dia cenderung melihat semua perkara melalui sudut pandang yang sama. Kebaikan yang dilakukan diabaikan, manakala kesalahan kecil dibesar-besarkan.
Akhirnya, seseorang itu tidak lagi menilai berdasarkan kebenaran, tetapi berdasarkan tanggapan yang telah terbina. Inilah bahaya prasangka dalam kehidupan bermasyarakat. Ia menjadikan manusia melihat perbezaan sebagai ancaman, sedangkan Islam mendidik manusia melihat perbezaan sebagai ruang untuk saling mengenali dan memahami.
Keluarga: Tempat pertama membentuk sikap terhadap orang lain
Walaupun isu prasangka sering dilihat sebagai masalah masyarakat, hakikatnya ia bermula daripada pendidikan dalam keluarga. Keluarga ialah institusi pertama yang membentuk pandangan hidup seseorang. Sebelum anak mengenali dunia luar, mereka terlebih dahulu belajar daripada ibu bapa, adik-beradik dan suasana persekitaran yang wujud di rumah.
Anak-anak belajar melalui apa yang mereka lihat dan dengar. Cara ibu bapa berinteraksi dengan jiran, rakan, masyarakat atau kelompok yang berbeza akan memberi kesan kepada pembentukan pemikiran mereka.
Sekiranya sesebuah keluarga membiasakan budaya saling menghormati orang lain, membantu jiran, bercakap dengan sopan dan melihat manusia dengan pandangan positif, anak-anak akan membesar dengan nilai tersebut.
Sebaliknya, jika mereka sering mendengar kata-kata yang menghina, merendahkan atau melabel sesuatu kelompok secara negatif, perkara tersebut boleh menjadi sebahagian daripada cara mereka memahami masyarakat.
Justeru, tanggungjawab membina masyarakat yang harmoni sebenarnya bermula daripada penerapan pendidikan nilai di rumah. Keluarga bukan sekadar tempat memenuhi keperluan fizikal anak-anak, tetapi tempat membina jiwa dan akhlak mereka.
Budaya tabayyun: Melawan penyebaran prasangka dalam era digital
Cabaran membina budaya hormat menjadi semakin besar dalam era teknologi maklumat. Media sosial telah mengubah cara manusia berkomunikasi. Maklumat boleh tersebar dengan pantas tanpa sempadan, namun tidak semua maklumat yang tersebar mempunyai kebenaran yang boleh dipertanggungjawabkan.
Hari ini, sesuatu berita palsu, gambar yang dimanipulasi atau kenyataan yang dipetik di luar konteks boleh mencetuskan kemarahan masyarakat dalam tempoh yang singkat. Allah SWT telah memberikan panduan penting kepada kita semua:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)
Konsep tabayyun yang terkandung dalam ayat ini sangat penting dalam membentuk masyarakat yang matang. Ia mengajar manusia supaya tidak bertindak berdasarkan emosi semata-mata, sebaliknya memastikan sesuatu maklumat sebelum membuat penilaian.
Dalam konteks dakwah, budaya tabayyun merupakan sebahagian daripada amanah moral. Seseorang Muslim bukan hanya dituntut bercakap perkara yang benar, tetapi juga memastikan perkara yang disampaikan tidak membawa kerosakan kepada orang lain.
Masyarakat yang gagal mengamalkan tabayyun akan mudah menjadi mangsa manipulasi, propaganda dan sentimen yang memecahbelahkan.
Kepelbagaian sebagai jalan taaruf
Islam tidak melihat kepelbagaian manusia sebagai masalah. Sebaliknya, kepelbagaian ialah sebahagian daripada sunnatullah yang perlu diurus dengan hikmah. Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)
Perkataan لِتَعَارَفُوا membawa makna yang mendalam. Allah tidak menyatakan bahawa manusia dijadikan berbeza untuk saling menjauhi, tetapi untuk saling mengenali. Mengenali bukan sekadar mengetahui nama atau latar belakang seseorang, tetapi memahami pengalaman, budaya dan cara hidup yang berbeza.
Melalui proses mengenali, manusia dapat membina rasa empati dan mengurangkan salah faham. Dalam konteks Malaysia, kepelbagaian adalah realiti yang perlu diurus dengan bijaksana. Keharmonian tidak berlaku secara automatik, tetapi memerlukan usaha berterusan daripada setiap lapisan masyarakat.
Dakwah membina jambatan, bukan tembok
Golongan aktivis dakwah mempunyai peranan besar dalam membina budaya hormat dalam masyarakat. Dakwah yang berkesan bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi membentuk manusia yang membawa nilai rahmah, keadilan dan kebaikan.
Dalam masyarakat yang semakin berhadapan dengan polarisasi kaum dan agama, pendakwah perlu menjadi contoh dalam mengurus perbezaan. Perbezaan pandangan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memutuskan hubungan atau merendahkan maruah orang lain. Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Ayat ini menegaskan bahawa keadilan ialah prinsip yang tidak boleh dikompromikan walaupun terhadap pihak yang berbeza dengan kita. Seseorang Muslim tidak akan kehilangan prinsip apabila menghormati manusia lain. Bahkan penghormatan kepada manusia merupakan tanda kematangan iman dan akhlak.
Kesimpulan: Membina warisan generasi akan datang
Bulan Kebangsaan seharusnya menjadi ruang untuk kita memperbaharu komitmen membina masyarakat yang lebih baik. Kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui pembinaan manusia yang bebas daripada kebencian dan prasangka. Apa yang kita wariskan kepada generasi akan datang bukan hanya pembangunan fizikal, tetapi juga nilai dan budaya yang membentuk kehidupan mereka.
Jika kita mewariskan sikap prasangka, kita bakal meninggalkan masyarakat yang mudah berpecah belah. Namun jika kita mewariskan sikap hormat, keadilan dan budaya memahami, kita sedang membina asas kepada negara yang lebih aman dan sejahtera.
Marilah kita mendidik generasi baharu supaya bersifat menghormati sebelum menghukum, menyelidik sebelum mempercayai dan memahami sebelum membuat kesimpulan kerana sesungguhnya, sebuah negara yang kukuh bukan hanya dibina dengan bangunan yang tinggi dan ekonomi yang berkembang, tetapi dengan sikap manusia yang saling menghormati.
Wariskan hormat, tinggalkan prasangka kerana daripada itulah lahir nilai masyarakat yang bersatu, dan daripada masyarakat yang bersatu itulah terbina sebuah negara yang diberkati Allah.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-69.
“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”
“Wariskan Hormat, Tinggalkan Prasangka”
Dr. Mohd Yusri Ibrahim
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




