Tanggal 19 November 2022,, seluruh Malaysia diberikan mandat untuk memilih pemimpinnya bagi penggal Parlimen akan datang.
Bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang, rakyat akan mengerumuni dewan-dewan serbaguna, sekolah-sekolah dan bangunan lain bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di kaunter pendaftaran akan meminta kad pengenalan masing-masing untuk mengesahkan, apakah benar si pengundi warganegara atau orang asing yang diberi kerakyatan untuk membantu parti korup memenangi pilihan raya.
Sambil beratur menentukan nasib negara, si tua akan menyapa si muda, si Awang akan bertanya Ah Seng apa yang dimakan untuk sarapan, dan akan ada yang memberi khidmat kepada si wanita hamil sambil rakannya mengambil video untuk dibuat ‘content’ media sosial untuk meraih ‘likes.’
Dan tentunya, golongan muda-mudi yang pertama kali mengundi berswafoto bersama rakan untuk dimuat naik ke Instagram, Twitter dan TikTok.
Ini kerana kata mereka, Facebook untuk orang berusia. Bahkan dalam banyak-banyak segmen masyarakat, barangkali segmen ini dan segmen pengundi atas pagar yang paling dirayu undinya oleh para politikus berikutan tergubalnya Akta Undi18.
Begitulah senario pesta ‘hari raya’ Malaysia yang datangnya lebih kurang lima tahun sekali.
Langkah Sheraton Satu ‘Tragedi’
Langkah Sheraton pada 2020 merupakan satu ‘tragedi’ dalam sejarah negara. Yang rugi memandangnya titik hitam dan yang untung pula mengatakan ia kejayaan Melayu-Islam.
Apa yang pasti, ia berjaya mendedahkan kerapuhan dan ruang-ruang penyelewengan sistem demokrasi yang diguna pakai di negara ini.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, kerajaan memerintah selama 22 bulan dan tiga Perdana Menteri dilantik dalam masa satu penggal.
Kebetulan wabak COVID-19 yang melanda negara seiringan pula dengan insiden politik tersebut. Pandemik itu bukan sekadar bencana kesihatan tetapi juga bencana ekonomi, berikutan itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan.
Umum maklum, ramai terkesan sehingga hilang pekerjaan, malah tragisnya hingga meragut nyawa sendiri akibat tekanan hidup.
Di kala semua musibah ini, percakaran politik tetap berlangsung antara pihak yang merasakan mandat rakyat dirampas dan yang berpesan agar menangguhkan berpolitik demi kebaikan rakyat atau mungkin juga demi perut sendiri.
Namun di sebalik tabir, rundingan demi rundingan antara pihak-pihak yang terlibat terus berjalan bagi percaturan kuasa yang tidak berkesudahan hingga melibatkan Yang di-Pertuan Agong.
Keruntuhan Demokrasi dan ‘Trust Deficit’
Kesan pertelingkahan politikus, rakyat bertambah keliru. Pengundi tegar tetap teguh menjadi jaguh pakatan pilihan masing-masing di media sosial. Namun, tidak kurang juga netizen yang meluahkan rasa muak melihat perebutan kuasa.
Walaupun ramai merasakan Langkah Sheraton salah secara moral, akhirnya ia memperoleh restu Agong. Urusan negara terus berjalan.
Segmen pengundi atas pagar dan segmen anak muda yang diberi hak mengundi buat kali pertama merupakan dua segmen kritikal yang perlu dimenangi hatinya oleh para politikus.
Akan tetapi, ini tentunya tidak mudah bilamana segmen sebegini memandang sinis dan bejat kepada politik dan jurang kepercayaan (trust deficit) telah pun wujud. Maka apakah pendekatan paling praktikal kepada masalah ini?
Islahiyyun dan Kerangka Baharu Demokrasi
Suasana berkempen setakat ini, ada yang menyerang pihak lawan, ada yang menakut-nakutkan pengundi atas pagar dengan naratif komunis, hinggakan ada yang mempromosi janji-janji parti.
Sesudah Langkah Sheraton, setakat mana ahli politik boleh diharapkan untuk setia kepada prinsip-prinsip parti dan tidak akur kepada nafsu sendiri?
Parti pula, bolehkah diharapkan untuk setia kepada pakatannya? Akta Anti Lompat Parti masih terdapat banyak kelompangan, salah satunya adalah parti boleh bertukar gabungan walaupun individu tidak dibenarkan berbuat demikian.
Kita sudah pun disajikan beberapa berita yang membayangkan acara lompat-melompat akan berlaku seusai pilihan raya.
Itu pun, individu masih kekal sebagai Ahli Dewan Rakyat jika dipecat oleh partinya. Hanya sanya, jika beliau sendiri bertindak meninggalkan parti, barulah dilucut daripada parlimen menurut peruntukan undang-undang baru yang ada.
Ketidaktentuan sebegini sewajarnya digarap dengan kembali kepada nilai-nilai universal yang perlu ada pada ahli politik.
Sayugia, setiap calon yang hendak dipilih mestilah dilihat mempunyai tiga ciri iaitu kompeten atau berkebolehan, amanah dan berintegriti serta jujur. Tiga perkara ini boleh dinilai daripada latar belakang dan reputasi calon selama ini.
Calon juga mestilah berkemampuan dan mahir selok-belok wakil rakyat. Tugas asal Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri adalah menggubal dasar yang akan memberi jauh lebih banyak kebaikan kepada rakyat berbanding bantuan secara ‘one-off.’
Amanah dan integriti (khususnya tidak terlibat rasuah) pula adalah perkara asas dan bahasa yang mudah difahami oleh semua manusia rentas anutan, begitu juga kejujuran.
Tiada seorang pengundi waras pun akan tolak kesemua ciri-ciri ini jika terdapat pada susuk calon wakil rakyat mereka. Dan inilah ciri-ciri yang patut ada pada seorang ‘islahiyyun,’ yakni orang yang membawa islah atau pembaikan.
Islam termaktub sebagai agama Persekutuan, tetapi kepelbagaian kaum dalam negara ini merupakan suatu keindahan yang cukup mahal nilainya.
Namun, terdapat ahli politik dan kuli-kuli mereka yang menggunakan modal murahan kaum dan bangsa untuk tampil sebagai jaguh kepada pengundi.
Tetapi kita tidak perlukan politikus yang rasis dan memprovokasi agama. Para pengundi harus lebih bijak dan mempertimbangkan perangai sebegini, sebagai ciri calon yang perlu ditolak. Malaysia ini telah dibina bersama oleh semua kaum yang kad pengenalannya sama-sama biru.
Nilai-nilai murni yang terdapat pada ‘islahiyyun’ bukan sahaja boleh diharapkan, tetapi akan memberinya kelebihan dalam kalangan semua calon-calon yang bertanding.
Sifat peribadi dan prinsip tersendiri adalah bahasa sosial yang boleh dipercayai oleh pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali yang mungkin masih mentah dalam membuat penilaian.
Dari Politik ke Pendidikan Masyarakat
Retorik menilai kewibawaan individu ini juga merupakan naratif yang sering kali dijaja dan ditekankan oleh ahli politik dalam tempoh berkempen.
Salah satu model yang sedang giat berjalan adalah Youth Empowerment Agenda Community (YPAC) yang memberi peluang kepada calon-calon tumpu rentas semua pakatan untuk memperkenalkan diri mereka, rekod kerja dan prestasi masing-masing di jaringan media sosialnya yang menggabungkan pelbagai pentas.
Usaha sebegini bukan sekadar membantu kebolehlihatan (visibility) setiap calon berdasarkan kredibiliti masing-masing, tetapi ia sedikit sebanyak diharapkan membantu dalam agenda yang lebih penting iaitu mendidik masyarakat untuk berfikiran secara objektif dan kritikal berbanding pemikiran pukal dan berpaksikan parti.
Setelah sekian lama, kita melihat perbincangan politik antara para ‘mujahid warung kopi’ dan ‘mujahid siber’ lazimnya digariskan mengikut parti dan gabungan.
“Parti aku betul, parti engkau salah.. Parti aku syurga, parti engkau neraka.” Begitulah pemikiran taksub, pukal dan ‘groupthink.’
Ini merupakan kelemahan dalam masyarakat yang terbit daripada amalan pemikiran terlalu mudah (simplistic) dan bias dalam kebanyakan hal dalam hidup mereka. Walhal, pemikiran kritis dan adil itulah lebih dekat dengan fitrah manusia.
Parti, Individu atau Jalan Tengah?
Kita mungkin tertanya-tanya, “Akhirnya kita perlu memangkah bukan hanya calon, tetapi partinya sekali di kertas undi. Sistem kita kan sistem Westminster. Jadi bagaimana?”
Pertama sekali, harus difahami bahawa mendidik masyarakat berfikiran secara objektif dan memilih wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk kawasannya, merupakan perjuangan jangka masa panjang.
Kita boleh bermula dengan politik, tapi kita mengharapkan bahawa pemikiran kritis adalah kemahiran yang akhirnya akan dipelajari oleh semua untuk tidak melambakkan kebaikan serta keburukan mengikut entiti tertentu dalam apa jua hal.
Kedua, jika parti turut menganuti fahaman calon berwibawa atau ‘islahiyyun’ ini, sepatutnya parti itu sendiri menyediakan calon-calon yang terbaik.
Ini penting supaya akhirnya, proses mereka mengaut kerusi paling banyak untuk memenangi pilihan raya dalam sistem Westminster ini berlaku secara organik.
Jika parti itu ketandusan calon yang berwibawa untuk diundi, maka jelas mereka tidak pun mementingkan kebajikan rakyat.
Baru beberapa hari kempen, telah pun ada calon yang menipu kelulusan pengajian. Apakah calon dan seterusnya parti mereka boleh dipercayai?
Jika telah zahir sifat kemampuan, sifat amanah dan integriti, dan kejujuran calon A sewaktu kempen, apakah rakyat harus dipaksa mengundi calon B semata-mata hendak memenangkan partinya? Jika demikian, baik tidak perlu kepada sistem calon dan tawaran masing-masing, dan hanya mengadakan undian parti sahaja di seluruh negara!
Sebuah ‘Caprice’ Politik
Sistem demokrasi memberi ruang kepada parti-parti untuk mewujudkan semak imbang, dan parti itu perlu kerana sesuatu kerja lebih mudah dilaksanakan secara berjemaah.
Namun, semak imbang ini seharusnya tidak sehingga ahli politik kedap akal dan terpaksa menuruti Whip parti semata.
Kebebasan dan amalan berlapang dada dalam parti seharusnya diperuntukkan agar seorang ‘islahiyyun’ boleh mengambil pendirian tersendiri demi kebaikan bukan sahaja penduduk kawasannya tetapi rakyat keseluruhan dalam hal-hal seperti dasar, belanjawan dan sebagainya.
Agak rugi bilamana intelek 222 Ahli Dewan Rakyat akhirnya dilaga-lagakan mengikut garis parti dan tidak dimanfaatkan secara sihat dalam semangat politik kolaborasi demi kebaikan rakyat dan negara.
Kebaikan dan kebenaran itu tidak disempadankan oleh parti dan kelompok. Rakyat seharusnya ingat akan hakikat ini walaupun sistem politik ini seolah-olah ‘brainwash‘ kita untuk melupakannya.
Apakah mungkin suatu hari nanti kita boleh melihat pakatan yang memerintah menjemput seorang daripada pakatan lawan untuk menganggotai kabinetnya jika terserlah ketrampilannya? Atau politik kepartian terlalu alergik dengan konsep sebegini?
Walaupun pahit untuk diakui, namun mungkin juga Langkah Sheraton, antara hikmahnya membuat kita mempersoalkan kembali, apakah nilai sebuah amalan demokrasi? Apakah erti berparti dan berkelompok jika sistemnya kukuh hari ni dan esoknya dirobek-robek?
Beberapa hari selepas Langkah Sheraton, Tun Dr Mahathir telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim dan beliau mengusulkan sebuah ‘unity government’ yang mana sokongan diberi kepadanya secara individu dan bukan mengikut parti.
Walaupun perkara tersebut tidaklah berlaku, tidak mustahil ia menjadi sebuah jelmaan demokrasi pada masa hadapan, sebuah sistem futuristik yang lebih layak untuk masyarakat yang umumnya telah terdidik berfikiran adil, kritis dan objektif.
Pada masa itu, Langkah Sheraton mungkin diimbau kembali sebagai langkah dalam evolusi proses demokrasi.
Akhirnya, demokasi itu semangatnya syura atau berbincang. Demokrasi itu baik, namun sistem yang cuba membingkaikan demokrasi itu perlu dianggotai oleh manusia-manusia ‘islahiyyun’ yang terbaik dalam kalangan warganegara, yang benar-benar boleh dibanggakan oleh rakyat sebagai wakil mereka, tidak kira anak bumiputera, anak Cina atau anak India.
Dr Daniel Iqram Abd Halim
Kluster Perpaduan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia