Kibar bendera putih: Usaha tidak menafikan doa

Usaha kempen kibar bendera putih adalah merupakan salah satu kaedah dan cara untuk memohon bantuan kerana keadaan yang mendesak dan menekan.

 

Kita percaya, dalam keadaan sebegini, tidak ada lagi istilah malu dan segan ekoran keadaan pandemik yang sedang kita hadapi ini. Sesiapa sahaja hari ini, tidak akan terlepas daripada terkesan dengan situasi pandemik ini. Cuma bezanya ialah sama ada kesannya besar atau kecil.

 

Pada masa sama, usaha kita dengan mengibarkan bendera putih bukanlah bermakna tidak berdoa atau memohon kepada Allah SWT. Agama telah memberikan kita panduan dalam soal hidup, antara ikhtiar dan tawakal kita kepada Allah Azzawajalla.

 

Berdoa merupakan permintaan kita kepada Allah. Tanpa perlu menunggu keadaan susah pun, kita dianjurkan sentiasa berdoa memohon perlindungan, rahmat serta kasih sayang-Nya.

 

Firman Allah SWT dalam surah al Mukmin ayat 60 yang bermaksud:

“Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Ku perkenankan (permintaan) bagimu…”

 

Berdoa telah menjadi suatu tuntutan kepada orang Islam memohon kepada-Nya tanpa mengira waktu susah dan senang. Ketika senang pun kita harus berdoa, apatah lagi pada waktu susah, kita dianjurkan juga untuk menadah tangan memohon pada Nya.

 

Maka, bukanlah ketentuan perlu menunggu masa susah barulah memohon berdoa pada-Nya. Di mana saja, pada bila-bila masa, kita boleh berdoa kepada Allah tanpa terikat masa.

 

Oleh itu, kempen kibar bendera putih dilihat bukanlah sebagai suatu bentuk memasang tangkal atau azimat sehingga menafikan doa kita kepada Allah. Kempen ini adalah salah satu usaha semata-mata bagi menzahirkan keadaannya yang memerlukan perhatian dan bantuan.

 

Tidak adillah untuk kita katakan berdoa saja tanpa usaha. Demikian juga tidak betul jika kita katakan hanya minta pada Allah tanpa perlu meminta pada manusia. Kerana Islam mengajar kita konsep usaha dan tawakal.

 

Dalam sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmidzi, sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.”

 

Hadis ini menceritakan bagaimana baginda Nabi SAW pernah berpesan kepada seorang lelaki pemilik unta berkenaan dengan mengajar cara usaha kemudian disusuli dengan tawakal kepada Allah SWT.

 

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW menyuruh untuk berusaha terlebih dahulu kemudian barulah berserah diri bertawakal kepada Allah SWT.

 

Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, Imam Ghazali ketika membicarakan tentang konsep tawakal, beliau menyatakan:

 

“Tawakal dalam Islam bukanlah suatu sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya, tetapi tawakal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakal bukan menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan setelah itu baru berserah diri kepada Allah.”

 

Dalam hadis yang lain, riwayat Imam Ahmad daripada Umar al-Khattab RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Seandainya kamu benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”

 

Dalam menjelaskan hadis ini, Imam al-Munawi berkata, hal ini menunjukkan bahawa tawakal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperolehi rezeki dengan berusaha.

 

Kita seharusnya sedar dan faham tujuan dan kehendak sebenar kempen ini diadakan. Bukanlah bertujuan menafikan sifat kebergantungan kita hanya kepada Allah, bukanlah juga menafikan keajaiban dalam berdoa, tetapi kempen ini sekadar salah satu kaedah dan cara untuk pihak lain tampil membantu. Pelbagai cara dan kaedah lain lagi yang boleh diaplikasikan dan ini salah satu daripadanya.

 

Dalam keadaan tertekan akibat terkesan dengan pandemik ini, kita telah buang banyak masa untuk tampil membantu. Kita telah banyak membuang masa dengan membahaskan tentang cara dan kaedah yang sebenarnya tidaklah bercanggah dengan syariat agama.

 

Di sebalik isu kempen ini, lebih besar dan lebih utama daripada itu ialah bagaimana tindakan kita kepada mereka yang memerlukan bantuan.

 

Adapun sikap meminta-minta, agama melarang kita bersikap sedemikian pada perkara yang bukan menjadi hak kita. Sebaliknya, bagi mereka yang benar-benar susah, terdesak dan tertekan dengan keadaan, maka mereka berhak untuk menerima bantuan.

 

Dalam soal larangan meminta-minta ini juga, bukan terhad kepada soal bantuan semata-mata bahkan agama juga melarang kita bersikap meminta-minta jawatan.

 

Namun, sekiranya kita layak dan mampu menggalas jawatan tersebut, tidaklah dilarang bahkan dianjurkan supaya urusan umat terbela dan dipelihara di bawah ahlinya.

 

Marilah kita kembali fokus kepada soal bantu-membantu dengan apa cara dan kaedah sekalipun. Usahlah menangguk air yang keruh dengan memperjudikan isu ini dan menjadikan polemik yang tidak berkesudahan.

 

Bantu biarlah kerana keikhlasan dan bukan kerana ideologi politik sempit yang memualkan. Hayatilah firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :

 

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.”

 

Janganlah kita menafikan usaha orang lain untuk meminta bantuan tetapi bantulah sekiranya mampu. Jika tidak, berdiam itu lebih baik daripada berkata-kata. Semoga Allah memberkati segala usaha baik kita semua.

 

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia