Kisah 63 tahun dulu yang dilupai: Sebuah makna merdeka

Laungan “Merdeka” juga telah dilaung oleh Bapa Kemerdekaan iaitu Tunku Abdul Rahman. Kemerdekaan yang dikecapi ini telah menyatupadukan jiwa-jiwa rakyat Tanah Melayu tanpa mengira bangsa dan agama.

 

Mereka bersatu dan bersorak bangga dengan kemerdekaan Tanah Melayu sewaktu itu, momen-momen emas yang sukar untuk kita gambarkan. Namun, ini kisah 63 tahun yang lalu.

 

Pada era ini, sejauh mana erti kemerdekaan yang difahami dan dirasai oleh rakyat Malaysia? Adakah dengan sekadar menyanyikan lagu-lagu patriotik dan menggantung bendera-bendera Malaysia di tepian jalan semata-mata?

 

Cukup merdekakah itu? Kali ini, nafasnya berbeza. Kita menyambut hari penting ini di kala COVID-19 sedang melanda dunia.

 

Slogan ‘Malaysia Prihatin’ pula merupakan tema yang dipilih untuk Hari Kebangsaan 2020. Tema ini sangat mendalam jika diselami maksudnya. Banyak persoalan yang kita boleh timbulkan. Tetapi, panjang pula tulisan ini.

 

Rakyat Malaysia seharusnya berganding bahu dalam menjaga keamanan negara meskipun berbeza agama, bangsa dan ideologi politik.

 

Perbezaan yang wujud seharusnya diraikan dan dihormati antara satu sama lain, bukannya bersikap kurang ajar atau rasis. Misalnya kesilapan yang dilakukan oleh seorang Cina, terus sahaja kita memaki hamun bangsanya. Prejudis dalam menilai, ia jelas buruk jika kita tempelkan amalan ini kepada generasi akan datang.

 

Tambahan lagi, dengan keadaan pandemik yang masih berterusan, kita seharusnya lebih prihatin terhadap mereka yang tidak bernasib baik di sekeliling kita. Ramai hilang pekerjaan, lebih kurang 64,495 orang hilang mata pencarian setakat 25 Julai 2020 yang lalu. Sedih bukan?

 

Apatah lagi keadaan yang merisaukan hari ini ialah kewujudan kluster-kluster baharu yang menakutkan. Terbaru, wujud di Selangor dan Kedah. Sehingga 30 Ogos 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 17 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,334 kes. Sudah merdekahkah kita?

 

Sudah Merdekakah Kita : Suatu Renungan

 

Umum mengetahui bahawa Malaysia ini unik dengan pelbagai bangsa, etnik dan agama. Teras ini bukan sekadar unik, tetapi ia perlu difahami dengan penuh makna dan mendalam. Bukannya menjadi pemisah antara kaum.

 

Jika kita hanya berfikir bahawa merdeka kita hanyalah berlanterakan merdeka daripada British semata-mata, maka rugilah kita, sepertimana kejayaan tokoh-tokoh parti pemerintah yang dicatat dalam buku Sejarah Tingkatan 5 yang kita pernah belek dahulu kala.   

 

Jika kita hanya berfikir bahawa merdeka ini hanyalah dengan gugahnya melaungkan “Merdeka”, maka rugilah kita. Hakikatnya, kita masih lagi terperangkap dalam permainan sentimen dan permainan kaum dan agama.

 

Ada yang sungguh-sungguh menggunakan elemen ini untuk meraih kuasa, projek berjuta-juta dan melarikan diri daripada perbicaraan mahkamah.

 

Ada pula yang sungguh-sungguh menggunakan elemen ini untuk menjarah kesejahteraan orang lain, mendoktrin orang muda dan mendapatkan projek berjuta-juta daripada politikus dan kapitalis.

 

Hakikatnya, orang bawahan yang terasa dan terkesan. Bukan sekadar itu, secara zahirnya nampak bebas dan merdeka kerana boleh ke sana dan ke sini membuat kerja dan harta pencarian.

 

Tetapi batinnya sakit. Terlalu sakit. Sakit apa? Sakit dengan perangai toksik manusia atasan, hutang keliling pinggang, taraf hidup tidak pernah baik dan masalah keluarga.

 

Merdekakah itu? Tanyalah orang-orang di PPR Sri Cempaka Pantai Dalam atau Flat Jalan Pudu. Pasti orang begini, berlambak merintih takut di sana. Di sebalik bangunan tinggi yang mencakar langit, masih ada ramai yang nasibnya di sebalik lorong.

 

Merdekakah kita jika masih ramai yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

 

Merdekakah kita jika masih ada kanak-kanak yang tidak mampu pergi ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan? Merdekakah kita jika masih ada yang hidup sebagai gelandangan?

 

Begitu juga soal kefahaman politik, yang asyik duduk sama tinggi sama rendah dengan sebahagian politikus lama yang membabi buta. Sudahlah, inilah masanya untuk kita mencorak landskap politik baharu yang lebih segar dan sarat dengan nilai.

 

Persoalan-persoalan yang dilontarkan ini seharusnya difikirkan bersama solusi yang boleh dilakukan agar tiada lagi mereka yang mengalami kesempitan hidup dan kita semua dapat memaknai erti merdeka yang sebenar.

Luthfi Yusri dan Ajda Nuha merupakan aktivis Persatuan Belia Harmoni Malaysia.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia