Lepasan SPM Tidak Sambung Belajar: Apa Solusinya?

Lepasan SPM Tidak Sambung Belajar: Apa Solusinya? | IKRAM

Riuh satu Malaysia apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan 71.2 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.

Data kajian 2019 ini membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, yang juga menunjukkan hanya 170,000 memilih untuk menyambung pengajian. 

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekali lagi memberi kejutan apabila mendapati 24,941 daripada 407, 097 calon berdaftar tidak menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2021.

Pada masa yang sama, 45,526 calon yang menduduki peperiksaan SPM tidak layak mendapat sijil kerana gagal mata pelajaran Bahasa Melayu  atau Sejarah atau kedua-duanya. 

Isu ini telah membangkitkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat kerana sudah tentu nilai ini bukan sekadar angka semata-mata, tetapi melibatkan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Anak-anak muda inilah yang kelak nanti menjadi penentu aras kepada pembangunan negara, sama ada untuk terus melangkah maju atau mundur ke belakang. Maka, sebenarnya ke mana arah hala taju anak-anak muda ini?

Tidak Sambung Belajar: Apa Punca?

Angka 72.1 peratus lepasan SPM enggan sambung belajar pada 2019 adalah jumlah yang besar, namun lebih membimbangkan jika angka itu semakin meningkat selepas tempoh dua tahun PKP.

Apa sebenarnya yang terjadi kepada anak-anak muda ini sehingga telah keciciran dalam SPM termasuk mereka yang menolak untuk menyambung pelajaran?

Benarkah mereka sudah berputus asa dan merasakan pendidikan tidak lagi penting? Atau adakah mereka merasakan sudah cukup dengan sekadar SPM sahaja?

Kemungkinan besar faktor ekonomi menjadi puncanya ekoran ketidakmampuan keluarga lepasan SPM untuk menampung kewangan mereka untuk menyambung pelajaran.

Dengan kos pengajian di IPT yang tinggi dan gaji yang tidak kompetitif selepas menamatkan pelajaran nanti, sebahagiannya akan berfikir untuk bekerja terus selepas SPM untuk membantu diri dan keluarga.

Bagi sesetengah pihak, pasti mereka merasakan isu ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan sewajarnya patut ditangani dengan segera agar tidak menjadi trend yang meningkat.

Dikhuatiri jika berlarutan, ia akan menjejaskan produktiviti negara pada masa mendatang kerana kekurangan ramai tenaga mahir. Bahkan lebih buruk lagi, negara terpaksa mengimport lebih ramai tenaga mahir luar yang akan meningkatkan aliran wang negara ke luar negara. 

Sebahagian masyarakat pula bersahaja menerima berita ini kerana beranggapan, pada zaman era digital dan kepesatan ekonomi gig yang menawarkan pekerjaan dengan pelbagai sumber pendapatan yang fleksibel, mereka yang rajin berusaha akan turut berpeluang meningkatkan taraf hidup mereka.

Tambahan pula, mungkin sebahagian mereka yang bekerja selepas SPM akan menyambung pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi apabila kewangan mereka kembali stabil semasa bekerja.

Maka, tidak menghairankan apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan bahawa terdapat permintaan tinggi daripada lepasan SPM berusia 18 tahun yang berminat untuk menjadi penunggang p-hailing, satu pekerjaan yang mampu menjana wang segera yang agak lumayan.

Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik Covid-19 juga menjadi faktor utama yang telah menjejaskan persekolahan para pelajar dan banyak pendapatan keluarga terjejas hingga dihimpit kemiskinan.

Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021 mendapati sebanyak 20 peratus daripada kumpulan M40 telah beralih kepada had pendapatan di bawah kumpulan B40.

Lepasan SPM: Cari Solusi

Andaian demi andaian, situasi ini terus menimbulkan tanda tanya. Kementerian Pendidikan perlu segera bertindak menangani isu ini dengan serius melalui pendekatan yang teliti dan solusi yang tuntas.

Harus kita sedari bahawa isu ini tidak terjadi semalaman tetapi sebaliknya, ia adalah natijah daripada segala pengalaman yang telah dilalui oleh pelajar sepanjang masa usia persekolahan. 

Benar, pendidikan belum tentu mampu menjanjikan masa depan yang cerah. Namun, ilmu mampu mengubah cara memandang hidup dan menaikkan keupayaan individu untuk mendepani cabaran hidup dengan lebih matang dan bijaksana melalui adab dan anjakan pemikiran.

Pastinya sesiapa yang mempunyai ilmu akan diperlukan dan mampu menjadi penambah baik terhadap kualiti kehidupan. 

Sudah tentu kepentingan ilmu tidak wajar dipersoalkan lagi. Sejarah telah banyak merekodkan bagaimana tamadun Islam terbina dengan kuat melalui pengembangan dan pertukaran ilmu.

Tokoh-tokoh sarjana Islam seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Sina, al-Zahrawi dan ramai lagi masih disebut-sebut hingga ke hari ini, bahkan Eropah turut mengalami kebangkitan daripada zaman kegelapan kerana transformasi ilmu. 

Persoalannya sekarang, apakah yang boleh dilakukan untuk memanggil atau memujuk semula anak-anak muda ini agar kembali semula ke dalam sistem pendidikan jika laluan ini boleh memberikan peluang kesinambungan kehidupan yang lebih sempurna?

Dalam isu ini, perlu diwujudkan sistem sokongan yang mapan melalui pendekatan yang tepat.

Sebaik-baiknya jangan sampai tersilap meminggirkan mereka sehingga boleh wujud rasa ditindas kerana realitinya setiap orang melalui kisah hidup dengan ujian tersendiri.

Dalam menangani isu ini, sejauh manakah keseriusan pihak kerajaan bertindak memikul tanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini?

Kita belum melihat kesungguhan yang jelas oleh pihak kerajaan dalam merangka penyelesaian yang holistik dalam menggalakkan lepasan SPM untuk menyambung pelajarannya.

Kerajaan perlu menilai semula dasar PTPTN terutamanya bagi mahasiswa daripada keluarga B40, kos-kos pengajian yang tinggi terutama di IPT Swasta dan menyelaraskan kursus pengajian dengan peluang kerjaya.

Masa hadapan generasi muda negara perlu diselamatkan. Profesor Dr Yusuf al-Qaradawi pernah berkata:

“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya hari ini. Jika generasi mudanya hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur. Tetapi jika keadaan sebaliknya, maka bersedialah untuk berdepan kemungkinan buruk yang berlaku.”

Selain kerajaan, kerjasama semua pihak amat perlu dalam membantu menggalakkan lepasan SPM untuk menyambung pelajaran mereka, termasuk pihak ibu bapa, sekolah, NGO, swasta, persatuan penduduk mahupun masyarakat setempat. 

Bak peribahasa “Adat pulau limburan pasang,” bersedialah dan mainkanlah peranan masing-masing untuk bersama-sama membantu mengemudi generasi pelapis masa hadapan ke arah memperkasakan jiwa dan pemikiran mereka demi kemakmuran negara.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia