Lima Cara Muslimah Menjaga Hubungannya dengan Allah

Pernahkah kita terfikir, mengapa semakin hari kita semakin jauh daripada Maha Pencipta? Masa kita untuk dunia lebih panjang diagihkan berbanding masa kita bersama Allah SWT. Hati juga resah gelisah. Ibadah yang ditunaikan juga tidak khusyuk. Hingga saatnya kita menjadi manusia yang alpa dan futur.

Sedarilah, kemungkinan ada hal-hal yang perlu kita baiki supaya hubungan kita bersama Allah SWT terpelihara dan diuruskan dengan sebaik-baiknya. Menjaga hubungan kita bersama Maha Pencipta adalah kewajipan kita sebagai hamba-Nya. Dengan cara menjaga ibadah kita kepada-Nya, kita semakin dekat di sisi-Nya. 

Bagaimanakah cara bagi seorang Muslimah mendekatkan dirinya kembali kepada Allah SWT setelah hampir lama dia hanyut dalam kehidupannya? Mari kita semak lima perkara ini:

1. Taat pada Perintah-Nya

Menjadi Muslimah yang solehah dan taat pada hal-hal yang diperintahkan dalam Islam adalah kewajipan yang sama sekali tidak boleh diabaikan. Wanita Muslimah yang berilmu mesti menerapkan kewajipan ini agar tidak mudah tersungkur ketika mengerjakan suruhan Rabbnya. Dengan cara mematuhi perintah-Nya, kita dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Allah berfirman:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung.” (Surah an-Nisa’: 13)

2. Menjaga Ibadah Solat

Ibadah solat yang ditunaikan menjaga kita daripada kemungkaran. Menjaga ibadah solat lima kali sehari salah satu sebab yang mendekatkan kita kepada Dia. Solat adalah tali penghubung antara kita dengan Tuhan. Sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia memutuskan hubungannya dengan Allah SWT.

 Justeru, sebagai umat Islam, penting untuk kita menjaga ibadah solat kita agar Allah tidak jauh daripada kita, menerusi firman-Nya yang memerintahkan kepada kita:

وَاسْتَعِيْنُوْا بِالصَّبْرِ وَالصَّلٰوةِ ۗ وَاِنَّهَا لَكَبِيْرَةٌ اِلَّا عَلَى الْخٰشِعِيْنَۙ

“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah: 45)

3. Segera Bertaubat Ketika Melakukan Dosa

Dosa adalah perbuatan mungkar dan buruk yang sememangnya diakui melonggarkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Menebus kesalahan mahupun dosa yang pernah dilakukan adalah syarat bagi seorang Muslimah itu memperbaiki hubungan dengan Tuhannya. 

Menjadi Muslimah yang segera bertaubat dan menginsafi kesilapanlah yang akan selalu membawa kita bertemu dengan-Nya. Rasulullah SAW bersabda: 

“Semua bani Adam pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang salah adalah yang segera bertaubat.” (Sunan Ibnu Majah no. 4251, Hasan menurut al-Albani)

4. Memakan Makanan yang Halal

Muslimah yang memahami hukum-hakam dalam Islam akan menghindari memakan makanan daripada sumber yang haram kerana ia boleh mengakibatkan doanya tidak dikabulkan.

Hal ini juga disebabkan ia mampu menjauhkan kita daripada Allah SWT kerana kita mengambil ringan soal pemakanan yang masuk ke dalam perut kita. 

Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya jarak yang ditempuhinya sehingga rambutnya kusut, masai, dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.”

Padahal makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram dan segala sesuatunya dihasilkan daripada yang haram. Maka, bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (Sahih Muslim no. 1015)

5. Reda Menerima Ketentuan-Nya

Menerima ketentuan-Nya adalah urusan takdir Allah SWT yang wajib kita imani. Kita tidak menghakimi dan juga menolak sesuatu yang sudah diberikan oleh Allah. 

Semakin seorang Muslimah itu reda dengan keputusan Allah, semakin itu juga Allah menjaga dia daripada musibah. Semakin itu pula kita berada dalam jagaan dan perlindungan-Nya.

Jika hati kita tidak tenang, bererti kitalah yang sudah jauh meninggalkan Dia dalam setiap langkah kita. 

Mendekatlah kepada-Nya. Lazimilah amalan-amalan soleh seperti membaca al-Quran dan sebagainya supaya kita beroleh ketenteraman dan keamanan, supaya Allah menghampiri kita dan tidak membiarkan kita yang sudah kerap mengingati-Nya dalam setiap keadaan.

Daripada Ubadah bin Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang mencintai perjumpaan dengan Allah, nescaya Allah pun mencintai perjumpaan dengannya. Sebaliknya, barangsiapa yang membenci perjumpaan dengan Allah, Allah pun membenci perjumpaan dengannya.” (Sahīh Al-Bukhari no. 6507)

Syuhara Suriati
Penulis antologi, anekdot, artikel, puisi, majalah dan resensi buku

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia