Bekal Penting Belia Hadapi Masa Depan Tidak Pasti

Kita masih dalam ruang ketidaktentuan dan ketidakpastian yang bersifat multidimensi. Dunia pasca-Covid-19 sudah merubah pelbagai perkara.

Maka, kekal dengan urusan seperti biasa (business as usual) tidak akan dapat menghasilkan kesan yang sama seperti sebelum ini.

Situasi dan suasana sudah berubah. Sumber dan tabiat manusia juga sudah berubah. Perspektif dan cara pandang juga mesti berubah.

Kita sedang mewarisi masalah dengan terus berdepan krisis perubahan iklim, kepurukan kemiskinan, kesenjangan sosial, ketidaktentuan ekonomi, polemik politik, gangguan kesejahteraan mental, hubungan masyarakat dan sebagainya yang seperti tidak nampak hujung pangkalnya, bahkan ia semakin memburuk.

Jika kita memilih untuk kekal berfikir dan bekerja seperti sebelum ini, ia hanya akan semakin merugikan kita. Kita tidak akan dapat keluar daripada krisis ini.

Perubahan yang berlaku ini menggusarkan kesejahteraan para belia kita. Dalam keadaan ketidakpastian, sukar sebenarnya untuk membina sebuah keyakinan bahawa masa depan masih ada untuk kita – masa depan yang lebih baik.

Semua ini dapat kita hadapi jika mempunyai bekal yang cukup untuk depani. Ada beberapa bekal yang kita perlukan, namun saya fikir, ini adalah tiga bekal yang terpenting untuk para belia miliki untuk mendepani masa depan yang tidak pasti.

Bekal Minda Bertumbuh

Pertama, bekal minda bertumbuh (growth mindset). Minda pertumbuhan adalah minda yang bersedia untuk belajar (learn), belajar semula (relearn) dan nyahbelajar (unlearn).

Minda ini tidak cepat berasa selesa meskipun cara berfikir sedia ada pernah berjaya membuahkan hasil yang diinginkan. Minda ini sentiasa mencari lagi cara untuk tambah baik termasuk berhenti belajar perkara yang hanya menghasilkan perkara yang sama.

Keupayaan minda bertumbuh mengizinkan diri kita untuk mampu beradaptasi dengan perubahan yang berlaku. Kita tidak cepat menyalahkan perubahan, apatah lagi menjadi kaku dan terkedu dengan perubahan.

Minda bertumbuh ini memerlukan tujuan (purpose), makna (meaning) dan nilai (value) yang disebatikan dalam diri kita. Maka, ketika perubahan itu memerlukan kita berubah, maka minda bertumbuh dapat mengurus sikap kita.

Minda bertumbuh menuntun sikap kita terus bergerak mengasah dan meningkatkan semula kemahiran, keperibadian dan pengetahuan yang kita ada supaya kita dapat menempatkan diri dalam ruang perubahan agar tidak tenggelam dan hilang di dalamnya.

Antara doa yang baik dijadikan amalan oleh para belia setiap kali ini jalani fasa minda bertumbuh:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ وَمِنْ دُعَاءٍ لاَ يُسْمَعُ وَمَنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon perlindungan daripada ilmu yang tidak bermanfaat, doa yang tidak didengari, hati yang tidak khusyuk dan jiwa yang tidak pernah puas.

Bekal Ketahanan Diri 

Kedua, bekal ketahanan diri (resilience) pada aspek fizikal dan mental. Perlu diakui, sukar sebenarnya untuk berdepan dengan perubahan kerana perubahan selalu mengasak kita keluar daripada zon selesa.

Tapi ketahanan akan menjadi kekuatan yang dapat membuatkan kita tidak cepat putus asa dan berlepas tangan kepada takdir tanpa usaha ketika berdepan dengan situasi yang tidak pasti.

Ketika perubahan itu berlaku, ia akan menekan dan mengasak kita. Apakah yang akan membuatkan kita kekal waras? Jawapannya adalah ketahanan kita. Dengan akal yang waras dapat membantu kita melakukan keputusan yang waras untuk keberlangsungan hidup kita.

Ketahanan ini tidak muncul tiba-tiba. Ia ada pada keupayaan kita berdepan dengan hal yang kita takuti dan sistem sokongan yang ada di sekitar kita.

Maka, atasi rasa takut untuk berdepan dengan perkara yang baru dengan melakukannya dan carilah lingkungan yang dapat menguatkan kita. Dari sini, ketahanan kita akan semakin terbina.

Bekal Cipta Masa Depan

Ketiga, bekal keupayaan mencipta masa depan. Para belia harus mencari tempat untuk menentukan masa depan mereka. Mengambil sikap tidak peduli atau apatis, hanya membiarkan masa depan negara ditentukan oleh pihak lain, bukan belia sendiri.

Maka, sikap proaktif untuk mengambil tahu dan mengambil peranan adalah bahagian yang sangat penting menentukan sikap kepimpinan negara ketika menentukan dasar dan polisi, atau berinteraksi dengan masalah semasa yang sedang membelenggu masyarakat.

Ia tidak semestinya dalam bentuk demonstrasi atau serahan memorandum, ia boleh juga berbentuk dialog, penglibatan dalam jawatankuasa penting, libat urus, pembangunan belia dan jaringan strategik secara berterusan.

Belia Berani 

Belia dalam ruang awam mempunyai kepentingan dan impak yang sangat vital. Menyebut belia sebagai generasi baharu bukanlah dengan cara fikir mewarisi dan meneruskan apa yang sedia ada.

Belia harus fahami mereka adalah generasi pembaharu – berani merubah dan melawan status quo (dalam apa-apa bidang, tidak semestinya dalam pencak politik) jika ia adalah amalan lapuk yang sudah semakin hilang tempat.

Keberanian belia untuk berperanan akan menjadikan masa depan dibentuk dan diubah suai pada tangan mereka sendiri.

Namun, semua ini harus didukung bersama dengan sebuah ekosistem yang saling mengukuhkan antara satu sama lain secara horizontal dan vertikal.

Bergantung hanya semata-mata pada diri belia untuk sentiasa beradaptasi dengan perubahan, namun ekosistem tidak mendukung mereka, hanya akan berakhir dengan sebuah kelelahan yang berpanjangan – lebih parah, berakhir dengan sikap pesimis dan putus asa.

Ambil Peranan 

Maka, ada peranan penting yang mesti diambil oleh pelbagai pihak mengikut ruang penglibatan mereka.

Di pihak kerajaan dan kementerian, mesti dihasilkan dan dipastikan dasar, polisi dan pelaksanaan melihat kepada kesan jangka masa panjang kesejahteraan generasi akan datang.

Ia bukan dibuat semata-mata bersifat reaktif dan kepentingan politik – seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Pengurusan perbelanjaan juga mesti dipastikan tiada ketirisan yang sia-sia mahupun dibelanjakan di tempat yang sia-sia, apatah lagi jika dibelanjakan di tempat yang tiada kepentingan awam, hanya pada kepentingan kroni dan pihak tertentu sahaja – seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Di ruang perniagaan dan keusahawanan, setiap keputusan yang dibuat tidaklah hanya semata-mata keuntungan syarikat – seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Tapi harus juga diperhatikan terhadap soal kebajikan sosial, kepentingan alam sekitar dan maruah pekerja.

Di ruang badan bukan kerajaan dan yayasan kebajikan, ia oharus mengubah orientasi pergerakan mereka yang dapat melestarikan kebajikan.

Ia tidak hanya bersifat ‘touch and go’ yang cenderung mendapat perhatian media, tapi tidak benar-benar melestarikan penerima bantuan – seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Orientasi itu harus bersifat ‘touch and grow’ yang dapat keluarkan mereka daripada putaran kemiskinan dan kejahilan. Hal ini termasuk juga dalam soal tadbir urus dan ketelusan.

Ke semua ini akhirnya membina sebuah ekosistem yang dapat menjamin kesejahteraan belia hari ini dan akan datang. Asasnya, “business as usual” dan berasa selesa dengan apa yang ada dalam dunia pasca-Covid-19 hanya kerja yang membawa kita ke belakang dan lembah kerugian, bukan kemajuan dan terus ke hadapan.

Maka, harus ada keberanian untuk mengubah cara kita berfikir dan bekerja pada generasi hari ini untuk bertanggungjawab terhadap setiap keputusan dan pelaksanaan yang mereka lakukan.

Usaid Muhamad Asmadi adalah Ketua Penerangan IKRAM Muda Malaysia merangkap Ketua JK Advokasi dan Libat Urus.

Beliau juga adalah JK Pendidikan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan mantan Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI). Beliau aktif menghasilkan makalah dan penulisan yang berkaitan dengan belia dan mahasiswa.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia