Kesan Mikroplastik: Bencana Pengabaian Alam Sekitar

Sifat alam semula jadi yang diciptakan Allah SWT telah memberikan banyak manfaatnya kepada pelbagai kehidupan yang melata di muka bumi ini.

Ekosistem alam yang sungguh indah, yang juga membuktikan akan kebijaksanaan Tuhan dalam mentadbirnya, telah mendatangkan banyak kebaikannya dan memainkan peranan terpenting bagi menjaga sistem rantaian makanan manusia dan binatang.

Aliran air sungai yang bersih, pokok-pokok yang menghijau juga habitat binatang yang terpelihara akan membuatkan hidup ini lebih lestari dan terjamin kesejahteraannya.

Namun begitu, manusia yang sememangnya diangkat martabatnya sebagai sebaik-baik ciptaan dalam kalangan para makhluk-Nya serta dikurniakan akal yang tidak diberikan kepada makhluk selainnya, telah bersikap melampaui batas dengan menjadikan alam ini sebagai tempat melakukan kerosakan.

Mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar malah ada yang masih memandang remeh dalam soal memelihara dan memuliharanya, walhal alam semula jadi yang kita sedang diami ini tiada tujuan yang lebih penting melainkan menjana sumber tenaga, makanan dan sumber kehidupan yang lain.

Akibat daripada sikap yang tidak mempedulikan alam ini, kita telah dan sedang berhadapan dengan ancaman mikroplastik dalam makanan. Perkataan “mikroplastik” merujuk kepada maksud partikel halus plastik yang berada di ruang udara.

Realitinya hari ini, penduduk di Malaysia adalah antara yang paling banyak terkesan dengan mikroplastik hasil daripada tindakan kita sendiri yang tidak mengambil peduli lagi tentang alam anugerah Ilahi ini.

Dalam satu dapatan kajian baharu di Amerika Syarikat, didapati bahawa penduduk di Malaysia telah “memakan” kira-kira 15 gram mikroplastik dalam sebulan.

Kajian yang telah diterbitkan oleh Environmental Science & Technology tersebut turut menyatakan bahawa negara jiran kita, Indonesia menduduki tempat kedua dengan kadar sekitar 13 gram mikroplastik “dimakan” penduduknya dalam sebulan.

Secara umum, mikroplastik merupakan kepingan halus yang terhasil daripada bahan api fosil. Sebenarnya, kita tidak boleh menafikan bahawa penciptaan plastik telah mengubah cara hidup kita.

Hal ini demikian kerana sifat plastik yang lebih ringan, kalis air malah mudah dihasilkan serta tidak memberikan risiko yang lebih besar seperti mudah pecah dan seumpamanya. Keistimewaan ini telah banyak memudahkan urusan kita tetapi pada masa yang sama juga telah banyak membebankan ekosistem alam.

Kajian menjelaskan bahawa plastik boleh dikatakan hampir kekal abadi kerana pelupusannya memakan masa beratus ribu tahun untuk terurai. Keadaan ini tentunya mendatangkan masalah bagi umat dunia sekarang.

Dalam satu rekod yang dicatatkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam (SWCorp), sejumlah 101,949 tan atau 13 peratus daripada sampah yang dihasilkan oleh penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 2021 adalah plastik.

Statistik ini menunjukkan betapa masih rendahnya kesedaran awam berkaitan sikap terhadap alam sekitar. Hasilnya, sisa plastik yang semakin tinggi ini akan terurai dengan mengambil lebih banyak masa dan akan menghasilkan mikroplastik atau disebutkan sebagai kepingan plastik yang berterbangan di ruang udara kita.

Keadaan ini tentunya akan menyumbang kepada ketidakstabilan alam semulajadi ini dan seterusnya akan mengancam keselamatan makanan umat manusia.

Umat dunia secara keseluruhannya tidak dapat menafikan bahawa hidup sangat bergantung kepada penggunaan plastik. Buktinya, satu kajian yang dibuat mendapati bahawa beg plastik yang digunakan oleh masyarakat dunia berjumlah kira-kira 500 bilion unit setiap tahun.

Ia juga bermakna lebih satu juta beg plastik digunakan bagi setiap satu minit. Angka ini sudah memadai buat kita semua bermuhasabah dan beriltizam untuk bertindak dengan lebih bijak terutamanya dalam soal penggunaan plastik.

Angkara sikap kita yang tidak bertanggungjawab, yang suka membuang plastik tanpa disiplin, akhirnya plastik yang dibuang tersebut akan hanyut ke lautan dan tidak terurai dengan baik. Kesannya juga akan turut mengancam habitat kehidupan di dalam lautan.

Oleh itu, sebagai masyarakat yang mahu mempedulikan alam ini, pertamanya harus diingatkan akan amaran Allah SWT tentang mereka yang suka melakukan onar mencemarkan alam semula jadi ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 56 (maksudnya):

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.

Dalam surah lain, Allah SWT menzahirkan ketegasan-Nya tentang balasan buruk bagi mereka yang melakukan kerosakan alam sebagaimana firman-Nya dalam Surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Berdasarkan ayat ini, Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya, Tafsir al-Munir, menjelaskan bahawa ujian dan bencana yang melanda umat manusia adalah disebabkan perbuatan manusia yang bersikap kufur, syirik, melampaui batas, melakukan maksiat dan meninggalkan perintah-Nya di samping melanggar hak dan juga mengambil hak orang lain.

Sesungguhnya perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah di merata-rata tempat telah diketahui umum bukanlah tabiat yang terpuji.

Soal utamanya bukanlah seputar tahu atau tidak, tetapi perasaan bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara alam semulajadi ini kerana sebahagian masyarakat berpandangan urusan menjaga alam sekitar ini bukan urusan dan tanggungjawabnya.

Perasaan tidak merasai tanggungjawab tersebut adalah suatu malapetaka besar dalam membina ketamadunan manusia. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim (2742), daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. bahawa baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya dunia ini manis lagi menghijau dan sesungguhnya Allah SWT menyerahkan urusan dunia ini kepada kamu semua. Lalu Dia akan melihat bagaimana kamu melakukannya. Berhati-hatilah dengan dunia dan juga wanita. Sesungguhnya ujian pertama yang berlaku ke atas Bani Israil adalah berkaitan wanita.

Berdasarkan pemahaman hadis ini, Syeikh Fuad ‘Abd al-Baqi ketika mengulasnya menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan umat manusia sebagai khalifah atau pentadbir di atas muka bumi ini, dan Dia juga memerhatikan hamba-Nya sama ada mereka mentadbirnya mengikut arahan-Nya atau dengan kemaksiatan terhadap-Nya. Demikian ulasannya.

Hal ini bermakna persoalan mengenai tanggungjawab memelihara dan memulihara alam semula jadi ini adalah tanggungjawab kita sebagai manusia yang telah diamanahkan sebagai khalifah di atas muka bumi Allah ini.

Oleh yang demikian, kita adalah apa yang telah kita lakukan. Jika kita melakukan perkara yang baik, maka baiklah pulangan atau hasil yang kita akan peroleh. Namun sebaliknya jika keburukan yang kita kerjakan, maka tentu sekali hasilnya juga buruk.

Untuk itu, marilah kita beriltizam untuk bertindak menjadi warga yang lebih prihatin terhadap bumi dan alam semula jadi ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Aktivis Rakan Hidayah Perlis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia