Lepasan SPM Perlu Kemahiran Abad Ke-21

Lepasan SPM Perlu Kemahiran Abad Ke-21 | IKRAM

Alhamdulillah, pada tanggal keramat 16 Jun 2022, para ibu bapa dan calon yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berasa cukup gembira kerana keputusan peperiksaan telah pun diumumkan.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Nor Zamani Abdol Hamid, seramai 9,696 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran. 

Adat kalah menang, yang berjaya pasti akan berasa gembira dengan kejayaan yang dikecapi. Namun kepada calon yang gagal mencapai keputusan yang terbaik, pastinya ini bukan jalan mati yang ditemui untuk anda dalam menuju kembara cita-cita masa depan.

Setiap kali selepas keputusan SPM diumumkan, pastinya para pelajar akan berada dalam dilema. Mereka perlu membuat satu keputusan besar demi masa depan yang menyenangkan hati semua pihak terutamanya ibu bapa dan keluarga.

Mereka perlu menentukan ke mana hala tuju selepas ini. Adakah mereka akan menyambung pelajaran di menara gading, ataupun terus melangkah ke dunia pekerjaan untuk membantu menambahkan pendapatan keluarga?

Kepada para pelajar yang mengambil keputusan untuk melangkah kaki ke menara gading, adakah anda akan memohon bidang pengajian yang diminati atau bidang yang mempunyai peluang pekerjaan yang luas?

Segala persoalan ini bukanlah satu perkara baharu bahkan ia adalah asam garam dalam meniti usia awal dewasa.

Trend Lepasan SPM

Tular di media sosial sekarang ini iaitu trend di mana pelajar lepasan SPM dilihat berkira-kira untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi. 

Mereka berpendapat, kelulusan yang bakal diperolehi setelah tamat pengajian sama ada pada peringkat diploma mahupun ijazah sarjana muda tidak membolehkan mereka untuk mendapatkan gaji yang lumayan.

Mereka hanya akan dibelenggu pinjaman kewangan pendidikan yang tidak berpenghujung. 

Pemikiran seperti ini menunjukkan ‘kemiskinan’ semangat sebelum mereka menjadi ‘kaya’. Generasi zaman kini tidak dapat membezakan antara pengetahuan dan ilmu; juga gaji dan rezeki. 

Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, kita mudah untuk memperolehi pengetahuan dan maklumat. Sumber-sumber seperti Google, YouTube, Facebook dan lain-lain memudahkan pencarian maklumat dengan segera dan pantas.

Namun kadangkala, maklumat yang diperoleh ini tidak mempunyai sumber yang sahih dan dipercayai. Lalu di sinilah kita perlu menggunakan ilmu sebagai benteng diri dalam menentukan sama ada yang hak mahupun batil.

Ilmu adalah semacam pengetahuan yang disusun secara sistematik. Dan pastinya, untuk mendapatkan pengetahuan yang sistematik ini memerlukan guru yang memang mahir dan pakar dalam bidang tersebut.

Namun apa yang dapat kita lihat hari ini, masyarakat lebih cenderung untuk mempelajari pengetahuan yang dianggap ilmu daripada sumber yang diragui kesahihannya, lalu mengamalkan pengetahuan tersebut dalam kehidupan seharian.

Fikir Masa Depan

Para pelajar perlu sentiasa sedar dan ingat bahawa SPM bukanlah penamat destinasi pencarian ilmu bahkan ia adalah pintu mula dalam melangkah masuk ke alam dewasa.

Para calon SPM 2021 merupakan kumpulan pelajar pertama yang menduduki peperiksaan itu dengan kaedah pentaksiran terbaharu.

Ternyata bahawa mereka adalah golongan yang telah berjaya mengharungi cabaran dan dugaan yang sebelumnya yang belum pernah dihadapi oleh kumpulan pelajar sebelum ini. 

Pembelajaran secara dalam talian bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan ketekunan dan fokus yang mendalam terhadap setiap tugasan yang dilaksanakan.

Namun dengan berkat kesabaran, mereka dapat mengatasi segala cabaran yang mendatang dengan amat cemerlang. Ia terbukti dengan keputusan yang telah diumumkan dengan kejayaan yang telah dicapai oleh para calon SPM 2021. 

Kemahiran Abad ke-21

Walau apapun jalan yang dipilih, para pelajar perlu sedar bahawa mereka perlu mempersiapkan diri untuk menjadi pesaing hebat dalam dunia realiti pekerjaan nanti. Mereka perlu melengkapkan diri dengan Kemahiran Abad ke-21 atau 21st Century Skill.

Ia merupakan satu istilah yang dicipta bagi memberikan pendedahan tentang kemahiran, keupayaan dan pembawakan yang telah dikenal pasti sebagai satu kaedah berkesan bagi membolehkan seseorang individu itu mencipta kejayaan yang hebat dan luar biasa.

Kemahiran Abad ke-21 juga merupakan kaedah yang menyeluruh bagi mengembangkan keupayaan individu untuk bersaing dalam masyarakat digital yang berubah dengan pesat dan cepat. 

Terdapat empat elemen kemahiran yang utama yang ditekankan dalam Kemahiran Abad ke-21 iaitu komunikasi, kreativiti, berfikiran kritikal dan kolaborasi.

Keempat-empat elemen kemahiran ini sangat penting dalam menyediakan seseorang individu untuk menguasai dan menilai maklumat seterusnya mampu mencipta kualiti kehidupan yang lebih stabil.

Kemahiran Komunikasi

Kemahiran pertama adalah komunikasi. Komunikasi merupakan elemen yang penting dalam mempermudahkan segala proses kehidupan. Tanpa komunikasi, mesej tidak dapat disampaikan daripada satu pihak kepada pihak yang lain dengan berkesan.

Kemahiran komunikasi pastinya amat diperlukan sewaktu sesi temu duga untuk permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Dan setelah berjaya untuk menempatkan diri dalam bidang pengajian yang diminati, para pelajar perlu sentiasa berkomunikasi dengan sahabat, pensyarah dan komuniti sekeliling mereka.

Kelemahan dari aspek komunikasi boleh membawa kepada salah faham, yang jika tidak diselesaikan dengan segera, ia mampu menggugah kestabilan emosi dan hubungan.

Kemahiran komunikasi yang tinggi juga membantu pelajar berjaya cemerlang dalam temu duga pekerjaan kerana para majikan pastinya mencari calon pekerja yang mempunyai kemahiran interpersonal yang terbaik.

Kemahiran Kreativiti

Kreativiti pula merupakan daya keupayaan untuk menggunakan minda di luar kotak dalam menjana dan menghasilkan idea yang tidak terhad, pelbagai, baharu, asli, luar biasa untuk dikembangkan kepada idea yang lebih luas dan terbuka.

Kemahiran kreativiti yang ada pada seseorang pelajar dapat menjadikannya individu yang holistik dan cemerlang dalam pelbagai bidang kehidupan. 

Pelajar yang kreatif mampu meneroka kehidupan dengan lebih menarik. Mereka mampu mencipta inovasi yang terbaru sesuai dengan keperluan keadaan semasa.

Situasi ini pastinya dapat menjurus kepada generasi yang mampu survive (bertahan) dalam apa juga cabaran yang mendatang. 

Kemahiran Berfikiran Kritikal

Kemahiran yang seterusnya adalah berfikiran kritikal. Ilmuan Barat, Bloom telah menghuraikan bahawa pemikiran kritis melibatkan aktiviti mental secara analisis, sintesis dan penilaian.

Elemen kemahiran ini pastinya mendorong para pelajar untuk sentiasa menganalisis isu-isu yang berlaku di sekeliling dari pelbagai dimensi. 

Keseimbangan pemikiran kreatif dan kritis adalah salah satu karakter individu yang pintar dan cemerlang. Mereka mampu mengharungi cabaran dengan taktik yang penuh strategi dan dinamik.  

Kemahiran Kolaborasi

Kemahiran yang keempat adalah kebolehan membina jaringan atau kolaborasi. Para pelajar yang mampu menjalinkan hubungan yang baik dengan setiap individu yang ditemui pastinya membolehkannya mewujudkan sinergi agar dapat mencapai sesuatu dengan lebih baik.

Kerja yang mempunyai sinergi yang mantap melalui kolaborasi bukan sahaja membantu untuk menyelesaikan tugasan, malah meningkatkan produktiviti kerja. 

Kemahiran Yang Terabai

Namun, apa yang menyedihkan kini adalah keempat-empat kemahiran ini telah sedikit sebanyak diabaikan oleh para generasi muda. Mereka kurang merasakan kepentingan untuk membangunkan diri dengan ilmu yang berteraskan kepada kemahiran-kemahiran tersebut.

Mereka adalah ahli masyarakat yang telah leka dalam dunia digital yang dilihat lebih menyeronokkan dan mampu memberikan kepuasan. 

Bila direnung kembali, seorang individu yang bekerja pastinya akan membawa pulang gaji setelah berhempas-pulas di tempat kerja masing-masing. Namun, adakah gaji yang diperolehi itu adalah sebenar-benar rezeki untuk mereka?

Dapatkah pengetahuan yang diperolehi itu memberikan pemahaman yang mendalam kepada generasi baharu ini tentang makna rezeki ataupun mereka perlu berguru untuk mendapatkan ilmu yang hakiki?

Ternyata, semua pihak sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah harus bersatu dan menggembleng usaha bagi memberikan kesedaran kepada generasi muda agar mereka sedar kepentingan menuntut ilmu.

Sama ada para pelajar ini akan memilih untuk ke institusi pengajian tinggi atau institusi TVET, mereka harus terus fokus untuk menuntut ilmu.

Ini kerana mereka adalah calon pemimpin Malaysia pada masa hadapan yang pastinya perlu mendukung aspirasi pembangunan negara ke arah kegemilangan dan kecemerlangan. 

Nurul Nisha Mohd Shah, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan
Mohd Radzman Basinon, Jurulatih Komunikasi Audio Visual, Sixtysix Action Academy

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia