Kerajaan Tekad Perangi Scammer, Bela Mangsa

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa kerajaan akan melakukan pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah.

Tindakan ini bagi membolehkan pihak yang menjadi mangsa kes penipuan atau ‘scammer’ mendapatkan semula wang masing-masing lebih awal.

Pindaan ini bertujuan mengelak mangsa daripada menunggu sehingga dua tahun untuk mendapatkan semula wang yang ditipu hasil kegiatan jenayah itu, disebabkan proses penghakiman yang berlangsung.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan bersetuju melanjutkan waktu operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membantu mangsa penipuan untuk mendapat bantuan secara tepat dan segera, 

Berikutan itu, Bank Negara (BNM) memaklumkan kepada bank supaya operasi pemantauan berjalan 24 jam dan pengadu boleh menghentikan aktiviti ‘scam’ secara automatik.

Dua tindakan kerajaan ini sedikit sebanyak melegakan puluhan ribu orang yang menjadi mangsa kes penipuan atau ‘scammer’ dengan jumlah kerugian yang bukan sedikit, dari ratusan hingga jutaan ringgit.

Jumlah keseluruhan kerugian setiap tahun juga memperlihatkan angka yang amat tinggi dan menggusarkan, melibatkan ratusan juta ringgit. Apabila dikumpulkan dalam beberapa tahun, jumlah kerugian sudah mencecah ribuan juta ringgit!

Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Telekomunikasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Supt Rozeni Ismail dilaporkan berkata, sebanyak 98,607 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3.3 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 2017 hingga 2021.

Dalam tempoh yang sama tambahnya, lebih 30,000 individu ditahan dan daripada jumlah itu lebih 25,000 individu telah dituduh di mahkamah.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), secara purata seorang warganegara ditipu bagi setiap 30 minit, dan modus operandi penipuan itu melibatkan penyamaran daripada pihak bank, pihak berkuasa, perniagaan e-dagang atau pelaburan.

“Scammer akan menghubungi anda dan menyamar sebagai pihak berkuasa atau bank dan meminta maklumat peribadi untuk memindahkan wang.”

“Ataupun mereka akan memberi tawaran murah untuk membeli barangan mahal dan meminta anda membuat bayaran terlebih dahulu, kemudian mereka tidak membuat penghantaran,” kata SC dalam laman sosialnya.

Penyamaran sebagai pihak bank atau pihak berkuasa dan jaminan pulangan pelaburan yang tinggi tanpa sebarang risiko merupakan antara muslihat penipuan yang paling sering digunakan.

Sehubungan itu, kita perlu menyemak maklumat terlebih dahulu melalui saluran rasmi pihak berkuasa dan sentiasa berwaspada serta melaporkan jika mendapat tawaran yang mencurigakan.

Dalam pada itu, Anwar turut mendedahkan statistik yang menunjukkan bahawa sejak penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 14 Oktober 2022 sehingga April 2023, sebanyak 30,069 panggilan diterima.

Daripada jumlah itu, sejumlah 11,858 adalah panggilan mangsa ‘scam’ dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM104.8 juta.

Kertas siasatan yang dibuka ialah sebanyak 3,595 kes bagi kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebanyak 33 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah melibatkan sekatan berjumlah RM34.8 juta.

Menurut NSRC, jika kita menjadi mangsa penipuan, kita perlu segera hubungi bank atau talian 997 bagi membantu mengurangkan kerugian yang mungkin dialami, walaupun tiada jaminan bahawa kita akan mendapat semula wang anda.

Selain memaklumkan kejadian ini kepada bank anda atau hotline 997 NSRC, kita perlu membuat laporan polis di balai polis berdekatan secepat mungkin bagi membolehkan pihak polis memulakan penyiasatan rasmi. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia