Keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat terutamanya Melayu Islam sangat membimbangkan dewasa ini.
Antaranya keruntuhan moral yang ketara ialah isu murtad atau disebut sebagai riddah. Isu murtad dilihat sangat sensitif dan terpencil tetapi ia membawa impak besar dalam masyarakat beragama Islam juga negara.
Kes murtad dilaporkan berlaku dalam diam namun semakin membarah, tetapi orang ramai sangat takut dalam membincangkan isu tersebut.
Isu murtad bukan sahaja tertakluk kepada mereka yang asalnya beragama Islam tetapi turut berlaku dalam kalangan masyarakat mualaf di Malaysia.
Namun begitu, tiada angka yang jelas mengenai bilangan mereka yang murtad kerana angka ini bukan dilkeluarkan secara rasmi oleh mereka yang berurusan dalam mendaftar, peguam syarie dan hakim syarie.
Sedarkah kita, murtad juga boleh berlaku melalui percakapan atau pertuturan, yang mana individu Muslim berkata sesuatu yang menghina agama, mencerca nabi dan mengaku ada tuhan lain?
Seseorang individu itu juga boleh dianggap murtad menerusi perbuatan, contohnya sujud kepada berhala dan memijak al-Quran.
Adakah masyarakat kini sedar dan faham tentang faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya isu peralihan agama atau murtad ini?
Faktor dan langkah mengatasi
“Pengaruh media massa yang menghidangkan pelbagai budaya dan gaya hidup menjurus gejala murtad, antara satu daripada empat faktor menyumbang berlakunya gejala murtad dalam kalangan orang Islam di negara ini,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau menegaskan bahawa faktor-faktor tersebut dikesan kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Kata beliau, faktor lain adalah kelemahan pegangan terhadap agama Islam itu sendiri yang disebabkan oleh kurang tarbiah, didikan dan asuhan daripada ibu bapa serta keluarga mereka.
“Terjebak percintaan, perkahwinan dan perceraian juga antara faktor yang menyebabkan murtad dalam kalangan umat Islam. Terdapat remaja yang terjebak dalam amalan percintaan berlainan agama tanpa kawalan sehingga terjebak gejala murtad.”
Selain itu, pengaruh negatif rakan sebaya dalam persekitaran sosial yang berpunca daripada kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga.
Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ramai ulama masih belum menunaikan tanggungjawab yang mencukupi dalam usaha menangani masalah murtad di negara ini.
“Ulama perlu menjelaskan keperluan agama, khususnya kepada generasi muda bagi memastikan mereka memiliki pendidikan agama yang kukuh.”
Tambahnya, golongan muda perlu dilengkapi dengan pendidikan agama yang baik kerana mereka akan memimpin negara di masa depan.
Jika mereka tidak disediakan dengan pendidikan agama yang kukuh, maka kepemimpinan mereka pada masa mendatang akan jadi kucar-kacir. Keperluan agama ini sesuatu yang wajib dan tidak boleh dipandang enteng.
“Golongan murtad dikategorikan sebagai individu yang melakukan jenayah terhadap agama. Ia boleh berlaku dengan tiga cara iaitu murtad dari segi percaya kepada tuhan lain selain Allah dan mempercayai ada Rasul lain selepas Nabi Muhammad SAW.”
Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, perlu ada gabungan beberapa elemen penting termasuk pendidikan, dakwah dan penguatkuasaan undang-undang bagi mengatasi gejala murtad.
“Ketidakseimbangan dalam pendekatan mengekang gejala itu akan menyebabkan masalah itu berlarutan.”
“Sebagai contoh, jika dakwah dan pendidikan dijalankan tetapi pada masa sama membiarkan pihak tertentu berterusan membuat provokasi terhadap agama Islam tanpa dikenakan tindakan undang-undang, ia akan menyumbang kepada gejala murtad dan mewujudkan suasana tidak harmoni sesama rakyat,” katanya.
Implikasi pengucapan
Implikasi pengucapan kalimah murtad bukan sahaja memberi kesan kepada individu penutur, malah memberi kesan besar kepada kepentingan umat Islam, agama dan negara. Senario ini secara tidak langsung boleh mengganggu-gugat keharmonian beragama dalam masyarakat awam.
Antara kesan lainnya, segelintir masyarakat mula keliru dan membuat andaian tafsiran pengucapan dengan pelbagai tanggapan. Namun, kata-kata murtad bukanlah kalimah yang boleh dijadikan mainan semata-mata diungkapkan di bibir atau menjadi bahan lawak.
Justeru, bagi sesiapa yang mengungkapkan kata murtad itu akan memberi kesan besar kepada amalan kerana ia merosakkan iman apabila jelas dinyatakan tanpa paksaan dan mengandungi maksud kufur.
Begitu juga dengan bergurau, kecewa atau mengajuk dengan melafazkan, “Aku keluar Islam” merupakan ucapan-ucapan yang memutuskan kepercayaan terhadap agama Islam yang benar dan tertinggi selain ia sangat ditegah serta dilaknat dalam Islam.
Pendekatan untuk mengekang penularan isu tersebut memerlukan kepada penghayatan dan pendidikan serta tarbiah Islamiah semenjak dari kecil.
Oleh itu, ibu bapa disarankan agar melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu fardu ain yang mantap merangkumi pengajaran tentang akidah, ibadat dan akhlak. Tunjukkanlah tauladan yang baik kepada anak-anak dengan mentaati perintah Allah SWT
Malah, larangan menyebut ucapan kufur dan murtad jelas dilarang dalam Islam. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 65 dan 66 yang bermaksud:
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.”
Semakin menular?
Mutakhir ini, gejala kerosakan akidah semakin menular membabitkan pertukaran agama. Perkara ini telah mendapat perhatian serius oleh pelbagai pihak termasuk badan-badan Islam dan perundangan di Malaysia.
Saban tahun, kemunculan isu murtad iaitu keluar daripada agama Islam dan menganut agama yang lain terjadi. Murtad menurut bahasa Arab berasal daripada perkataan riddah. Manakala dari segi bahasa, riddah membawa maksud kembali daripada sesuatu kepada selainnya.
Manakala dari segi syarak, murtad ditakrifkan sebagai keluar daripada Islam dan kembali kepada kufur serta membebaskan diri daripada Islam, sama ada dengan niat atau perbuatan atau perkataan, sama ada diucapkan dengan gurauan atau penentangan atau iktikad.
Ulama mutaqaddimin seperti mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT melainkan bertaubat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah: 217)
Namun, Islam adalah sebuah agama yang syumul dan suci menjamin hak kebebasan beragama. Islam memberi hak kepada setiap manusia untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan, malahan Islam menyuruh untuk menghormati amalan agama lain.
Kenyataan tersebut telah dirakamkan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).” (Surah al-Baqarah: 256)
Para fuqaha telah lama membincangkan hak kebebasan agama ini dan jika diteliti, terdapat sebahagian mereka berpandangan bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti sebarang agama.
Ia bermaksud seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika seseorang itu memilih Islam sebagai agamanya, maka adalah dilarang keras untuk keluar daripada Islam.
Terdapat juga pandangan yang lain beranggapan bahawa hak kebebasan beragama ini adalah mutlak dan setiap individu diberi kebebasan untuk memilih agamanya.
Kefahaman dan keberagamaan
Ketika ditanya kepada Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Islam Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah Mat, beliau berkata, gejala murtad merupakan isu yang sensitif.
“Gejala ini dipandang serius dan dianggap sebagai satu kesalahan oleh syariah. Dalam kalangan masyarakat Muslim, kes murtad bukanlah sesuatu yang dianggap normal, malah ia adalah simptom kepada masalah akidah yang parah dan membarah.”
Beliau yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM) menegaskan bahawa selaras dengan maqasid menjaga agama, Islam adalah satu cara hidup yang perlu difahami daripada prinsip dan dasarnya yang kukuh.
“Gejala murtad bukan sahaja rentan kepada saudara baharu yang mengenal Islam, tetapi turut juga melibatkan Muslim yang mewarisi Islam sedari lahir. Hal ini mengingatkan kita kepada dua perkara penting dalam keislaman seseorang, iaitu kefahaman dan keberagamaan,” jelas Hamidah.
Menurutnya, kefahaman yang jelas tentang Islam sebagai satu cara hidup yang benar dan holistik mestilah diterangkan kepada setiap Muslim bermula dari usia kanak-kanak lagi.
“Keberagamaan atau religiosity pula ialah gaya hidup berteraskan kefahaman agama yang secara tidak langsung akan mengukuhkan kepercayaan kepada akidah yang sahih, lantas menjadi benteng kuat untuk mengekang gejala murtad.”
Justeru, pada mana-mana fasa kehidupan seorang Muslim, dua perkara ini perlu disegarkan secara berterusan, agar Muslim kekal berada atas landasan Islam yang benar.
Menyentuh isu yang diketengahkan itu, pensyarah akidah dan pemikiran Islam, Prof. Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi berkata, murtad adalah isu malar yang segar dari dahulu sampai sekarang.
“Siapa yang murtad? Boleh jadi orang Islam itu sendiri atau mualaf (mereka yang kembali kepada Islam) dan kenapa ramai yang murtad?”
Beliau menjawab soalan tersebut dengan tegas bahawa tiada kaedah sistematik dari sudut pengajaran, pengamalan atau pantauan yang dilakukan terhadap mualaf yang baharu kembali kepada Islam.
“Sebagai contohnya, barangkali mereka tiada orang yang membimbing. Jadi mereka buat keputusan kembali kepada agama lamanya.”
Selain itu menurutnya, jika orang Islam itu sendiri ingin murtad mungkin kerana pengaruh ideologi, fahaman yang semakin luas tentang kepercayaan yang boleh membelenggu seseorang.
“Boleh jadi juga terdapat persoalan yang tidak mampu dijawab oleh orang Islam sendiri apabila ditanya tentang Islam.”
Dalam pada itu, berasa ragu tentang Tuhan, apalagi melibatkan persoalan qadak dan qadar menjadi antara faktor mereka terjebak dengan keluar Islam ini.
Kuat kuasa, perkasakan undang-undang
Sebagaimana menurut laporan, peruntukan undang-undang sedia ada termasuk prosedur berkaitan kes murtad adalah tidak seragam di antara negeri-negeri di Malaysia.
Dalam pada itu, ketika membincangkan undang-undang berkaitan murtad, terdapat persoalan besar yang perlu diselesaikan iaitu, adakah terdapat peruntukan kesalahan murtad di bawah mana-mana enakmen atau akta di Malaysia?
Jika diteliti, sememangnya tidak terdapat undang-undang yang jelas mengenai kesalahan murtad termasuklah hukumannya.
Undang-undang jenayah Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri di Malaysia hanyalah merangkumi hukuman maksimum tiga tahun penjara atau enam sebatan atau RM5,000 denda atau kombinasi mana-mana hukuman.
Terdapat enakmen yang memperuntukkan undang-undang dan hukuman murtad secara khusus iaitu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II, Kelantan 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang akhirnya tidak dapat dilaksanakan kerana faktor-faktor tertentu.
Kedua-dua enakmen ini ada menyebut, sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah.
Dan sekiranya ia enggan bertaubat, maka mahkamah boleh memenjarakannya selama lima tahun dan jika tidak bertaubat juga, boleh diisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya.
Bersama pelihara kesejahteraan
Pada Julai 2006, negara telah digemparkan dengan dakwaan isu murtad yang dikatakan semakin berleluasa di Malaysia, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.
Kenyataan itu berdasarkan laporan kajian daripada sekumpulan Melayu profesional yang mendapati bahawa seramai 100,000 umat Islam di Malaysia telah bertukar agama.
Realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa isu keluar agama atau murtad telah lama berlaku seperti dalam kes Ayah Pin, Nor Aishah Bokhari, Nyonya Tahir dan Lina Joy.
Namun begitu, negara menyaksikan bahawa tidak terdapat peruntukan yang jelas mengenai isu murtad ini sama ada dari segi kedudukan individu keluar agama menurut kaca mata undang-undang dan juga prosedur berkaitan dengannya.
Oleh itu, sudah sampai waktunya agar pihak berkuasa agama mengambil langkah serius dan terbuka dalam membincangkan dan menangani isu ini.
Bukan hanya pihak JAKIM sahaja yang perlu terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam, tetapi semua yang mengaku Muslim perlu memikul tanggungjawab bersama bagi memelihara kesejahteraan Islam.
Ia dapat diimplementasikan melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif serta berkesan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), pertubuhan Islam serta termasuk agensi Islam lain yang berkaitan.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.