Konvoi Ramadhan di Gaza ditangguhkan, bantuan tetap dilaksanakan

PEMAKLUMAN RASMI PENANGGUHAN MISI A2G8 & A2G9

 

Assalamualaikum wrt bth.

 

Setelah mengucapkan syukur ke hadirat Ilahi dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan sesiapa jua yang menuruti jalan baginda sehingga akhir waktu, marilah kita memperbaharui azam dan janji untuk terus berada di atas jalan dakwah dan jihad yang penuh baroqah ini. Mudah-mudahan berada nya kita pada penghujung Ramadan ini memberi kekuatan untuk kita beribadat sehingga kita disapa oleh malam Lailatul qadar yang lebih baik dari seribu bulan.

Ikhwah-akhawat yang dikasihi lagi dihormati,

 

Kesediaan dan kesiap siagaan antum untuk menyahut seruan amal dan melangkah ke bumi Gaza pada bulan Ramadan ini adalah satu yang amat besar di sisi Allah SWT. Semua persiapan dan perancangan yang telah disusun baik mengenai diri, keluarga, kejiranan, tempat kerja apatah lagi yang berkait dengan kerja-kerja dakwah IKRAM bagi menjayakan misi A2G8/A2G9 akan diberikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT, insyaAllah. Semua ini menjadi testimoni akan iltizam kita untuk melihat bumi penuh baroqah ini akan bebas dari cengkaman musuh-musuh Allah dan bebas pula diziarahi oleh orang-orang yang beriman sebagai mana pesan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis ‘Ziarahlah Masjid al-Aqsa dan solatlah di dalamnya”. Oleh kerana kita terhalang untuk menziarahinya dengan penuh kemuliaan maka kita pun mengirimkan ‘minyak untuk lampu-lampunya’, sebagaimana sambung Rasulullah SAW dalam pesan baginda kepada kita.

 

Kita juga beriman bahawa perancangan Allah akan mengatasi perancangan manusia dan perancangan DIA adalah yang terbaik. Perkembangan yang berlaku di Mesir khususnya di Al-Arish dan sempadan masuk ke Gaza di Rafah telah sama-sama kita maklumi. Serangan yang membawa kepada syahidnya 16 anggota keselamatan Mesir ketika mereka sedang berbuka puasa telah merubah situasi keselamatan di Sinai secara mendadak. Semenanjung Sinai yang memang bermasalah dari sudut keselamatan akibat tekanan dari Israel yang membelenggu Mesir dalam perjanjian Camp David (1979), semakin gawat kesan dari serangan tersebut. Kini pihak keselamatan Mesir telah membuat kerahan untuk membersihkan Semenanjung Sinai dari kumpulan-kumpulan yang menimbulkan ancaman keselamatan yang telah wujud sejak sekian lama. Situasi ini begitu serius sehingga memaksa Presiden Dr Muhammad Morsi memecat Ketua Pengarah Keselamatan (Mukhabarat) Murad Mowafy, yang dilihat gagal untuk melaksankan tugasnya. Ini bermakna keadaan keselamatan di Semenanjung Sinai yang menjadi laluan anggota misi untuk memasuki Gaza berada pada tahap keselamatan yang tidak terjamin. Ini bermakna risiko yang ditempoh jika misi A2G8/9 diteruskan amat tinggi. Di samping itu, kedudukan pintu masuk Rafah yang hanya dibuka secara terhad untuk penduduk Gaza yang berada di Mesir atau yang pulang dari mengerjakan umrah sahaja menjadikan misi A2G8/G9 hampir mustahil untuk diteruskan. Saluran maklumat rasmi Aqsa Syarif di Mesir dan Gaza menunjukkan bahawa tidak ada kepastian bilakah keadaan keselamatan di Semenanjung Sinai akan pulih dan pintu Rafah akan dibuka seperti keadaan sebelum berlaku serangan.

 

Atas sebab-sebab ini, maka ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif telah bersyura dan memutuskan misi A2G8/9 ditunda sehingga ke satu tarikh akan datang. Oleh kerana ketidak ketentuan keadaan keselamatan maka tarikh baru misi juga tidak dapat diumumkan. Dengan keputusan ini, ketua misi, Prof Madya Ustaz Hasanuddin Muhd Yunus (A2G8) dan Dr Shamsuri Abdullah (A2G9) dan semua anggota misi dilepaskan sementara dari semua tanggungjawab untuk menjayakan misi A2G8/9 buat masa ini. Walaubagaimanapun, ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif berharap semua anggota misi tetap dalam keadaan bersedia untuk menyahut seruan untuk meneruskan penglibatan apabila keadaan keselamatan memungkinkan misi A2G8/9 diteruskan.

 

Walaupun misi ditangguhkan, tetapi saluran bantuan khususnya bantuan ramadhan ke Gaza terus dilaksanakan seperti dirancang dan akan disempurnakan pengagihannya oleh NGO2 pelaksana kita di sana (Perincian projek yang sedang dan telah dilaksanakan melalui inisiatif misi A2G8/9 akan disenaraikan dalam siaran media yang sedang dirangka).

 

Dengan pengumuman ini, rasmilah misi A2G8/9 ditangguhkan dan struktur misi A2G8/G9 dibubarkan buat sementara sehingga ada arahan baru yang akan dikeluarkan melalui ibu pejabat Aqsa Syarif. Ahli Lembaga Pemegang Amanah dengan ini mengucapkan tahniah kepada ketua misi Prof Madya Ust Hasanuddin Muhd Yunus dan Dr Shamsuri Abdullah serta semua anggota misi kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjayakan misi A2G8/9. Ahli Lembaga Pemegang Amanah juga mengucapkan Jazakumullahu khairan kepada staf ibu pejabat yang diketuai oleh Pn Sharifah Mahiza Syed Abdul Kader yang bertungkus lumus tanpa mengira masa sejak dua bulan yang lalu membuat persediaan yang rapi untuk menjadikan misi A2G8/9 yang terbaik yang pernah dilaksanakan oleh Aqsa Syarif. Tidak lupa juga kepada seluruh jentera Aqsa Syarif di Negeri dan Daerah yang bertungkas lumus mengumpul dana bagi menjayakan misi A2G8/9 kali ini.

 

Hanya Allah SWT yang dapat menganugerahkan pahala yang berlipat ganda kepada semua jihad anda di bulan Ramadan mubarak ini.

 

Wa billahi taufiq Wal hidayah. Wassalamu alaikum Warah matullahi Wabarakatuh.

 

 

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia