Jika sebelum ini (Bhg. 1) saya telah menekankan tanggungjawab individu dalam mengurus peralihan daripada alam kampus kepada alam pekerjaan, maka perbincangan ini pula ingin melihat tanggungjawab tersebut dari sudut organisasi dakwah.
Perbincangan ini bukan bertujuan mempertikaikan usaha-usaha yang telah dilakukan, apatah lagi menafikan jasa para pendahulu yang telah istiqamah membangunkan gerakan dakwah sehingga ke tahap yang kita nikmati pada hari ini.
Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada budaya an-naqd adz-dzati (kritik diri) yang ditekankan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi melalui bukunya Ayna al-Khalal? (Di manakah kelemahan?), iaitu keberanian sesebuah gerakan untuk sentiasa menilai keberkesanan pendekatan dan strategi dakwahnya agar ia kekal relevan dengan perubahan zaman.
Al-Qaradawi mengingatkan bahawa gerakan Islam bukanlah institusi yang maksum. Sebagaimana individu boleh tersilap dalam ijtihad, organisasi juga tidak terlepas daripada kelemahan dalam membaca realiti, menyusun keutamaan atau menyesuaikan pendekatan dengan perubahan masyarakat.
Justeru, muhasabah tidak seharusnya difahami sebagai tanda kelemahan sesebuah jemaah, bahkan merupakan tanda kematangan dan kesediaannya untuk terus melakukan tajdid demi memastikan risalah dakwah sentiasa hidup dalam denyut nadi masyarakat.
Dalam kerangka tersebut, beberapa prinsip yang sering diketengahkan oleh al-Qaradawi boleh dijadikan panduan kepada proses penambahbaikan organisasi.
Prinsip penambahbaikan organisasi
Prinsip pertama ialah al-i’tiraf bi al-waqi’ (الاعتراف بالواقع) yang disentuh beliau dalam bukunya Awlawiyyat al-Harakah al-Islamiyyah (Keutamaan-keutamaan Gerakan Islam), iaitu mengiktiraf realiti masyarakat sebagaimana adanya berdasarkan statistik dan data yang benar-benar sah (valid) sebelum merancang sesuatu perubahan.
Realiti umat Islam hari ini jauh berbeza daripada beberapa dekad yang lalu. Corak pekerjaan berubah, struktur keluarga berubah, landskap politik berubah, bahkan cara manusia berinteraksi dan memperoleh maklumat juga berubah dengan sangat pantas.
Oleh itu, strategi dakwah yang berkesan pada satu zaman tidak semestinya memberikan kesan yang sama pada zaman yang lain. Mengiktiraf realiti bukan bererti kita tunduk kepada realiti yang tidak idealistik tersebut, tetapi memahami titik mula yang sebenar sebelum berusaha melakukan perubahan.
Prinsip kedua ialah fiqh al-awlawiyyat, iaitu meletakkan sesuatu pada keutamaannya. Dalam masyarakat Islam yang pelbagai seperti yang ada di Malaysia, perbezaan pandangan dalam isu fiqh, akidah mahupun tasawuf tidak dapat dielakkan.
Namun, selagi perbezaan tersebut masih berada dalam lingkungan Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia tidak seharusnya menjadi medan pertikaian yang menghabiskan tenaga dakwah.
Keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh titik-titik persamaan dan bekerjasama dalam perkara yang disepakati, manakala perbezaan yang bersifat ijtihadi terus dibincangkan dengan adab dan hikmah.
Dengan itu, tenaga dakwah dapat difokuskan kepada isu-isu yang memberi kesan besar kepada masyarakat berbanding polemik yang hanya melibatkan kelompok tertentu.
Pada hemat saya, beberapa bentuk penyimpangan yang suatu ketika dahulu sering menjadi fokus kritikan, seperti pengkultusan individu (تقديس الشخصيات) atau sebahagian amalan yang berkaitan dengan pemujaan kubur, tetap merupakan perkara yang perlu diperbetul menurut neraca syarak.
Namun, dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia hari ini, fenomena tersebut tidak lagi muncul sebagai cabaran yang dominan atau meluas sebagaimana yang pernah berlaku pada dekad-dekad yang lalu.
Justeru, tanpa menafikan kepentingan membetulkan penyimpangan tersebut apabila ia berlaku, tenaga dakwah pada masa kini mungkin lebih wajar memberikan keutamaan kepada cabaran-cabaran yang lebih meluas kesannya terhadap masyarakat, seperti krisis identiti generasi muda, keruntuhan institusi keluarga, kemiskinan bandar, kecelaruan pemikiran, sekularisasi nilai dan jurang literasi agama.
Justeru, tenaga dakwah wajar disusun mengikut keutamaan semasa agar manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat dengan lebih meluas.
Prinsip ketiga ialah at-ta’awun la at-tanafur (التعاون لا التنافر) yang beliau ketengahkan secara tegas melalui buku as-Sahwah al-Islamiyyah bayn al-Ikhtilaf al-Mashru’ wa at-Tafarruq al-Madhmum (Kebangkitan Islam antara Khilaf yang Diperakui dan Perpecahan yang Tercela), iaitu mengutamakan kerjasama berbanding perseteruan.
Kepelbagaian jemaah, NGO dan institusi Islam, menurut al-Qaradawi, tidak semestinya dilihat sebagai persaingan, bahkan boleh menjadi manifestasi keluasan medan dakwah. Setiap organisasi mempunyai kekuatan, pengalaman dan kelompok sasaran yang tersendiri.
Dalam semangat inilah, kerjasama strategik antara pelbagai institusi, NGO, tokoh masyarakat, profesional dan bahkan mereka yang berbeza kecenderungan politik boleh dibina selagi ia berada dalam kerangka maslahat umum dan tidak mengorbankan prinsip-prinsip syariah.
Penglibatan ahli dalam pelbagai sektor masyarakat, termasuk institusi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan wadah politik yang sah, juga boleh menjadi sebahagian daripada strategi dakwah sekiranya digerakkan berdasarkan pertimbangan jemaah dan maslahat dakwah, bukannya dorongan kepentingan peribadi atau persaingan kepartian.
Perkukuh ekosistem penglibatan
Berpandukan prinsip-prinsip tersebut, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya kita memperkukuhkan pendekatan dakwah yang berasaskan ekosistem penglibatan sepanjang hayat.
Kejayaan sesebuah jemaah Islam tidak seharusnya diukur semata-mata melalui jumlah mahasiswa yang berjaya direkrut atau bilangan ahli yang aktif memegang jawatan organisasi.
Ukuran yang lebih penting ialah sejauh mana seseorang masih menemukan ruang untuk terus menyumbang apabila beliau memasuki alam pekerjaan, mendirikan rumah tangga, memegang tanggungjawab profesional atau melalui pelbagai fasa kehidupan yang lain.
Dalam rangka ini, konsep ar-Rabt al-‘Am (RA) sebenarnya telah menyediakan asas yang sangat baik ke arah perkara tersebut. Ia membuka ruang kepada mereka yang mungkin tidak mengikuti keseluruhan struktur tanzim, tetapi tetap mendukung sebahagian besar fikrah, falsafah dan agenda dakwah jamaah.
Namun demikian, ruang ini mungkin boleh terus diperkasakan sebagai satu laluan penglibatan yang lebih dinamik. Tidak semua individu mampu menjadi aktivis sepenuh masa, tetapi ramai yang mampu menjadi penyokong strategik, sukarelawan, penyumbang kepakaran, rakan kolaborasi atau jambatan kepada masyarakat yang lebih luas.
Dalam konteks masyarakat profesional hari ini, kelompok seperti ar-Rabt al-‘Am inilah yang berpotensi memperluas pengaruh dakwah tanpa membebankan mereka dengan bentuk penglibatan yang mungkin tidak lagi sesuai dengan fasa kehidupan masing-masing.
Pada masa yang sama, jaringan sosial dan strategik juga wajar diperluas. Selama ini, pendekatan gerak kerja melalui pelbagai kluster dan kumpulan fokus telah membuka ruang kerjasama yang sangat baik.
Pendekatan ini, bagi saya, boleh terus diperkasakan sehingga setiap ahli yang mempunyai kepakaran dan jaringan tersendiri berupaya membina lingkungan strategiknya sendiri, sama ada dalam kalangan akademik, doktor, jurutera, usahawan, penjawat awam, pengamal media mahupun aktivis komuniti.
Matlamatnya bukan sekadar menambah bilangan kenalan, tetapi membentuk rangkaian individu yang saling mempercayai, bekerjasama dalam program-program kemasyarakatan dan akhirnya menjadi penyokong kepada mesej-mesej umum yang dibawa oleh dakwah.
Dalam banyak keadaan sebenarnya, sokongan moral daripada jaringan meluas seperti ini jauh lebih berkesan berbanding kempen yang digerakkan secara bersendirian.
Selain itu, institusi-institusi yang berada dalam ekosistem gerakan dakwah juga mempunyai potensi besar untuk berfungsi bukan sahaja sebagai pelaksana program, tetapi sebagai medan kaderisasi.
NGO kemanusiaan, misalnya, bukan sekadar platform mengurus bantuan kemanusiaan dan mengumpul dana, bahkan boleh terus menjadi pintu masuk kepada pembinaan sukarelawan yang akhirnya berkembang menjadi aktivis dakwah.
Begitu juga NGO dakwah belum Islam yang berpotensi melahirkan pendakwah lapangan dan tokoh masyarakat yang mampu menyampaikan mesej Islam kepada pelbagai lapisan masyarakat. NGO kebajikan pula boleh terus memainkan peranan dalam pembangunan pendidikan, penyelidikan, pemikiran dan pembangunan komuniti.
Apa yang penting ialah setiap institusi ini tidak bergerak dalam ruang fungsinya secara terpisah sehingga mewujudkan silo organisasi (yang kadang-kadang dijuluki sebagai fly high), sebaliknya saling melengkapi dalam membina modal insan dan jaringan dakwah yang berterusan.
Ayuh perkasa sumbangan dakwah!
Akhir sekali, saya berpandangan bahawa gerakan dakwah juga perlu memikirkan kaedah yang lebih menyeluruh untuk mengiktiraf, menghargai dan memperkasakan sumbangan dakwah yang berlaku dalam pelbagai sektor masyarakat. Tidak semua sumbangan dapat diukur melalui jawatan atau kehadiran ke program rasmi.
Ramai ahli sebenarnya sedang menyumbang melalui bidang profesional masing-masing sebagai pensyarah, guru, doktor, jurutera, usahawan, penjawat awam atau aktivis komuniti sama ada melalui penulisan, penyelidikan, pendidikan, kebajikan, bimbingan keluarga, pembinaan jaringan profesional, dialog masyarakat ataupun dengan mempamerkan akhlak dan integriti Islam di tempat kerja.
Sumbangan-sumbangan seperti ini wajar diraikan sebagai sebahagian daripada amal dakwah, walaupun tidak berlaku secara langsung di bawah program rasmi organisasi.
Dalam konteks inilah, budaya mutaba’at al-‘amal yang selama ini diamalkan dalam kalangan ahli juga boleh diperluas sebagai satu kerangka pembangunan insan yang lebih inklusif.
Amalan-amalan seperti bacaan al-Ma’thurat, tilawah al-Quran, solat berjemaah, qiamullail, sedekah dan pelbagai bentuk amal soleh yang lain bukan sekadar menjadi ukuran perkembangan individu, bahkan boleh menjadi asas untuk menggalakkan budaya Islamik dalam kalangan masyarakat yang lebih luas.
Matlamatnya bukan untuk menambah angka keahlian NGO atau mengaitkan setiap amalan dengan organisasi, tetapi untuk memastikan nilai-nilai tarbiah terus hidup dalam setiap sektor kehidupan.
Dengan demikian, seorang ahli yang berkhidmat di sekolah, hospital, universiti, pejabat kerajaan atau syarikat swasta akan tetap merasakan bahawa medan dakwahnya sedang diiktiraf, diperkasakan dan menjadi sebahagian daripada agenda besar pembinaan masyarakat.
Sudah tentu sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan di sini mungkin telah pun berada dalam perancangan atau sedang dilaksanakan oleh sesebuah gerakan dakwah. Jika demikian keadaannya, maka tulisan ini wajar difahami sebagai sokongan terhadap usaha-usaha tersebut, di samping mengajak semua ahli memahami falsafah dan hala tuju yang sedang dibina.
Namun jika masih terdapat ruang yang boleh diperkasakan, mudah-mudahan perbincangan ini dapat menjadi sebahagian daripada budaya muhasabah yang sentiasa menyuburkan gerakan dakwah dan memperkukuh keupayaannya untuk membimbing masyarakat dalam setiap zaman.
Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)




