Malaysia Bermaruah: 3 Nilai Hadapi Cabaran Masa Depan

Cabaran besar pada era yang sedang mendatang ini ialah ketidaktentuan. Susah untuk kita bina daya jangka (foresight) sebab kejutan-kejutan akan terus berlaku dengan pantas, bahkan ia bersifat eksponen, bergerak dan berkembang dengan mendadak sekali.

Sebagai contoh, dalam bidang teknologi dan aplikasi, ketika telefon muncul pada tahun 1878, ia memerlukan lebih 70 tahun untuk mendapatkan seramai 100 juta pengguna.

Aplikasi Facebook pula memerlukan selama 4 tahun 6 bulan. Aplikasi Tiktok pula hanya memerlukan selama 9 bulan. Aplikasi Thread hanya memerlukan selama 5 hari sahaja untuk mencapai 100 juta pengguna.

Kita boleh perhatikan bagaimana sesebuah kemajuan teknologi sedang semakin laju dan cepat diguna pakai oleh pengguna di seluruh dunia. Dengan lajunya ia bergerak, selaju itu jugalah permasalahan baru yang tidak kita sangkakan terus muncul dalam pelbagai wajah.

Akhirnya, ketidaktentuan menjadi suatu kepastian menjelang tahun-tahun yang mendatang. Soalnya, apakah yang kita perlukan untuk menghadapi ketidaktentuan ini?

Dalam pemerhatian saya, ada tiga nilai utama yang sentiasa muncul dalam catatan sejarah. Tiga nilai ini ketika ada, mengangkat martabat sebuah tamadun, tetapi ketika hilang, menjatuhkan tamadun itu.

Saya percaya tiga nilai ini jugalah yang akan menentukan masa depan Malaysia sama ada menjadi sebuah negara bermartabat dan bermaruah atau ditertawakan dunia.

Nilai integriti

Pertama ialah nilai integriti. Malaysia memerlukan masyarakat yang pada setiap peringkat baik yang di atas mahupun yang di bawah mempunyai nilai integriti yang teguh.

Yang di atas tidak sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa dan membazir sumber mahsul negara. Yang di bawah juga tidak sewenang-wenangnya menipu dan mengambil hak orang lain dalam urusan kehidupan seharian mereka.

Namun, beban integriti ini lebih berat buat mereka yang berada di atas iaitu mereka yang mengurus tadbir hal ehwal negara. Apabila mereka tidak berintegriti, kesan buruknya lebih besar kepada masyarakat seluruhnya.

Namun, apabila mereka membangunkan integriti yang cukup kuat, ia sekali gus akan membina perubahan dalam kalangan masyarakat untuk turut mempunyai sifat berintegriti ini tanpa memerlukan penguatkuasaan undang-undang.

Kekuatan intelektual

Kedua ialah kekuatan intelektual. Malaysia memerlukan lapisan generasi baru yang mempunyai kekuatan nilai intelektual yang sifatnya mendalam dan meluas.

Biar mendalam agar memahami suatu permasalahan secara struktural dan berlapis, biar meluas agar suatu masalah dapat dilihat dengan kaca mata yang lebih banyak.

Kekuatan intelektual ini perlu dibaluti dengan semangat keberanian dan tanggungjawab moral agar segala kepentingan peribadi dapat diketepikan, manakala kepentingan awam dapat diutamakan.

Dalam dan luasnya nilai intelektual itu akan mendorong kepada kekayaan idea-idea baru dan kreatif dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat baik dalam bentuk polisi, dasar, tadbir urus, program dan lain-lain.

Permasalahan itu baik yang tiba-tiba muncul atau yang berlanjutan daripada generasi terdahulu. Kekuatan nilai intelektual ini sangat penting agar negara tidak ketandusan generasi pemikir yang terus-menerus mencetuskan perubahan-perubahan baru buat negara.

Kekuatan kepimpinan

Ketiga ialah kekuatan kepimpinan. Kepimpinan yang kuat bukan semata-mata tentang besarnya kuasa, tapi besarnya daya dan idea untuk mengajak rakyatnya bersama-sama menjayakan usaha-usaha perubahan.

Kuatnya sesuatu kepimpinan akan memberikan keyakinan dan jaminan bahawa kita mampu untuk mengantisipasi ketidaktentuan. Pentingnya kepimpinan ini adalah kerana dalam ruang ketidaktentuan, yang paling mencabar ialah ketidakjelasan dan kekaburan.

Dua perkara ini mewujudkan rasa takut dalam sanubari rakyat. Untuk mengumpulkan data dan maklumat yang cukup pula memerlukan masa. Soalnya, dalam ruang masa itu, bagaimana rakyat yakin dengan kita? Jawapannya ada pada kekuatan kepimpinan.

Analoginya sederhana. Kekuatan kepimpinan ini seperti sebuah bahtera besar yang berada di tengah laut. Terkadang gelombangnya menjulang tinggi, terkadang ia tenang rendah. Terkadang ribut petir dan angin beliung datang serentak, terkadang hanya terangnya langit.

Apapun keadaannya, bahtera ini mesti terus terapung dan bergerak ke satu arah tuju. Ia mampu untuk terus terapung dan bergerak jika penghuni bahtera itu meyakini bahawa kepimpinan kapal itu boleh dipercayai.

Sejak Malaysia merdeka, kita dipimpin oleh 10 orang perdana menteri. Menariknya, hanya seorang sahaja yang lahir selepas merdeka. Itu pun tiga tahun selepas merdeka.

Didik generasi

Beberapa perkara penting harus kita fahami, antaranya ialah mereka hidup dalam era ekonomi dan industri yang berbeza. Mendepani revolusi industri keempat, Malaysia memerlukan generasi baru yang dapat membawa negara ini menjadi lebih sejahtera meskipun berlaku ketidaktentuan.

Kuncinya adalah dengan mendidik dan melahirkan generasi hari ini dengan tiga nilai yang disebutkan tadi:

1. Perkasakan integriti dengan cukup kuat hingga tanpa tekanan undang-undang pun, tiada siapa yang akan melanggar kompas moralnya melampaui kepentingan peribadi.

2. Teguhkan nilai intelektual hingga sentiasa lahir idea-idea yang mampan dan kreatif bagi menyelesaikan masalah-masalah baharu di tengah masyarakat.

3. Perjuangkan upaya kepimpinan agar bahtera besar rakyat ini dapat dikemudi dengan jayanya walau besar mana pun gelombang yang melanggar.

Andai tiga nilai ini dapat kita suburkan dalam generasi muda, yakinlah negara ini di tangan insan-insan yang dapat menjamin kesejahteraan semua.

 

Usaid Muhamad Asmadi

Beliau kini adalah Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia merangkap Ketua JK Advokasi dan Libat Urus. Beliau juga adalah JK Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan mantan Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI). Beliau aktif menghasilkan makalah dan penulisan yang berkaitan dengan belia dan mahasiswa.

E-mel : [email protected]

 

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia