Isu pembuangan bayi bukanlah isu baharu, isu ini pernah menjadi tajuk utama di dada akhbar pada pertengahan tahun 2000an dan ‘kekal relevan’ sehingga kini.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tahun 2010 sehingga 2018, lebih 945 bayi dibuang yang mana 64 peratus daripadanya meninggal dunia.
Pada tahun 2014 sehingga 2018 sahaja dilaporkan terdapat seorang bayi yang dibuang setiap tiga hari, sama ada dalam bentuk janin atau bayi yang baharu dilahirkan.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 103 kes buang bayi pada tahun 2014, 111 kes (2015), 115 kes (2016), 120 kes (2017) dan 128 kes (2018). Daripada jumlah tersebut, 142 kes pembuangan dalam bentuk janin dan 435 kes dalam bentuk bayi.
Tahun 2019 pula, kes yang sama dilaporkan sebanyak 125 kes dan purata pembuangan bayi pada 2018 hingga 2021 ialah 10 bayi sebulan.
Apabila negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 diikuti pasca Covid-19 (2020-2022), 256 kes pembuangan bayi direkodkan sepanjang tahun.
Isu ini masih tiada penghujung memandangkan terdapat beberapa laporan akhbar pada tahun 2023 tentang isu pembuangan bayi iaitu di Taiping (Mei), Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuantan (Jun) serta di Ipoh (Julai).
Golongan berusia antara 18 sehingga 25 tahun didapati paling ramai terbabit dalam kes buang bayi.
Namun, terdapat juga laporan mereka yang berusia antara 14 – 16 tahun dan 26 tahun ke atas. Negeri Selangor direkodkan mempunyai kes buang bayi tertinggi diikuti Sabah, Johor dan Kuala Lumpur.
Empat lokasi utama menjadi tumpuan pembuangan bayi iaitu tandas, tempat pembuangan sampah, loji kumbahan dan tempat yang tiada rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) yang dianggap tidak boleh dibuktikan seperti tepi jalan raya, sungai, surau, masjid, taman-taman awam, tepi laut, tepi longkang, tepi sawah, dalam bakul motosikal, di hadapan rumah individu, malah ada yang sanggup membuangnya di dalam hutan.
Keadaan bayi yang ditemui ini amat meruntun jiwa. Terdapat laporan yang menunjukkan anggota badan bayi itu dikerat, ditikam, digonggong anjing liar, dijumpai dalam keadaan perut terburai, berulat di tiang elektrik, malah terdapat bayi masih bertali pusat dicampak dari kenderaan dan rumah pangsa, serta banyak lagi perbuatan di luar pemikiran manusia yang normal.
Persoalannya, apa sudah jadi dengan institusi keluarga dan di manakah penghayatan iman? Adakah sudah hilang iman dan ihsan dalam diri mereka sehingga sanggup membunuh zuriat sendiri?
Di mana nilai kemanusiaan?
Pembuangan bayi didefinisikan sebagai satu perbuatan meninggalkan bayi yang baru lahir, sama ada bayi itu masih hidup atau mati di mana-mana tempat dengan sengaja atau berusaha menggugurkan kandungan dengan pelbagai cara. Biasanya pembuangan bayi ini dilakukan terhadap anak luar tidak sah taraf.
Jika ditelusuri kejadian dan peristiwa yang berlaku kini pembuangan bayi boleh digambarkan sebagai satu perbuatan tidak waras iaitu meninggalkan, mencampak, membiar, membuang dan menempatkan bayi yang baru lahir, sama ada hidup atau mati di satu tempat dengan sengaja.
Tujuannya adalah untuk mengelak tanggungjawab ke atas bayi tersebut, yang mungkin disebabkan oleh perbuatan zina, rogol atau hubungan seksual yang berlaku secara rela atau tidak.
Mengapa mereka ini tergamak membuang bayi atau janin sendiri? Berikut merupakan antara faktor kes ini terus berleluasa iaitu:
i. Perasaan takut dan malu yang dirasai oleh wanita yang hamil luar nikah kerana tidak mendapat sokongan keluarga mengenai kehamilan mereka.
ii. Perasaan takut dihukum kerana kesalahan kehamilan luar nikah sekiranya diketahui masyarakat.
iii. Bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan dan menjadi beban kepada keluarga serta tidak diterima sepenuhnya.
iv. Tidak mengamalkan cara hidup beragama menyebabkan mereka mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
v. Tiada pengetahuan mengenai khidmat bantuan sokongan yang disediakan untuk kanak-kanak dan wanita hamil luar nikah seperti khidmat kaunseling, perkhidmatan perlindungan untuk diri dan anak-anak yang bakal dilahirkan.
vi. Bapa ‘biologi’ kepada bayi tersebut tidak mahu bertanggungjawab dan menghilangkan diri.
vii. Wanita pendatang asing tanpa izin yang hamil (luar nikah atau tidak) takut diusir apabila memohon pertolongan dan bantuan tentang kehamilan mereka.
viii. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendedahan tanpa kawalan terhadap aplikasi sosial.
ix. Tekanan hidup seperti malu, kemiskinan, kemurungan, ditambah dengan lemah pegangan agama.
Justeru, dapat dikenal pasti punca tersebut kebanyakannya disebabkan oleh zina. Atas dasar itu, Islam melarang perbuatan zina kerana membawa banyak kemudaratan kepada agama, maruah, nyawa dan keturunan.
Jauhi zina
Jika disoroti lebih terperinci lagi, Islam sememangnya mendidik umatnya memelihara akhlak dan tingkah laku khususnya berkaitan dengan aurat iaitu memisahkan tempat tidur anaknya yang berlainan jantina seawal umur sepuluh tahun sebagaimana mafhum hadis berikut:
“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur 7 tahun. Jika mereka tidak melakukannya sampai umur 10 tahun, pukul mereka, pisahkan juga di antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Riwayat Hakim [1/197] dan Abu Daud [495], Hasan)
Al-Quran mendidik penganut Islam menjauhi zina dan perkara yang membawa zina sebagaimana dijelaskan dalam surah al-Israa’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Zina yang dimaksudkan tidak sahaja dilakukan berbentuk fizikal, malah sekecil-kecil tindakan seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat yang wajib dijauhi sebagaimana hadis:
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Riwayat Bukhari [6612] dan Muslim [2658]).
Kesan jenayah
Individu atau pasangan yang membuang bayi ini akan mengalami masalah dari sudut perubatan khususnya wanita yang melahirkan bayi tersebut tanpa mengikut prosedur yang betul antaranya:
a) Kesihatan mereka akan yang terjejas akibat kehilangan banyak darah, jangkitan kuman dan kecederaan sewaktu bersalin,
b) Kesan dari sudut mental, psikologi dan sosial seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah, gelisah, emosi terganggu dan memberi kesan kepada hubungan interpersonal, khususnya kepada remaja hamil luar nikah
c) Kesan kepada bayi itu sendiri, apabila dijumpai masih hidup, digelar ‘anak pungut’ yang mungkin akan kekal sehingga dewasa.
d) Kesan dari sudut perundangan, pelaku boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara dua puluh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).
Jika bayi itu mati, maka kes tersebut akan diklasifikasi sebagai bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Islam ada solusinya
Dalam situasi ini, Islam menetapkan tujuan pensyariatan (maqasid syariah) bagi menjaga lima perkara utama iaitu agama, jiwa (maruah atau nyawa), harta, akal dan keturunan.
Sama ada membuang bayi itu di tempat ‘selamat’ dalam keadaan hidup atau tidak, hukumnya tetap haram. Ini dijelaskan melalui firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 93 yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”
Pembunuhan terhadap bayi tersebut akan merosakkan agama, jiwa dan keturunan. Apabila bayi yang dibuang itu dijumpai, maka hukumnya fardu kifayah dan wajib diselamatkan, sama ada ia masih hidup atau sudah mati.
Bayi yang telah mati dan dijumpai, menjadi tanggungjawab seseorang Muslim yang lain untuk menyelamatkannya daripada sebarang ancaman binatang atau manusia serta perlu menyelesaikan pengebumiannya.
Bagi menangani jenayah ini terus berlarutan, Enakmen Jenayah Syariah di negara ini perlu dipinda dengan mengkaji semula dan meningkatkan kadar hukuman pesalah syariah mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Kini, hukuman yang dikenakan terhadap pesalah khalwat, berzina atau bersekedudukan menurut Enakmen Jenayah Syariah negeri adalah denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau sebatan tidak lebih enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman, dianggap tidak menggerunkan pesalah dan tiada kesan ke atas mereka.
Contohi Jepun dan Korea Selatan yang melarang akses Internet untuk remaja bawah 17 tahun bermula jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi.
Waktu tersebut merupakan waktu rehat dan tidur remaja yang bersekolah, namun waktu tersebut dianggap waktu terbaik kepada remaja melayari Internet untuk mengakses kandungan video tidak bermoral dan aplikasi media sosial lain yang tidak mengikut lunas agama serta nilai moral masyarakat.
Selain itu, kerajaan harus mengambil langkah berani yang dikenali sebagai Sadd al-Zarai’ (menutup pintu dan jalan ke arah kerosakan) tanpa tunduk kepada tuntutan pihak tertentu untuk mengekang masalah sosial ini.
Perlu penyelesaian
Kesimpulannya, masalah abai, buang dan bunuh bayi ini perlu diperhalusi dan memerlukan penyelesaian jangka panjang dan pendek.
Pihak berkuasa, kerajaan dan NGO sudah lakukan apa yang termampu untuk melindungi remaja hamil, bayi dengan penubuhan tempat perlindungan seperti Taman Seri Puteri, Asrama Bahagia, Baitul Ehsan, Dar Assaadah dan program Baby Hatch yang disediakan oleh Yayasan Orphancare.
Lanjutan kes-kes ini menggambarkan pembangunan sosial yang tidak seimbang atau selari dengan pembangunan teknologi-industri yang diidamkan oleh kerajaan untuk menuju Negara Revolusi Industri 4.0. Persoalannya, adakah kita bersedia?
Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial
Open Universiti Malaysia (OUM)