Ketua kontinjen KRSM, Mejar Abd Rahaim Md Isa yang Pengerusi Kebangsaan KRSM berkata, perkhemahan kali ini lebih menarik kerana ia melibatkan penyertaan ramai anggota yang bukan sahaja terdiri daripada anggota KRSM, malah turut melibatkan penyertaan dari peserta Tunas KRSM bagi sekolah rendah.
Turut serta bersama kontinjen KRSM adalah para pegawai daripada 28 buah sekolah menengah dan rendah rangkaian IKRAM-MUSLEH di seluruh negara untuk berada di Surabaya selama 10 hari iaitu dari 31 Oktober hingga 9 November 2015.
“Meskipun perkhemahan hanya sekitar lima hari iaitu dari 3 hingga 7 November, kita berangkat lebih awal dan pulang lebih lewat kerana ingin mengambil peluang untuk membawa anggota mengadakan lawatan sambal belajar di beberapa tempat menarik dan bersejarah pada sebelum dan selepas acara perkhemahan tersebut,” katanya.
Sidang media di KLIA2, peserta iba di tempat transit Bima Sakti dan lawatan ke ladang epal di Malang
Semua anggota KRSM yang telah menyertai KEMNAS III di Malang, Surabaya ini telah mendapat jaminan bahawa mereka semua adalah layak untuk mendapat markah penuh dalam penilaian ko-kurikulum untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), menurut Hj Mohd Rashid Mean, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam sidang media pelepasan kontinjen KRSM di KLIA2.
Menurut beliau, program antarabangsa ini memang digalakkan untuk anak-anak khususnya bagi penilaian dan pentaksiran markah ko-kurikulum mencapai markah dan juga pencapaian dalam apa sahaja acara yang akan dipertandingkan di KEMNAS III turut dinilai.
“Bila mewakili negara, anak-anak adalah duta kepada KPM khususnya dan kepada negara amnya. Untuk itu, kita berharap, apa yang ditunjuk dalam disiplin dan dari segi adab dan tatacara yang telah diajar dalam pasukan akan dipamerkan di sana, dalam masa yang sama dapat menjaga nama baik Malaysia serta KRS MUSLEH juga,” tambah beliau.
Sekitar kawasan perkhemahan di Coban Rondo
Pada Isnin 2 November 2015, semua kontinjen KRSM mengambil peluang untuk melawat ladang epal di Malang yang terkenal di Indonesia dengan dengan kebun tanaman buah tersebut yang luas dan berbuah sepanjang tahun.
Acara pembukaan KEMNAS III yang diadakan pada hari kedua perkhemahan berlangsung amat meriah di mana ia dimulakan dengan perarakan masuk wakil-wakil kontinjen dari seluruh Indonesia dan pasukan KRSM dari Malaysia serta Luk Se Thailand.
Ucapan pembukaan KEMNAS III dan kehadiran Ustaz Megat Mohamed Amin, Penaung KRSM (berbaju hijau)
Perarakan tersebut disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan ketiga-tiga negara, lagu tema KEMNAS III dan Pramuka JSIT oleh kumpulan koir Pramuka, diikuti dengan bacaan ayat suci al-Quran dan persembahan serta pertunjukan kawad irama oleh anggota KRSM. Turut hadir dalam upacara pembukaan ialah Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Noor selaku Penaung KRSM.
Menggunakan pendekatan permainan, demonstrasi dan simulasi, pelbagai aktiviti berkala diadakan sepanjang perkhemahan ini seperti aktiviti Scout Challenge, Edutrip, Scout Adventure seperti pioneering, navigation, jungle tracking dan memanah.
Perhimpunan dan perbarisan anggota KRS MUSLEH
Peserta juga menyertai beberapa pertandingan kemahiran seperti penjernihan air, paracort handy craft, automotif, hidroponik, robotik, roket air, fotografi, pembuatan kerepek buah dan pembuatan aiskrim. Turut diadakan Karnival Budaya, Pentas Seni serta Game Ukhuwah dan peserta tidak ketinggalan untuk solat berjamaah, berqiamullail, tilawah al-Quran, berzikir ma’thurat, memasak dan bertaaruf.
Aktiviti kemahiran, memanah dan kesenian
Dengan tema “Berbekal Taqwa Meraih Cita, Menjalin Ukhuwwah Membangun Bangsa” oleh pihak Pramuka JSIT dan “Sehati Sejiwa, Rahmat Untuk Semua” oleh KRSM, hampir semua kegiatan yang dianjurkan menjurus kepada objektif tersebut. Aktiviti-aktiviti pertandingan digabungkan antara anggota Pramuka dan KRSM agar mereka terus bertaaruf sepanjang aktiviti dijalankan.
Mandi air terjun dan melawat Jatim Park
Seramai 8,800 anggota Pramuka SIT dari Indonesia telah menyertai perkhemahan ini berserta 318 dari Malaysia dan enam dari Thailand menjadikan jumlah peserta keseluruhan berjumlah 9,124 yang dikendalikan oleh 1,000 orang urusetia. Jumlah penyertaan dalam KEMNAS III kali ini juga merupakan yang tertinggi berbanding penganjuran sebelumnya iaitu 5,500 peserta dalam KEMNAS I dan 7,800 peserta dalam KEMNAS II.
Anggota KRS MUSLEH bersama sahabat Pramuka dan Ustaz Megat bersama para pegawai Pramuka dan Luk Se
Semoga ukhuwah antara tiga negara serantau ini disuburkan lagi dalam siri-siri perkhemahan yang akan datang, meningkatkan lagi ketakwaan, jiwa kepemimpinan dan kepercayaan diri peserta, bertambahnya pengalaman serta terbangunnya rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, masyarakat dan negara, insyaa-Allah.
Foto FB KRS IKRAM Musleh: http://on.fb.me/21jnLTe
Foto FB KRS Musleh Hira’: http://on.fb.me/1NJ3zpZ