Krisis Syria, konflik berpanjangan

Persoalannya ialah bagaimanakah kita memahami isu yang rumit ini dalam hubungan persoalan ketegangan kepuakan (sectarian violence) atau ia merupakan satu konflik bermotifkan saingan kuasa untuk mengekalkan hegemoni.Kebijaksanaan Bashar Al-Assad dalam menangani kebangkitan rakyat Syria dengan mengheret persaingan kuasa dunia seperti Amerika dan Rusia, sehingga turut mencipta ketegangan kepuakan Sunni-Syiah adalah bertujuan bagi mengekalkan kuasa beliau di Syria hingga hari ini.

Kekejaman dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad sangat menyayat hati. Fakta kekejaman rejim Bashar terhadap rakyat di Syria sekarang menunjukkan kematian 100,000 orang rakyat, angka ini termasuk 3000 wanita dan 5000 kanak-kanak yang telah dibunuh. Sehingga 8 Mac lalu, seramai 1,000,000 rakyat Syria dilaporkan oleh UNHCR menjadi pelarian dan 2.4 juta rumah dimusnahkan.

Kini, setelah lebih 2 tahun sejak 15 Mac 2011, tentera pembebebasan yang digelar Free Syrian Army (FSA) terus berjuang siang dan malam membela rakyat daripada kekejaman. Rejim Bashar al-Assad yang kejam telah menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya seperti penggunaan kereta kebal, senjata-senjata berat, memusnahkan bangunan-bangunan termasuk rumah dan masjid.

Namun, perkembangan terbaru di Qusayr menunjukkan bahawa sekutu terbesar Iran, Hezbollah yang berpengkalan di Lubnan telah mengisytiharkan melibatkan diri secara langsung dalam krisis di Syria.

Pengisytiharan Hassan Nasrullah, Setiausaha Agung Hezbollah pada 25 Mei 2013 lalu yang telah mengisytiharkan penglibatan Hezbollah secara langsung dan besar-besaran di di Syria telah menukar landskap pertembungan yang berlaku di sana. Ini menyebabkan krisis di Syria menjadi lebih buruk dan meruncing dengan campurtangan asing oleh Hezbollah di Syria.

Justeru,Iran tidak boleh menafikan penglibatan di Syria kerana sumber kekuatan tentera dan persenjataan Hezbollah adalah merupakan bantuan dan pembiayaan daripada Kerajaan Iran. Ini kerana, Hezbollah terbentuk hasil inspirasi kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979 pimpinan mullah terkenal Ayatollah Ruhullah Khomeini.

Beberapa sumber juga mengesahkan pembekalan senjata oleh Iran kepada Kerajaan Syria melalui laluan udara Iraq.

Atas perkembangan yang telah berlaku, ia mendorong Ulama Sedunia yang dipimpin oleh Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi untuk mengadakan Muktamar khas bagi memperoleh kata sepakat mengenai konflik yang berlaku di Syria.

Oleh yang demikian,satu RESOLUSI MUKTAMAR ULAMA’ UMMAH pada Khamis, 4 Syaaban 1434 Hijrah bersamaan 13 Jun 2013 yang dianjurkan oleh Ulama Ummah Muslimin yang diketuai oleh Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Kaherah, Mesir telah bersidang dan menggariskan :

1. Wajib Jihad untuk membantu saudara-saudara kita di Syria. Jihad melalui tubuh badan, kewangan dan menghantar senjata kepada mujahidin. Selain itu, diusahakan setiap cara lain untuk jihad dan bantuan kepada Mujahidin.

2. Apa yang berlaku di Bumi Syam, dari pencerobohan teruk oleh Iran dan Hizbu Syaitan (Hezbollah) dan rakan-rakan mazhab mereka tindakan “mengisytiharkan perang” terhadap Islam dan setiap negara Islam bukan sahaja Syria.

3. Wajib untuk menyatukan semua negara-negara Islam secara amnya dan menyatukan Mujahidin khasnya. Dan jika mana-mana pihak yang mempunyai pertikaian, hendaklah kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

4. Ulama Umat Islam meminta negara Barat, Islam, PBB, negara-negara teluk, pakatan islam dan Liga Arab mengambil pendirian yang berani dan jelas terhadap penceroboh mazhab dan perlu membantu Mujahidin secara terbuka dengan semua yang mereka perlukan terutamanya senjata dan wang.

5. Memboikot semua negara yang membantu mereka seperti Rusia, China dan Iran. Wajib untuk memberikan sokongan politik dengan melantik Duta dari rakyat Syria yang bersama perjuangan rakyat bukan sama sekali dari puak pembunuh.

6. Umat Islam digesa untuk memboikot syarikat-syarikat dgan apa-apa sahaja yang manfaat kepada Iran. Ia adalah bagi membela kanak-kanak Syria yang mati dibunuh di tangan Iran

7. Menjemput semua pemikir, penulis, ahli politik dan media untuk memulakan menyokong perjuangan Syria dengan pelbagai cara.

8. Mengingatkan tentera Bashar, haram untuk membunuh mereka yang tidak bersalah dan haram untuk menyokong kezaliman Bashar. Dan adalah wajib untuk menyertai Mujahidin bagi melawan kuffar.

9. Mengingatkan PBB akan tanggungjawab Antarabangsa mereka terhadap apa yang berlaku di Syria. Meletakkan segala jenis tekanan ke atas mereka (Hezbollah dan Iran) kerana mereka mempunyai ‘double standard’ dan kami mahu mendedahkan mereka kepada seluas-luasnya kepada umat Islam.

10. Membantah tindakan memanggil Mujahidin di Syria sebagai pengganas atau pemberontak daripada mana-mana media Islam. Mereka Mujahidin dan Pejuang Kebebasan. Pada masa yang sama, mereka menutup satu mata tehadap jenayah dahsyat yang dilakukan oleh Iran dan sekutunya.

11. Wajib ke atas semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Organisasi-Organisasi Bantuan Kemanusiaan untuk segera dan bekerja keras untuk membantu pelarian Syria. Menyediakan mereka dengan ubat-ubatan dan makanan dan tempat tinggal.

 

Implikasi Resolusi

Sejurus tamat Muktamar Ulama Ummah, Mohamed Morsi, Presiden Mesir, telah menyahut seruan para ulama dengan mengumumkan bahawa Mesir memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria dan telah mengarahkan supaya Kedutaan Damsyik di Kaherah untuk ditutup.

Beliau turut menyeru kumpulan bersenjata Hezbollah Lubnan untuk meninggalkan Syria, di mana kumpulan itu telah berjuang bersama tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad terhadap pasukan Tentera Pembebasan.

Selain itu, Pemimpin Kanan Hamas, Aziz Salim Dwik menyatakan dalam kenyataannya bahawa jihad di Syria untuk menjatuhkan rejim Bashar lebih utama buat umat Islam sekarang.

Beliau yang juga merupakan Speaker Perundangan Palestin menyebut demikian berikutan krisis yang berlaku di Syria teramat dahsyat dan kejam. Oleh itu, rejim Bashar dan pakatannya perlu dijatuhkan.

Aziz Salim menyatakan keyakinan beliau bahawa kejatuhan rejim Bashar merupakan titik tolak kepada pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis.

Inisiatif Rakyat Malaysia

Di Malaysia pula kerjasama antara NGO telah menyahut seruan Ulama Ummah dengan melaksanakan Resolusi ke-6 Muktamar;

“Umat Islam digesa untuk memboikot syarikat-syarikat dgan apa-apa sahaja yang manfaat kepada Iran. Ia adalah bagi membela kanak-kanak Syria yang mati dibunuh di tangan Iran.”

Gabungan Selamatkan Syria dengan komitmen penuh ABIM, IKRAM, HALUAN, SYRIA CARE, Pemuda GEMA dan AQSA SYARIF menggesa Rakyat Malaysia yang prihatin dalam konflik Syria atas prinsip kemanusiaan, keamanan dan keadilan sejagat telah mengambil tindakan proaktif untuk memboikot KURMA IRAN dan PRODUK IRAN sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang.

Perlu difahami tentang kempen ini:

1. Kempen boikot ini tidak ditujukan kepada Syiah. Syiah tidak akan dihadapi dengan boikot tetapi dengan kempen kesedaran bagi mendedahkan siapa itu Syiah yang sebenar. Umat Islam wajib difahamkan tentang ajaran Syiah dan tipu daya mereka.

2. Boikot ini bukan ke atas Iran semata-mata, tetapi ia merupakan boikot ke atas tindakan kerajaan Iran yang membantu Bashar Assad. Tempoh boikot ini ialah sehingga Iran menghentikan sokongannya ke atas Basyar Assad. Boikot Iran secara total adalah tidak munasabah kerana kerajaan Malaysia masih lagi mempunyai hubungan diplomatik dan rakan dagang Iran. Kedudukannya adalah berbeza dengan Israel.

3. Tujuan boikot dinyatakan dengan jelas untuk membela rakyat Syria bukan ditujukan kepada Iran secara langsung. Ia adalah untuk menyatakan solidariti bersama rakyat Syria dan mengecam Iran kerana bersekongkol dengan Bashar Assad melakukan jenayah kemanusiaan ini.

4. Boikot kurma Iran adalah simbolik kepada boikot produk Iran. Kerana dengan memboikot kurma Iran akan mendorong rakyat Malaysia menolak produk Iran di pasaran. Kurma juga dikaitkan dengan bulan Ramadhan yang bakal menjelang bagi memberi kesan dan impak yang maksimum pada saat ini.

Syria dan Masa Depan Umat Islam

Jika diteliti pergolakan yang berlaku di Syria, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya :

1. Pertembungan di Syria hari ini ‘seolah-olah’ pertembungan Sunni-Syiah, dari satu sudut, sesuatu yang diidam-idamkan oleh Israel dan sekutu rapatnya, Amerika Syarikat (AS). Ini ditambah pula dengan campur tangan Hezbollah yang menyokong rejim Bashar menampakkan lagi ‘bentuk’ pertentangan yang ada.

Allah SWT telah membuka satu demi satu kebejatan golongan Syiah dalam memerangi umat Islam. Usaha mendamaikan keduanya sudah tiada lagi.

2. Israel dan AS sebenarnya lebih bermusuh dengan Iran berbanding Syria. Program pengkayaan uranium bagi teknologi nuklear cukup membimbangkan Israel dan AS. Iran pernah mengeluarkan suatu kenyataan akan meneruskan program nuklearnya dan tidak akan berundur ke belakang walaupun diancam oleh AS. Malah lebih dahsyat lagi Presiden Ahmadinejad pernah mengancam untuk menghapuskan negara haram Israel. Ini menunjukkan dengan jelas permusuhan Israel & AS-Iran.

Namun, tidak semudah itu untuk terus menyerang Iran. Israel dan AS menggunakan negara-negara di sekeliling Iran untuk dijadikan ‘umpan’. Sudah pasti antara pilihan yang ada ialah Syria. Secara mudahnya, Bashar yang dilihat sekutu rapat Iran, mesti ditumbangkan dan digantikan dengan mereka yang pro barat. Dengan ini, ‘jalan’ menghancurkan Iran akan menjadi lebih mudah.

3. Kebangkitan umat Islam Syria mendapat reaksi yang positif oleh dunia Islam. Kekejaman rejim Bashar sudah sampai ke kemuncaknya. Syria perlu dibebaskan dari pemerintah kuku besi ini. Namun, dalam masa yang sama, Islam pula perlu menguasai masa depan Syria, barulah Syria ‘bebas’ sepenuhnya. Inilah yang sedang diperhatikan oleh masyarakat seluruh dunia, sama ada dunia Islam mahupun seteru Islam.

Sudah pasti yang sedang meneropong dari jauh perkembangan yang sedang berlaku di Syria ialah Israel dan AS. Apa yang berlaku di Syria tidak penting tetapi bentuk ‘masa depan’ Syria yang menjadi akan persoalan. Dari sudut yang lain, kedudukan Israel di Timur Tengah semakin tergugat selepas Mesir jatuh ke tangan Islam walaupun Israel masih ada Jordan di sebelah Timur yang menjadi sekutu rapat mereka. ‘Pengalaman’ Arab Spring banyak mengajar mereka untuk lebih berwaspada dengan kebangkitan Islam.

Selari dengan ungkapan Ulama terkenal Syria, Sheikh Munir Ghatban pengarang kitab Manhaj Haraki Dalam Sirah Nabawiyyah menyebutkan; “Revolusi ini daripada Allah dan kemenangan juga daripada Allah” memberikan harapan yang gemilang untuk Islam di Syria pada masa hadapan.

Peranan Kita Selaku Seorang Muslim & Selaku Seorang Manusia

Melihat keadaan di Syria, seharsnya mendorong setiap insan yang mempunyai hati naruni dan perikemanusiaan berperanan bagi membantu mereka disana dengan;

1. Mendoakan saudara kita di Syria.

2. Menghulurkan bantuan untuk mereka dari segi kewangan.

3. Menyebarkan berita yang sebenarnya tentang apa yang berlaku di Syria.

Ingatlah, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang tidak mengambil tahu hal orang Islam yang lain, maka bukan dari kalangan KAMI dan ingatlah selalu akan tempat kembali bagi mereka yang zalim.”

Naim Jusri

Pengerusi

Gabungan Selamatkan Syria (GSS)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia