Kes tiga anak Loh Siew Hong: Ini penjelasan Hidayah Centre Foundation

KUALA LUMPUR – Hidayah Centre Foundation (HCF) mengambil maklum mengenai kes mahkamah yang melibatkan tuntutan undang-undang oleh Puan Loh Siew Hong terhadap salah seorang kakitangan HCF, Ustazah Nazirah Nantha Kumari Abdullah.

 

“Kami memohon semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kes ini untuk tetap kekal bertenang dan juga menghormati keputusan mahkamah dalam usaha mencapai keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HCF, Hj Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos dalam satu kenyataan media semalam di laman rasmi Facebook HCF.

 

Beliau yakin solusi terbaik akan dapat dicapai dalam masa terdekat dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.

 

Katanya, HCF terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan bagi memulihkan keadaan dan menjaga nama baik institusi juga kakitangan daripada fitnah yang sama sekali tidak benar yang sudah mula tersebar di media arus perdana sejak kebelakangan ini.

 

“HCF mengharapkan tidak berlakunya sebarang ancaman yang boleh menggugat keharmonian yang dilakukan ke atas sebarang individu yang terlibat dalam kes ini,” ujarnya.

 

Fakharuddin turut menjelaskan kronologi kes yang sedang berlaku.

 

“Pada tahun 2020, Ustazah Nazirah telah membantu menyantuni sebuah keluarga mualaf iaitu bekas suami Puan Loh Siew Hong, Encik Nagahswaran bersama tiga orang anaknya yang baru memeluk Islam.

 

“Encik Nagahswaran telah mendaftarkan pengislaman ketiga-tiga anaknya di Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) sekitar Julai 2020.”

 

Tegasnya, anak-anak tersebut telah diIslamkan oleh bapa mereka di MAIPs dan Ustazah Nazirah hanya menyantuni anak-anak tersebut selepas pengislaman mereka.

 

“Ustazah Nazirah telah membantu keluarga mualaf ini dalam hal kebajikan dan pendidikan sama sekali tidak mengetahui sebarang maklumat keberadaan ibunya pada ketika itu.”

 

Tambahnya, Ustazah Nazirah tidak pernah sama sekali menahan anak-anak tersebut secara salah, malah telah menjaga anak-anak tersebut kerana amanah yang telah diberikan oleh bapa anak-anak tersebut yang kini berada dalam penjara.

 

“Ustazah Nazirah telah berusaha menghubungi ibu anak-anak ini dari pelbagai sumber termasuklah di media sosial. Beliau juga telah cuba mengatur pertemuan anak-anak ini bersama ibunya beberapa kali, malangnya telah ditunda oleh Puan Loh sendiri.”

 

Menurut Fakharuddin, pada 11 Februari 2022, anak-anak tersebut telah dibawa ke MAIPs memandangkan pengislaman mereka berdaftar di sana.

 

“Seterusnya, oleh kerana anak-anak ini tidak bersedia menemui ibu mereka, anak-anak ini telah diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 14 Februari 2022 sehinggalah perbicaraan kes dijalankan.”

 

Berikut adalah pendirian HCF dalam kes tersebut:

 

1. HCF menyokong usaha yang dijalankan Ustazah Nazirah atas dasar tanggungjawab kemanusiaan juga selari dengan misi HCF sebagai pusat sokongan mualaf.

 

2. HCF berpegang kepada fakta bahawa Ustazah Nazirah adalah sebenarnya pihak yang telah mengambil inisiatif utama untuk mempertemukan anak-anak ini dengan ibu kandung mereka dan sama sekali bertentangan dengan dakwaan pihak-pihak yang mana Ustazah Nazirah telah dikatakan sebagai pihak yang menculik anak-anak ini. Beliau adalah PEMUDAH CARA dan BUKAN penculik yang menyembunyikan anak-anak ini.

 

3. HCF mengecam sebarang fitnah dan ancaman yang dilemparkan terhadap Ustazah Nazirah sepanjang kes ini berlangsung.

 

4. HCF mengambil maklum keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah pada 21 Februari 2022 untuk mengembalikan semula anak-anak ini di bawah hak penjagaan ibunya kerana Islam sama sekali tidak akan memutuskan hubungan kekeluargaan, selari dengan al-Quran dalam Surah Luqman ayat ke-14 hingga 15:

 

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; …(sehingga akhir ayat) Dan jika ibu bapamu mendesak supaya engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…(sehingga akhir ayat).”

 

5. HCF menyeru agar akidah anak-anak yang telah memeluk Islam secara sukarela dijamin, dijaga dan dipertahankan oleh semua pihak.

 

6. HCF turut melahirkan rasa simpati atas kejadian yang telah menimpa Puan Loh Siew Hong sebelum ini.

 

7. HCF mengajak seluruh masyarakat majmuk untuk terus mengekalkan keharmonian dan saling hormat menghormati dalam menyelesaikan isu ini.

 

Video Kenyataan Media HCF: https://fb.watch/blszziaRhc/

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia