Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat Dan Negara

Kesan Rasuah Terhadap Masyarakat Dan Negara | IKRAM

Rasuah merupakan najis yang membusukkan nama baik diri, bangsa dan negara, sangat pahit tapi inilah sememangnya hakikat yang perlu kita telan bersama.

Istilah rasuah bagaikan jenayah biasa yang sudah menjadi normalisasi dalam kalangan masyarakat.

Bahkan, isu gosip artis dan selebriti yang tidak beri sebarang mudarat pun lebih panas di pasaran berbanding isu rasuah yang mampu meragut nilai integriti diri dan mencemar nama baik negara, terus dipandang sepi dan sendu.

Bukan sedikit dalam kalangan masyarakat yang tahu dan faham berkenaan hukum-hakam berkaitan rasuah ini. Di meja-meja ceramah, di corong-corong radio dan televisyen, semuanya pernah berbicara berkenaan najis rasuah.

Namun berita-berita seperti ini masih kurang diberi perhatian oleh sebahagian masyarakat, malah paradigma yang salah berkenaan rasuah terus tertanam di minda dengan pelbagai sangkaan.

Antaranya, “Isu rasuah bukan isu kami orang biasa, hanya isu orang atasan, asalkan tidak mengganggu periuk nasi kami, sudah.” Inilah antara corak faham masyarakat kita apabila kita berbicara soal najis rasuah.

Sewajarnya kita harus mengubah cara fikir dan pandangan kita berkenaan najis rasuah ini. Ia bukan sekadar isu orang atasan, orang korporat atau orang politik, bahkan hari ini hampir semua sektor pekerjaan sudah berleluasa gejala najis rasuah ini demi menghalalkan apa yang telah salah di sisi undang-undang.

Sebahagiannya melakukannya juga demi memuaskan nafsu serakah mencapai kepentingan peribadi.

Tanpa kita sedar, najis rasuah yang sedang membarah di negara kita ini akan mendatangkan kesan dan implikasi kepada kita semua, dari orang bawahan hingga membabitkan orang atasan.

Dalam satu kenyataan Prof Syed Hussein al-Attas yang diterbitkan oleh Berita Harian bertarikh 3 April 1986, beliau dengan penuh emosi menyatakan bahawa:

“Kalau umpamanya kita katakan pemimpin suka makan babi, mudah sekali mereka marah, tetapi kalau kita katakan pemimpin itu mengamalkan rasuah, marah itu tidak sekuat seperti makan babi.”

“Nyata sekali bahawa pendapat makan babi itu didorong oleh perasaan emosi yang kuat tetapi pendapat menentang rasuah tidak didorong oleh emosi yang kuat.”

“Sebabnya, menentang rasuah itu tidak didorong oleh perasaan yang kuat ialah kerana umat Islam umumnya sangat dipengaruhi oleh keadaan runtuh akhlak, di mana nilai-nilai Islam yang penting diabadikan, di mana pemimpin-pemimpin mereka tidak memberi contoh-contoh yang cukup.”

Kenyataan ini pada tahun 1986, telah menjadi realiti yang kita boleh lihat pada hari ini. Sejak dahulu lagi, sekiranya kita menyebutkan perkataan ‘babi’, maka dilihat seperti biadab, kurang berakhlak dan sebagainya.

Seolah-olah menyebut babi sahaja, bukan makan, menyebutnya sahaja sudah berdosa dan salah besar, padahal agama tidak melarang kita untuk menyebutnya. Yang dilarang adalah memakan dan menyentuhnya.

Berbeza dengan najis rasuah, sebutan di mulut umpama tiada apa serius. Maka, apa hendak dihairankan andai najis rasuah ini ibarat sudah dihalalkan oleh masyarakat yang tidak prihatin.

Satu fakta yang harus kita akui kebenarannya adalah masyarakat kita kurang tahu dan faham berkenaan implikasi dan kesan najis rasuah kepada sistem kehidupan harian. 

Inilah antara perkara yang menjadi kekaburan oleh sebahagian masyarakat. Apa yang dipaparkan di dada akhbar, berita televisyen sekadar tangkap dan dakwa. Kesan dan akibatnya najis rasuah kepada kehidupan kita, kurang ditekankan.

Biarpun beribu kempen dan jelajah membanteras rasuah dilaksanakan, berpuluh-puluh akta rasuah digubal sekalipun, “Apa ada hal dengan kita? Selagi tidak mengganggu hidup harian kita, apa ada masalah?”

Oleh itu, selain berjuang untuk membanteras najis rasuah ini, kita harus bangkit dan berjuang untuk menerangkan kepada masyarakat umumnya berkenaan amalan najis rasuah ini yang sekurang-kurangnya akan menghancurkan nilai-nilai moral kehidupan, membantutkan proses kemajuan negara dan lebih teruk lagi mampu memusnahkan masa hadapan negara yang lebih cerah dan tersusun.

Biarpun si pelakunya membabitkan orang atasan, impak dan kesannya turut akan dirasai dan ditanggung oleh rakyat tidak berdosa ini.

Kita boleh lihat bagaimana akibat najis rasuah ini mampu meragut kesejahteraan hidup rakyat yang tidak berdosa ini apabila melibatkan pembangunan infrastruktur terpenting dan asas dalam masyarakat seperti pembinaan sekolah, hospital, kemudahan awam seperti taman permainan, jalan raya berturap dan sebagainya.

Apabila wujud permainan ‘beri dan terima’ ini, maka sudah tentu nilai projek akan menjadi mahal dan ia memakan masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

Angkara tersebut, rakyat sama ada yang saban tahun membayar cukai tahunan atau tidak, terpaksa menanggung kelembapan pengurusan ini demi memuaskan kehendak kepentingan pihak tertentu.

Lihatlah bagaimana siri pendedahan jalan berlubang tidak berturap hingga meragut nyawa manusia yang tidak berdosa, pembinaan hospital yang dijanjikan hanya tinggal janji dan menyebabkan kesukaran untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan, kemudahan awam menjadi tempat perosak tanpa diperbaiki, akibat kos projek yang tinggi dengan diselitkan najis rasuah sebagai habuan.

Ini semua sedikit sebanyak menyumbang kepada kehidupan yang tidak sejahtera. Adalah tidak wajar andai najis rasuah ini masih dipandang remeh dan tidak penting bagi masyarakat umum.

Hal tersebut belum lagi kita turun ke padang melihat bagaimana agihan bantuan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Pada angkanya sudah berjuta-juta diumumkan. 

Mendengar angka bantuan yang jutaan tersebut, mungkin sudah menyenangkan hati semua pihak. Namun sebahagian keadaan, bagaikan indah khabar dari rupa.

Apabila najis rasuah ini menjadi sebati dalam diri, penerima bantuan terpilih dalam kalangan kerabat dan kenalan atau kumpulan tertentu sahaja tanpa menilai kelayakan penerima.

Ada yang menerima bantuan dengan jumlah yang diterima tidak seperti jumlah yang dinyatakan. Beralasankan kos ini dan caj itu, kita terus diperbodohkan oleh penajis rasuah.

Demikianlah misalan dan contoh kesan daripada najis rasuah ini terhadap masyarakat dan negara. Seruan kepada masyarakat, kita harus mengubah anjakan paradigma berkaitan najis rasuah.

Harus ditegaskan, najis rasuah bukan sekadar isu penerima dan pemberi semata-mata, bukan lagi isu orang atasan atau bawahan.

Tidak semestinya najis rasuah ini diletakkan di bahu pihak penguasa sahaja, sebaliknya isu najis rasuah ini adalah isu kita bersama. Masalah ini adalah masalah kita bersama. Tanggungjawab membanteras dan menentang ini adalah tanggungjawab kita bersama. 

Mari kita memandang isu rasuah ini seberat kita menganggap babi yang haram. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan manusia yang beriman dan yang penuh integriti dalam segenap kehidupan.

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia