Sebagai seorang pemikir Abul Hasan Ali an-Nadwi telah menulis lebih dari 60 buah buku. Salah sebuah penulisan beliau yang utama dan mendapat perhatian dalam masyarakat Islam bertajuk Madza Khasirul ‘Alam bi Inhithat al-Muslimin telah diterbitkan pada tahun 1950 di Mesir.
Manakala pada tahun 1984, buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Nasional, Singapura dengan tajuk ‘Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam’.
Islam merupakan agama wahyu yang muncul di padang pasir gersang tanah Arab bakal menjadi pencetus pada suatu perubahan baharu bagi umat manusia sama ada di timur atau barat dunia.
Agama ini dipimpin oleh seorang utusan terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW untuk menyampaikan risalah tauhid yang benar agar dapat mengajak manusia bagi kembali dalam mentauhidkan Allah SWT.
Risalah Islam ini telah mengeluarkan manusia pada ketika itu daripada terus berada dalam lingkungan kejahilan dengan memimpin mereka berdasarkan kebenaran ilmu wahyu dan akal.
Tidak hanya terhenti dengan wafatnya Nabi Muhammad SAW, penerus baginda dalam kalangan sahabat terutamanya Khulafa’ ar-Rasyidin telah memimpin umat Islam sesuai dengan petunjuk yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Pada tempoh ini dengan kemunculan Islam, risalah wahyu telah mula tersebar meluas dari batasan sempadan wilayah Arab hingga memasuki wilayah sempadan tamadun-tamadun besar dunia seperti Parsi dan Rom.
Pertembungan antara tamadun ini telah mula menaikkan dan melonjakkan peradaban umat Islam untuk suatu tempoh masa yang lama. Namun begitu, kegemilangan ini tidak mampu bertahan untuk lama dalam sepanjang sejarah umat Islam.
Maka bagi memahami secebis pemikiran Abul Hasan Ali an-Nadwi, tulisan ini akan megutarakan beberapa faktor yang menyebabkan kemunduran berlaku dalam kalangan umat Islam berdasarkan buku ‘Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam’.
Adalah penting bagi kita untuk memahami keadaan yang sedang menimpa umat Islam sejak kejatuhannya. Hal ini kerana, agar kita dapat mengambil iktibar dan melakukan pengislahan serta tidak mengulangi perkara yang sama.
Hakikatnya umat Islam pernah berada dalam kemuncak keagungan dalam ketamadunan dan peradaban, namun begitu setelah beberapa lama menguasai dunia, umat Islam telah mula mengalami kemunduran dan kemerosotan.
Pemimpin yang tidak layak
Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemunduran ini. Salah satu faktor penyebab kemunduran ini mengikut Abul Hasan Ali an-Nadwi ialah peralihan kepimpinan kepada mereka yang tidak layak.
Pemimpin baharu yang dipilih ini tidak pernah mendapat pendidikan agama dan budi pekerti lengkap seperti mana para pemimpin dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW.
Hal ini kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang kepimpinan Islam yang boleh dijadikan sandaran untuk menjadi pemimpin yang sesuai dan bertepatan dengan ciri-ciri Islam. Bahkan dalam diri mereka tidak mempunyai sifat berkobar-kobar untuk berjihad demi menegakkan agama Islam.
Pada masa yang sama juga mereka tidak berkemampuan untuk berijtihad dalam memikirkan segala persoalan atau permasalahan sama ada baik dalam urusan agama atau urusan duniawi. Jika diteliti, ciri ini sangat penting dan perlu ada bagi khalifah atau para pemimpin yang memimpin umat Islam.
Usaha musuh Islam
Sejak kemunculan awal lagi, Islam sering dicemburui dan dimusuhi oleh orang musuh-musuh Islam. Sikap permusuhan ini juga telah menjadi penyebab kepada kemunduran umat Islam. Musuh-musuh Islam cuba untuk memadam cahaya kebenaran Islam.
Usaha ini masih tetap terus berjalan sehingga ke hari ini. Salah satu cara yang mereka gunakan adalah dengan mengelirukan umat Islam terhadap sejarah dan ajaran agama Islam. Tidak mustahil terdapat dalam kalangan mereka cuba memberikan tafsiran negatif ke atas sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
Tidak hanya dengan cara ini, musuh-musuh Islam tidak terlepas dalam membuat tafsiran mereka sendiri ke atas al-Quran tanpa berdasarkan sebarang autoriti sehingga terdapat kalangan orang Islam tertentu terpengaruh dengan penyelewengan dibuat oleh mereka.
Akhirnya, kekeliruan yang timbul ini menyebabkan mereka yang terpengaruh tidak segan silu mempersoalkan dan mempertikaikan isi kandungan al-Quran.
Jauhkan agama daripada politik
Abul Hasan Ali an-Nadwi menyatakan lagi bahawa menjauhkan agama daripada politik adalah faktor lain penyebab kepada kemunduran umat Islam. Menurut beliau, mereka yang berkuasa selepas zaman Khulafa’ ar-Rasyidin berakhir telah berusaha untuk memisahkan agama daripada gelanggang politik.
Sebenarnya mereka sangat memerlukan petunjuk-petunjuk daripada para ulama dan ahli agama, namun mereka menyalahgunakan kekuasaan yang ada pada mereka dengan memainkan politik semahunya.
Malah jika perlu, golongan penguasa ini akan mempergunakan ulama dan ahli agama demi kepentingan mereka. Apa yang lebih malang lagi, golongan penguasa ini berusaha bermain politik tanpa mengendahkan larangan agama. Golongan ulama juga disingkirkan sehingga dibiarkan terasing.
Malah pada suatu tahap golongan ulama dan ahli agama sudak tidak dapat lagi menegur penguasa-penguasa ini atas larangan yang dibuat. Maka pada keadaan ini terjadilah agama benar-benar terpisah jauh daripada politik.
Kurang fokus ilmu praktikal
Lanjut beliau lagi, faktor kemunduran juga boleh disebabkan kurangnya penumpuan atau perhatian ke atas ilmu praktikal yang bermanfaat. Para pemikir Islam pada suatu zaman tertentu tidak banyak memperhatikan dan mempelajari ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan fizikal dan teknikal yang boleh memberi manfaat lebih besar kepada umat.
Berbeza dengan bangsa Eropah pada abad ke-16 dan 17 Masihi. Pada tempoh ini, boleh dikatakan bangsa Eropah telah bangkit daripada tidurnya setelah berada dalam kemunduran berabad-abad lama.
Mereka telah berusaha untuk menggali pelbagai ilmu pengetahuan yang boleh memberi manfaat dan berguna bagi umat manusia. Zaman kebangkitan Eropah ini juga telah melahirkan ramail ilmuan ternama seperti Copernicus, Galileo Galilei, Kepler, Newton dan lain-lain lagi.
Kesemua tokoh ilmuan ini berjaya membuat penemuan baru dalam bidang ilmu pengetahuan serta pada masa yang sama telah mengubah dan menggantikan sistem pendidikan lama dengan sistem pendidikan baru.
Timbul bidaah dan kesesatan
Timbulnya bidaah dan kesesatan juga turut mempengaruhi kemunduran umat Islam. Setelah Islam berkembang dan bebas daripada kemusyrikan, kesesatan dan kejahilan, suatu bentuk cubaan baharu perlu ditempuhi oleh kaum Muslimin iaitu dengan terbitnya pelbagai macam bidaah.
Kemunculan amalan bidaah ini cuba untuk memudarkan cahaya keaslian Islam. Abul Hasan Ali an-Nadwi menerangkan bahawa kelebihan agama Islam ini terletak pada keaslian dan kemurniannya seperti mana yang telah diturunkan oleh Allah SWT.
Jika Islam dan keasliannya sudah dicampuri dengan tambahan persoalan baharu yang dibuat oleh tangan manusia, maka nilai keaslian agama ini dengan sendirinya akan lenyap.
Apabila hilang keaslian, sudah tentu agama ini tidak ada bezanya dengan agama lain yang banyak dipalsukan oleh manusia tidak bertanggungjawab, bahkan amalan bidaah yang bertentangan dengan ajaran Islam akan membawa pengikut mereka ke arah kesesatan lebih nyata.
Perbuatan bidaah sebenarnya lebih bahaya kerana sangat mengelirukan. Hal ini kerana amalan ini secara zahirnya kelihatan seperti sebahagian daripada ajaran agama tetapi hakikatnya langsung bertentangan dengan isi kandungan sebenar Islam. Tidak mustahil mereka yang terpengaruh akan kembali percaya pada hal-hal yang tidak mempunyai logik akal dan sandaran kukuh.
Nasionalisme sempit
Fahaman kefanatikan nasionalisme sempit yang memecahkan umat Islam juga merupakan faktor lain berlakunya kemunduran. Pada awal abad ke-20, penyakit ini telah menular dalam kalangan wilayah-wilayah umat Islam.
Semangat nasionalisme yang ditiup dalam diri umat Islam merangkumi pelbagai bangsa dan suku telah mula mengakibatkan mereka tidak lagi bersatu atas nama agama Islam, bahkan mereka mula berbangga-bangga dengan asal-usul keturunan bangsa nenek moyang mereka terdahulu.
Sekali gus, penyakit ini telah mula merungkai satu persatu kesatuan umat Islam sehingga berlakunya perpecahan. Jika dahulu mereka bersatu dan duduk dalam suatu pemerintahan Islam, tetapi kali ini mereka mahu mewujudkan pemerintahan mereka sendiri berasaskan bangsa, suku dan keturunan sehingga lahirnya banyak negara-negara baru yang saling berpecah-belah.
Ini berlaku sepertimana Turki dengan semangat keturkian dan Arab dengan semangat kearaban mereka pada awal abad ke-20. Semangat nasionalisme sempit ini sebenarnya sangat bertentangan dengan apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW yang mempersaudarakan umat Islam daripada pelbagai bangsa dan suku.
Kesimpulannya, faktor-faktor kemunduran yang berlaku dalam umat Islam seperti yang dinyatakan oleh Abul Hasan an-Nadwi ini perlulah diberi perhatian. Umat Islam tidak wajar hanya tunduk dan tanpa membuat sebarang perubahan.
Sebenarnya masih lagi ada harapan untuk umat Islam mengulangi kembali kegemilangan mereka asalkan sanggup melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Tanpa kita sedari, tamadun Barat dan Eropah yang memimpin dunia sekarang ini telah mula mengalami kemerosotan.
Tamadun yang dibangunkan mereka lebih bersifat materialistik dan kebendaan sebenarnya tidak mampu memenuhi dan mengisi kekosongan jiwa dan rohani mereka. Akibat terlalu mementingkan keduniaan, mereka tanpa rasa segan silu sanggup melakukan penindasan ke atas bangsa lain terutamanya umat Islam.
Berbeza dengan umat Islam, walaupun ketinggalan belakang buat masa ini, tetapi umat ini masih lagi dapat berpegang teguh pada prinsip-prinsip utama ajaran Islam.
Apabila perubahan berani dibuat, adalah tidak mustahil umat Islam akan kembali memimpin dunia pada masa hadapan selagi mana tidak berputus asa untuk terus memperbaiki diri, masyarakat dan umat.
Abdul Hakam Jamaluddin
Penulis Bebas