Penganjuran KL Summit 2019 bertujuan untuk menjadi platform para pemikir, intelektual, ulama, ahli politik dan para pemimpin masyarakat daripada negara-negara Islam membincangkan pelbagai isu dan solusi untuk pembinaan ummah.
Isu-isu yang menjadi kepentingan bersama turut dibincangkan termasuk keadaan semasa ummah, pemenjaraan umat Islam di seluruh dunia, penghijrahan besar umat Islam akibat perang saudara dan kebangkitan Islamofobia.
Pemimpin-pemimpin utama negara yang hadir sidang kemuncak ini adalah Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad al-Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani dan Penasihat Negeri kepada Presiden Uzbekistan, Rustam Karimov.
Para pemimpin Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut menghadiri KL Summit 2019 yang diketuai oleh Presiden Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad diiringi Timbalan Presiden Hj Badlishah Sham Baharin, Setiausaha Hj Mahdzir Md Isa, Ketua Wanita Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh dan Hj Shahrul Aman Mohd Saari.
Sidang kemuncak empat hari ini memberikan tumpuan kepada tujuh teras utama iaitu pembangunan dan kedaulatan negara, keadilan dan kebebasan, keamanan, keselamatan dan pertahanan, perdagangan dan pelaburan serta teknologi dan tadbir urus Internet.
Buat julung kalinya Sidang Kemuncak KL Youth 2019 bertemakan ‘Pemberdayaan Belia dalam Menghadapi Cabaran Global’ diadakan untuk membincangkan peranan belia dalam pembangunan negara-negara Islam.
Sidang kemuncak kali ini dilihat mampu menjadi inisiatif awal bagi mencetuskan pelbagai pandangan, cadangan dan solusi dan seterusnya mampu menggerakkan ke arah platorm yang lebih besar untuk bekerjasama secara praktikal antara negara-negara Islam.