Kepengikutan dalam hidup seharian

Sekalipun aspek kepengikutan tidak banyak diperkatakan berbanding dengan kepimpinan, sudah tiba masanya perhatian diberikan secara serius kepada kepentingan pengikut dan kepengikutan dalam struktur masyarakat.

 

Pada hakikatnya, setiap pemimpin itu juga seorang pengikut, walaupun pengikut tidak semestinya diberikan tanggungjawab untuk memimpin dan digelar ketua.

 

Sekalipun status dan kedudukan pemimpin itu tampak hebat, tinggi dan dimuliakan, namun sebenarnya pemimpin sangat khuatir kehilangan pengaruh dan sokongan pengikutnya.

 

Tanpa dukungan dan ketaatan para pengikut, lemahlah kedudukan seorang pemimpin. Kuantiti dan bilangan pengikut yang setia dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh manakah kekuatan dan kehebatan seseorang pemimpin.

 

Bagi pemimpin yang sememangnya mempunyai keperibadian, akhlak dan tingkah laku yang disenangi, di samping keupayaan membuat keputusan yang bijak dan pengalaman yang luas dalam mengendalikan urusan organisasi, kebolehpercayaan, kesetiaan dan rasa hormat  pengikut tidak sukar untuk diraih.

 

Namun begitu, sekiranya pemimpin mempunyai akhlak yang buruk, tidak mempunyai sifat empati, sukar bertolak ansur, tidak berkemampuan mengendalikan konflik, kurang upaya membuat keputusan yang tepat dan tidak berwibawa, pastinya timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pengikut.

 

Satu-satunya cara untuk mendapatkan kerjasama para pengikut adalah dengan memberikan tekanan demi tekanan, menggunakan paksaan, ancaman dan amaran, yang pada akhirnya akan berkesudahan dengan kekasaran, keganasan, ketidakadilan dan penindasan.

 

Pemimpin sebegini tidak mahu pengikutnya lebih berilmu dan bermaklumat, supaya mudah diperdaya dan terus berada di bawah telunjuk. Secara halus atau terang-terangan, pemimpin ini mengunci kerangka fikir pengikut dengan pelbagai helah, peraturan dan tipu daya.

 

Malahan, ada kalanya pemimpin melakukan strategi kotor yang menimbulkan perselisihan dan pergeseran dalam kalangan pengikut, mengaburi mata dan melencongkan perhatian pengikut daripada kelemahan dan ketidakcekapan kepimpinannya. Kaedah menakut-nakutkan pengikut dengan pelbagai ancaman yang dimomokkan bagi mereka yang dianggap tidak patuh, sudah menjadi lumrah.

 

Sebagai akibatnya, pengikut terpaksa menuruti segala kehendak dan arahan pemimpin kerana semata-mata takut diapa-apakan sekiranya membantah. Bagaikan kerbau dicucuk hidungnya, begitulah perumpamaan yang boleh menggambarkan situasi ini.

 

Pemimpin terus-menerus menindas dan menekan pengikut kerana mahu kekal berkuasa, sementara pengikut pula tidak berani melakukan sebarang perubahan kerana bimbang dikenakan tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan masa depan mereka.

 

Sebenarnya hubungan antara pemimpin dengan pengikut mestilah saling memperkukuh, melengkapi dan meningkatkan potensi antara satu dengan lain. Ibarat aur dengan tebing, pemimpin dan pengikut saling memerlukan untuk menjalin kerjasama yang erat. Asas kepada kolaborasi antara pemimpin dengan pengikut bergantung pada tahap kebolehpercayaan dan hormat antara kedua-duanya.

 

Pengikut percaya bahawa pemimpinnya akan membawanya ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sementara itu, pemimpin juga memerlukan pengikut yang aktif menyokong gagasan dan idea yang hendak diperkenalkan.

 

Mekanisme semak dan imbang perlu dimainkan oleh para pengikut yang sentiasa peka dan sedar akan tanggungjawab mereka terhadap pemimpin. Pengikut yang mithali tidak boleh membiarkan pemimpin terus bergelumang dengan tingkah laku dan perbuatan yang menghakis kepercayaan orang ramai kepadanya.

 

Melalui kaedah yang sesuai, pengikut mestilah mempunyai akses dan saluran untuk menyuarakan pandangan dan menyatakan sesuatu kebenaran dengan penuh ketelusan dan integriti. Pemimpin  juga tidak boleh semata-mata mendengar daripada satu pihak sahaja, khususnya dalam kalangan pengikut tegar dan penyokong yang setia.

 

Pengikut seperti ini hanya akan menceritakan perkara yang baik dan indah sahaja, iaitu yang hendak didengar oleh pemimpin tersebut. Tidaklah hairan sekiranya pemimpin yang telah lama dikelilingi oleh para pengikut yang taasub dan yang sering mengampu, pada akhirnya terpaksa berhadapan dengan penentangan daripada pengikut yang berkesudahan dengan penyingkiran dan kejatuhan.

 

Tergelincirnya pemimpin daripada prinsip dan etika yang telah digariskan, terseretlah sama pengikut ke lembah kehinaan dan kehancuran. Ibarat dua sisi pada duit syiling yang sama, sesungguhnya pengikut dan pemimpin berpisah tiada.

 

Pesanan buat pemimpin – hargailah kesetiaan pengikut dengan memberikan kepimpinan yang terbaik, berdedikasi dan berintegriti. Untuk pengikut pula, mainkanlah peranan yang efektif dalam memastikan pemimpin sentiasa berada di atas landasan yang benar.

 

Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, Pengarah dan Pengasas AKADEMI DR HAR.

Sumber: Dewan Masyarakat (11 September 2021)

Sila tonton Follow Me Dr Har (FMDH) setiap Selasa, jam 10.00 pagi di saluran TV IKRAM.
Klik di sini untuk ikuti video-video FMDH dalam segmen Trending Talk Shows.

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia