Ini merujuk kenyataan Ahli Parlimen Beruas, YB Ngeh Khoo Ham yang dilaporkan media pada 7 Jun 2014 sebagai berkata keperluan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya Zarena Abdul Majid memohon pengisytiharan bukan Islam daripada Mahkamah Tinggi Syariah didakwa bercanggah dengan perlembagaan.
Beliau turut berkata keperluan sebegitu melanggar Perkara 11(1) dan ia memberi gambaran keputusan mengenai kepercayaan seseorang kini terletak pada pihak ketiga (mahkamah).
Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan sewajarnya ditafsirkan mengikut lunas atau semangat perlembagaan dan juga kes-kes undang-undang.
Walaupun dalam kes Zarena tersebut status agama rasminya masih belum disahkan tetapi jika betul dakwaan bapa Zarena iaitu Abdul Majid Gulam Kader bahawa Zarena lahir dalam keluarga Muslim, maka tanggapan undang-undangnya (“presumption of law”) adalah Zarena secara rasminya seorang Muslim sehingga dibuktikan sebaliknya.
Maka atas dasar itu, keperluan JPN ke atas Zarena tersebut adalah sememangnya tidak bercanggah malah selari dengan kehendak Perlembagaan.
Kenyataan yang menyatakan bahawa keperluan JPN tersebut bercanggah dengan Perlembagaan juga adalah suatu kenyataan yang mendahului Mahkamah (Syari’ah) dan turut melanggar prinsip atau doktrin pengasingan kuasa dua aliran Mahkamah di bawah Perkara 121 (1A) Perlembagaan.
Malahan, kes Zarena tersebut juga boleh mencetuskan (“trigger”) Perkara 11 (4) Perlembagaan.
Wajar diingat bahawa walaupun dalam kes Alimah Bt Abdul Jabbar & Khatijah Bt Abdul Jabbar lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [2007] Mahkamah telah memutuskan bahawa perkataan ‘Islam’ pada kad pengenalan Malaysia bukanlah sesuatu yang mutlak yang menentukan keIslaman seseorang, tetapi Mahkamah yang sama juga telah memutuskan penentuan agama si anak itu adalah bergantung kepada status perkahwinan ibubapa dan juga agama si ibu ketika melahirkannya.
Tambahan pula Mahkamah juga dalam kes Daud Mamat & Lain-Lain lwn. Majlis Agama/Adat Istiadat Melayu, Kelantan & Kerajaan Negeri Kelantan [2002] telah menggariskan bahawa kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan tersebut tidak termasuk hak untuk keluar daripada agama (murtad).
Oleh yang demikian, walau apa pun yang didakwa dan/atau dinyatakan oleh kedua-dua pihak iaitu Abdul Majid dan Zarena sendiri, segala keterangan mereka haruslah diputuskan oleh Mahkamah (Syari’ah) dalam menentukan status agama Zarena.
Sebagai penegasan semula, penentuan status agama Zarena Abdul Majid seharusnya ditangani secara kehakiman (“judiciously”) yakni melalui proses Mahkamah (Syari’ah) yang sudah pasti berperlembagaan (“constitutional”) dan tidak hanya sekadar membuang perkataan “ISLAM” daripada kad pengenalan pendaftaran negara.
Wan Anwar Bin Wan Ibrahim
AJK IKRAM Lawyers
Peguam Syar’ie
Peguambela & Peguamcara (Malaya)