Khusyuk Ketika Ramadan: Jalan Wanita Meraih Takwa

Kebiasaannya, khusyuk dibincangkan dalam konteks ibadah solat. Namun, jika diteliti, para ulama terdahulu turut mengaitkan khusyuk dalam konteks hubungan seorang hamba dengan Penciptanya secara lebih luas.

Sebagai contoh, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah berkata: 

Khusyuk ialah hati yang teguh ketika menghadap Allah SWT, dengan penuh ketundukan dan merendah diri.” 

Beliau juga memetik pendapat seorang ulama sufi Imam Junaid al-Baghdadi rahimahullah: 

Khusyuk ialah perasaan rendah diri dalam hati seseorang di hadapan Tuhan Yang Maha Mengetahui, Allah SWT.” [Rujuk Madarij Al-Salikin (1/521)]

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah pula membawa perspektif yang menarik tentang   khusyuk iaitu “ Asal khusyuk itu datangnya daripada kelembutan hati, keadaan hati yang tenang dan tunduk.” [Lihat al-Khusyu’ fi as-Solat, Ibn Rajab al-Hanbali]

Beliau telah mencari gali bagaimana khusyuk boleh diperoleh oleh seorang Muslim, bukan sahaja dengan memperelok ibadah solat, malah berpunca daripada faktor peribadi yang mendasari tindak-tanduk dan amalan seorang hamba.

Makna khusyuk yang meluas

Khusyuk bererti menghadirkan perhatian dalam setiap tindakan yang dilakukan. Pada asasnya, manusia mempunyai dua jenis minda iaitu minda sedar dan minda bawah sedar. Pada minda bawah sedar atau minda terpendam inilah terdapat kekuatan yang luar biasa, menakjubkan dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.

Kekuatan bawah sedar ini boleh digunakan dan diarahkan untuk mencapai apa jua perkara yang dihajati seperti kewibawaan, kesembuhan, kecerdasan, kekuatan daya ingatan, wang, pangkat, pengaruh, kasih sayang dan pencapaian material yang lain.

Minda bawah sedar juga dikenali sebagai otak kanan (emotional quotient) yang mengandungi emosi atau perasaan. Manakala otak kiri pula mengandungi fikiran yang terikat dengan logik dan kemahiran kognitif atau dikenali sebagai (intellectual quotient).

Buya Hamka pernah berkata:

“Orang yang tidak khusyuk itu samalah seperti orang yang mengunci jendela pada setiap malam agar tidak dimasuki pencuri. Pada saat tangannya menolak engsel, matanya memastikan ia benar-benar berhasil mengunci jendelanya bahkan telinganya sempat pula mendengar bunyi engsel menyelak pintu. Namun kerana kegagalannya untuk khusyuk, sebaik tiba di pembaringan, lantas ia bangun kembali sambil bertanya pada hati sendiri: ‘Adakah aku telah mengunci jendela?’ Lalu, apa gunanya mata yang melihat, tangan yang bergerak dan telinga yang mendengar sewaktu jendelanya dikunci?”

Perumpamaan beliau menjelaskan kepada kita bahawa melakukan ibadah dengan penuh kesedaran dan perhatian ialah khusyuk.

Justeru, khusyuk dalam ibadah bermaksud menghadirkan kedua-dua otak kanan dan kiri dalam amal ibadah yang dilakukan. Khusyuk dalam solat bermaksud berdiri di hadapan Allah Taala dengan melibatkan perhatian, fokus, emosi dan perasaan yang tulus sebagai seorang hamba.

Gandingan khusyuk dan takwa dalam puasa

Takwa yang menjadi matlamat utama ibadah puasa ialah rasa takut dan harap kepada Allah pada setiap masa. Takwa ialah mekanisme yang mendekatkan diri seorang hamba kepada Penciptanya. 

Bahkan, takwalah yang membezakan antara manusia di sisi Allah. Takwa ialah matlamat yang ingin dicapai ketika berpuasa; khusyuk pula ialah mekanisme pemangkin untuk meraih takwa tersebut. 

Jika diperhatikan, tatacara pelaksanaan ibadah puasa mampu melatih seseorang menjana takwa. Hadis yang sering kita ingati ketika menjelang Ramadan iaitu:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” [Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)]

Berpuasa dengan penuh keimanan bererti penuh kepercayaan dan kesedaran bahawa ia difardukan demi kepentingan seorang Muslim untuk memperoleh takwa sebagai bekalan untuk menjalani kehidupan.

Berpuasa dengan penuh pengharapan bererti berhati-hati melakukannya dengan bersungguh hati dan perasaan supaya diterima dan diredai oleh Allah Taala. 

Kedua-dua hal ini dapat direalisasikan jika seorang Muslim melaksanakan ibadah puasa dengan ilmu dan kefahaman, fokus serta khusyuk kepada pencapaian tujuannya. 

Wanita dan Ramadan

Menjalani ibadah puasa bagi sesetengah wanita mungkin mencabar. Dengan kesibukan rutin menguruskan rumah tangga dan kerjaya, rata-rata wanita menghadapi cabaran dari sudut masa dan tenaga yang diperlukan untuk memberikan perhatian penuh kepada ibadah puasa.

Namun, untuk menjadi wanita yang khusyuk ketika Ramadan bukanlah mustahil. Bermula dengan kepercayaan yang kukuh kepada kewajipan berpuasa dan kefahaman yang mendalam tentang selok-belok hukum berkaitan puasa, seorang wanita akan mempunyai minda yang cerdas dan hikmah sepanjang menunaikan kewajipan tersebut.

Kefahaman yang jelas tentang tujuan puasa disyariatkan juga akan membantu wanita untuk sentiasa fokus dan menumpukan perhatian kepada ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Menumpukan perhatian kepada ibadah puasa tidak bermakna seorang wanita perlu mengabaikan rutin dan tugasnya yang hakiki. Hadis-hadis yang diriwayatkan kepada kita tentang sifat puasa yang dipuji membawa mesej bahawa puasa boleh diteruskan bersama tugasan dan rutin semasa.

Cuma yang perlu dihadirkan ialah konsep ihtisaban yang akan menatijahkan tindakan dan amalan yang akan menjurus kepada pencapaian harapan yang diinginkan daripada ibadah puasa.

Berkira-kira tentang harapan bahawa dosa akan diampunkan mampu membantu wanita menjauhi perkara-perkara yang boleh mencacatkan ibadah puasa seperti melakukan perkara-perkara yang sia-sia, berkata lucah atau buruk, mengumpat dan lain-lain.

Ketika inilah penglibatan otak kanan dan kiri sangat penting supaya puasa tidaklah dijalani sebagai ulangan semata-mata. Perlahan-lahan, takwa akan membekas dalam minda sedar dan bawah sedar orang yang berpuasa.

Terjemahan kepada konsep ihtisaban juga akan memotivasikan wanita untuk fokus dan menumpukan perhatian kepada ibadah yang sedang dijalani, lantas tugas dan juga rutin lain akan dilaksanakan dengan kehadiran minda serta perasaan.

Hal ini bermakna, kesibukan rutin tidak menjauhkan wanita daripada ibadah puasa, malah jika keikhlasan ibadah sentiasa disemarakkan dalam diri, seorang wanita mampu mengelakkan perkara-perkara yang sia-sia ketika berpuasa.

Maka, rutin dan tugasan yang dilangsaikan akan memperoleh ganjaran yang turut berlipat ganda. Sebagai contoh, wanita yang menyediakan juadah untuk berbuka puasa dan sahur, jika dilakukan dengan penghayatan kepada konsep ihtisaban, akan mengintegrasikan rutin dan ibadah dengan baik sekali. Hasilnya, keseluruhan perjalanan hariannya akan mendapat keberkatan Ramadan jua.

Puasa ialah  “me time” terbaik bagi wanita

Puasa ialah ibadah unik dan istimewa di sisi Allah Taala. Ramadan merupakan peluang untuk wanita mahupun lelaki untuk mengecas semula keimanan dan hubungan dengan Allah Taala.

Pelbagai ibadah khusus yang disarankan oleh Nabi SAW mengiringi kefarduan puasa boleh dijadikan peluang untuk seorang wanita bermunajat dan bermuhasabah serta melakukan koreksi diri.

Ramadan adalah bulan ketika semua pintu kebaikan akan terbuka. Lihat sahaja ketika Ramadan, ramai orang mampu melakukan kebaikan luar biasa, mengorbankan masa tidur dan keselesaan demi meraih ganjaran yang dijanjikan.

Tidak ketinggalan, wanita perlu mengambil kesempatan menggunakan kemahiran multi-tasking untuk merancang dan memperuntukkan waktu khusus demi menunaikan solat sunat, bertadarus al-Quran, bertaubat dan bermuhasabah.

Perkara ini tidak mustahil kerana wanita memang terkenal dengan kebolehan mereka multi tasking berbanding lelaki. Apa yang perlu ialah keinginan dan kemahuan yang tinggi untuk melakukannya. Sudah pasti, keazaman ini akan lahir daripada ilmu dan iman yang tulus kepada Yang Esa.

Selain itu, wanita yang ingin khusyuk ketika Ramadan juga perlu pandai memilih perkara-perkara penting yang ingin diwujudkan, ditinggalkan, ditingkatkan dan dikurangkan ketika Ramadan. Hari-hari sepanjang Ramadan akan berlalu dengan cepat sekali. 

Rebutlah peluang dan burulah saat-saat berkat yang dijanjikan Allah kepada sekalian umat Islam. Moga-moga setiap daripada wanita yang membaca artikel ini akan memperoleh dua kegembiraan yang dijanjikan sebagaimana dalam hadis Nabi SAW:

“Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperoleh dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.” [Riwayat al-Bukhari (7492)]

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia