Kenaikan Gaji Penjawat Awam Perlu Berimpak Positif

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Perlu Berimpak Positif | IKRAM

Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang akan berkuat kuasa 1 Disember ini merupakan langkah yang amat dialu-alukan.

Ia menunjukkan kerajaan peka terhadap cabaran kos sara hidup yang semakin mencengkam dan komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan penjawat awam yang menjadi tulang belakang perkhidmatan awam negara.

Walau bagaimanapun, kenaikan ini hanyalah batu loncatan permulaan kepada transformasi besar yang lebih menyeluruh.

Ia perlu diteruskan dengan pelarasan gaji yang berterusan dan sigap sehingga mencapai tahap yang selari sepenuhnya dengan kos kehidupan semasa di Malaysia.

Hakikatnya, kenaikan kali ini adalah yang pertama dalam tempoh lebih 12 tahun, menunjukkan betapa jauh ketinggalannya gaji penjawat awam berbanding realiti kos sara hidup hari ini.

Perangkap gaji rendah

Malah, dua pertiga daripada graduan baru (65.6 peratus graduan pada 2021) didapati terperangkap dalam gaji rendah iaitu gaji permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi, menurut laporan Khazanah Research Institute (KRI) yang bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents.

Keadaan ini bukan sahaja mendukacitakan, tetapi juga merupakan satu kepincangan sistem yang mesti ditangani segera demi masa depan negara yang makmur dan berdaya saing.

Kajian KRI turut mendedahkan fenomena graduan baru yang terlebih kelayakan semakin meningkat dan terpaksa menerima gaji rendah untuk mengelakkan pengangguran. 

Disebabkan peningkatan kos sara hidup yang mencengkam serta pendapatan gaji yang tidak mencukupi, majoriti rakyat Malaysia terpaksa mencari pelbagai sumber kewangan tambahan bagi meraih pendapatan yang lebih tinggi, walaupun tindakan ini turut mendatangkan tekanan tersendiri yang mengancam kesihatan mental dan keharmonian keluarga.

Laporan Malaysia 2022 Remote Work Report oleh Employment Hero mendapati lebih 66 peratus pekerja di Malaysia terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan kedua.

Situasi ini lebih dirasai bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar seperti Lembah Klang. Mereka turut berhadapan risiko lebih tinggi mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kerisauan akibat beban kerja berlebihan.

Keadaan ini sudah pasti boleh menjejaskan kualiti kehidupan rakyat terutamanya bagi yang berkeluarga apabila masa bersama keluarga terpaksa dikorbankan, menyebabkan kesan penat berlebihan dan pelbagai konflik rumah tangga yang lain.

Banyak kajian melaporkan tahap tekanan dan kemurungan yang tinggi akibat beban kerja berlebihan untuk menampung kos sara hidup yang mencengkam. 

Oleh itu, kenaikan gaji yang signifikan dan berterusan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan segera untuk mengembalikan keseimbangan kualiti hidup rakyat.

Jangan ambil kesempatan

Dalam usaha menyokong langkah kerajaan menaikkan kuasa beli rakyat, para peniaga dan penyedia perkhidmatan tidak wajar mengambil kesempatan daripada kenaikan gaji ini untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara sewenang-wenangnya. 

Tindakan tegas seperti denda atau tindakan undang-undang lain harus diambil ke atas mereka yang berdegil mengenakan harga tidak munasabah, kerana ia akan menyebabkan kenaikan gaji ini tidak bermakna.

Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah proaktif yang lebih drastik untuk memastikan kenaikan gaji ini benar-benar memberi impak positif yang ketara kepada taraf hidup rakyat.

Selain mewujudkan mekanisme pemantauan harga barangan dan perkhidmatan yang berkesan untuk mengawal inflasi, kerajaan juga perlu segera mengukuhkan rantaian sekuriti makanan dan perkhidmatan kritikal yang menjadi keperluan harian rakyat.

Banteras rasuah 

Di samping itu, kerajaan perlu menggembleng usaha membanteras rasuah habis-habisan kerana ia menjadi punca utama berlakunya ketirisan dan pembaziran dana negara yang begitu teruk.

Pendedahan mengejutkan baru-baru ini mendapati dana negara bernilai RM277 bilion hilang dalam tempoh lima tahun akibat rasuah – jumlah yang menyamai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Johor dan Pulau Pinang pada 2022. 

Dana sebesar itu sepatutnya dapat digunakan untuk menaikkan lebih banyak gaji penjawat awam, membiayai pelbagai projek infrastruktur dan bantuan rakyat, termasuk membiayai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selama 28 tahun. 

Rasuah menjejaskan secara kritikal keupayaan kerajaan untuk memberi perkhidmatan berkualiti dan menghalang hasil sumber negara dinikmati sepenuhnya. 

Justeru, kerajaan perlu bertindak tegas seperti memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta mendidik masyarakat tentang bahaya rasuah.

Kajian oleh Pertubuhan Ketelusan Antarabangsa menunjukkan negara dengan tahap rasuah yang rendah dapat menikmati peluang ekonomi dan kualiti kehidupan yang jauh lebih baik.

Tingkatkan produktiviti, manfaat untuk rakyat

Langkah-langkah ini selaras dengan Strategi Pemberantasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dilancarkan baru-baru ini, kesinambungan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang digubal 2019 dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas rasuah menjelang 2030.

Hanya dengan membasmi rasuah sepenuhnya, barulah dana negara dapat dijimatkan sebaik mungkin dan digunakan untuk manfaat rakyat sepenuhnya demi memperbaiki kehidupan mereka.

Kenaikan gaji penjawat awam pada Disember ini adalah langkah positif permulaan yang disambut dengan sukacita. Namun, penjawat awam perlu memastikan produktiviti meningkat dan pemberian khidmat Kerajaan menjadi lebih efektif serta efisien.  

Disyorkan agar kerajaan perlu terus mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan gaji rakyat sentiasa selari dengan kos sara hidup menerusi pelarasan gaji berterusan dan segera, mengawal inflasi serta menyediakan kemudahan dan insentif kritikal.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia