“Sambutan yang diraikan demi mengingati insiden pencerobohan Nazi jerman terhadap University of Prague pada 17 November 1939 ini merupakan simbol perjuangan mahasiswa dalam mempertahankan kebebasan bersuara berhadapan tindakan rejim yang zalim,” demikian ujar wakil Mahasiswa Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam menyambut hari yang bersejarah ini, para mahasiswa di Malaysia terpanggil untuk menyuarakan pandangan terhadap insiden pencabulan hak kebebasan bersuara saudara-saudara seangkatan di bumi Mesir.
“Iaitu rentetan daripada rampasan kuasa tentera daripada kerajaan pimpinan Dr Mohamed Morsi yang telah dipilih secara sah dan demokratik pada 3 Julai 2013 lalu dan seterusnya mengambil pendirian untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Mesir pimpinan as-Sisi yang amat zalim terhadap para mahasiswa di Mesir.”
Dalam pada itu, para mahasiswa di Mesir bukan sahaja dinafikan hak untuk berdemonstran bagi menyampaikan suara mereka, bahkan lebih daripada itu.
“Seperti yang telah kita ketahui, rejim Mesir telah bertindak melampaui batas sehingga telah mengorbankan nyawa ratusan mahasiswa di Mesir.”
Jelasnya lagi, menurut maklumat yang diperoleh melalui Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia Menyokong Legitimasi Mesir (M4E), berikut adalah statistik kes pencabulan hak-hak mahasiswa di universiti awam dan swasta seluruh Mesir:
– Lebih daripada 234 kes pembunuhan luar rangka undang-undang di tangan rejim Kudeta, termasuk 22 mahasiswa yang terbunuh dalam kawasan universiti mereka dan 8 mahasiswa lain diseksa dan dibunuh oleh pihak polis semasa dalam tahanan.
– 566 mahasiswa dilaporkan hilang selepas ditahan pihak berkuasa tanpa apa-apa pengesahan undang-undang atau kenyataan rasmi atas penahanan mereka
– 4,573 mahasiswa ditangkap kerana latar belakang pandangan politik mereka
– 1,223 mahasiswa diberhentikan daripada universiti dan dihalang daripada menamatkan pengajian; dan
– 160 mahasiswa dikenakan seksaan di balai polis dan di pusat tahanan.
Pihak Mahasiswa Malaysia turut mengadakan kempen #Solidariti_mahasiswa_Mesir_17November dan #International_students_Day di medium maya seperti facebook, twitter dan lain-lain pada 17-19 November lalu, selama tiga (3) hari berturut-turut bagi menunjukkan solidariti rakyat Malaysia bersama para mahasiswa di Mesir.
Kenyatan yang disokong oleh 10 institusi dan gabungan IKRAM Siswa, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Lensa Kampus, Lensa Anak Muda Malaysia, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, Student Progressive Front (SPF) UiTM, Pemuda Sosialis, AMK (Biro Mahasiswa), We Unite For Islam (WUFI) UIAM, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Sisters In Movement (SIM) turut menyeru Kerajaan Malaysia agar bersama-sama berani menyatakan pendirian terhadap tindakan zalim rejim Kudeta Mesir ini.