AMPANG JAYA – Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana semalam berlangsung meriah dengan meraikan seramai 34 pasangan pengantin di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.
Majlis anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri.
Beliau dalam ucapan perasmian menzahirkan, penganjuran majlis resepsi ini adalah untuk memartabatkan institusi perkahwinan serta memberi peluang kepada pasangan kurang berkemampuan merasai sebuah kenangan perkahwinan paling indah dalam hidup.
Tambah beliau, keluarga di Malaysia pada ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kesukaran mengimbangkan masa bersama keluarga akibat tuntutan kerja, pendidikan anak, penerapan nilai-nilai murni yang semakin terhakis, penjagaan anak dan ibu bapa, kestabilan kewangan dan peningkatan kos sara hidup.
Kesukaran untuk mengawal dan mengatasi cabaran kehidupan berumah tangga seperti ini mungkin akan mempengaruhi kebahagian dan kesejahteraan keluarga.
Pasangan-pasangan yang diraikan dalam majlis resepsi ini telah mengikuti Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0 secara dalam talian dan fizikal pada 16 dan 23 November yang lalu.
Kursus ini dibuat sebagai persediaan peserta melayari alam perkahwinan dan membantu pasangan membuat keputusan yang bijak, memahami peranan masing-masing dan mengatasi konflik keluarga sekali gus mengelakkan perceraian.
Turut hadir pada Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana adalah Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, Puan Juwairiya Zulkifli, Timb. Pengerusi LPPKN, Hj Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Hj Badlishah Sham Baharin, Presiden IKRAM, Dr Ani Ahmad, Yang Dipertua MPAJ, Puan Rosmonaliza Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN dan pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi.
Di samping itu, IKRAM amat menghargai kerjasama semua pihak dan juga peranan aktif para kakitangannya serta ahli-ahli daripada IKRAM Kuala Lumpur yang bertugas menjayakan majlis meraikan pengantin besar-besaran pada tahun ini secara langsung dan tidak langsung.
Semoga semua pasangan yang diraikan dapat merasakan detik majlis resepsi perkahwinan yang terindah dalam hidup dan majlis ini menjadi salah satu usaha IKRAM dan LPPKN bagi mengukuhkan institusi perkahwinan ke arah kesejahteraan.
Sumber foto: LPPKN