Kemelut ekonomi dan kesan kepada kejayaan Donald Trump dan pemimpin nasionalis Eropah

Berita kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini memeranjatkan ramai pihak. Ini kerana pungutan suara yang dilakukan oleh beberapa agensi berita dan lain-lain jelas menunjukkan bahawa Hillary Clinton mendahului beliau pada jarak yang agak luas.

Namun kejayaan Trump sebenarnya hanya mencerminkan trend yang sedang berlaku di banyak negara, terutama sekali di Eropah di mana ramai pengundi semakin hari semakin cenderung untuk memilih pemimpin yang bersikap haluan kanan, nasionalis dan anti-pendatang asing.

Dalam kes Donald Trump, semasa berkempen beliau sangat lantang dalam menekankan bahawa negara Amerika Syarikat perlu dilindungi daripada kemasukan pendatang asing. Di samping menyatakan beliau merancang untuk menghalau semua pendatang asing yang tidak sah, beliau juga menekankan betapa bahayanya golongan Islam yang radikal kepada keselamatan negara Amerika.

Akibat daripada pendirian beliau yang tegas terhadap orang asing ini, beliau telah berjaya mendapat sokongan daripada kebanyakan pengundi Amerika berkulit putih terutama sekali yang tidak berpendidikan tinggi.

Menurut satu laporan, 72% daripada pengundi kulit putih yang tidak mempunyai ijazah pertama dan 62% daripada wanita kulit putih yang tidak mempunyai ijazah pertama menyokong Trump. Namun dalam kalangan yang berpendidikan tinggi, ramai juga yang menyokong beliau iaitu 54%.[1] Jelas bahawa sikap nasionalisme beliau mendapat sokongan kuat dari kalangan mereka.

Sebenarnya, trend nasionalisme ini juga menjadi punca utama ramai pemimpin yang bersikap anti-pendatang asing semakin popular di Eropah. Laporan terperinci oleh BBC telah mendedahkan trend ini dengan amat jelas.[2] Sebagai contoh di Austria, calon parti haluan kanan Freedom Party (FPOe) Norbert Hofer telah hampir memenangi pilihanraya presiden pada bulan Mei 2016.

Di Cyprus pula, parti haluan kanan ELAM yang sering kali berdemonstrasi menolak kehadiran pedatang asing dari Turki buat pertama kali berjaya mendapat dua kerusi di parlimen pada pilihanraya pada bulan Mei 2016.

Di Denmark pula, Danish People’s Party atau DPP memenangi tempat kedua atau 21% daripada undi dalam pilihanraya pada tahun 2015 iaitu kejayaan terbaik mereka. Parti ini menentang konsep kepelbagaian budaya (multiculturalism) dan mahukan peraturan imigresennya diketatkan supaya pendatang asing dapat disekat masuk. Parti ini juga mempunya sikap ‘Eurosceptic’ iaitu sikap yang amat negatif kepada penglibatan Denmark dalam kesatuan Eropah.

Di Finland, parti nasionalis Finns Party mendapat tempat kedua dalam pilihanraya pada tahun 2015. Parti ini sangat bersikap tegas menyokong polisi ketat terhadap pendatang asing dan menekankan bahawa rakyat Finland mesti diberi keutamaan berbanding warga asing dalam aspek belanjawan

Di Perancis, Marine Le Pen, pemimpin parti nasionalis National Front dijangka akan mendapat sokongan kuat daripada rakyat dalam pilihanraya presiden pada tahun ini. Beliau terkenal dengan sikap anti-EU dan menolak matawang Euro dan juga sangat keras menentang kemasukan pendatang asing. Parti beliau telah memenangi 25% daripada undi dalam pilihanraya Parlimen Eropah di Perancis pada tahun 2014.

Di Jerman, sebuah parti yang sangat kuat menentang kemasukan warga asing ialah Alternative for Germany (AfD). Parti ini semakin hari semakin popular akibat ketidakpuasan ramai rakyat Jerman terhadap polisi Canselor Angela Merkel yang menerima kemasukan pelarian dari Syria. Setakat ini parti AfD telah memenangi separuh daripada kerusi di dewan negeri Jerman. Parti ini mendapat sokongan kuat daripada gerakan Pegida, iaitu satu gerakan anti-pendatang asing terutama sekali dari negara Islam.

Di Greece pula, parti yang semakin hari semakin popular semenjak krisis ekonomi yang berlaku di negara tersebut ialah parti haluan kanan Golden Dawn. Beberapa ahli parti ekstrem ala neo-Nazi ini pernah dituduh membunuh musuh politik mereka. Namun parti ini mempunyai 18 wakil rakyat dalam Parlimen sekaligus menjadikannya parti yang ketiga popular di Greece.

Di Hungary pula, parti yang ketiga popular iaitu parti nasionalis haluan kanan Jobbik setelah memenangi 20.7% daripada undi semasa pilihanraya tahun 2014. Pendirian parti ini amat tegas terhadap rakyat berbangsa Roma (Gypsy) kerana dilihat sebagai orang asing. Ia juga telah menyokong kuat polisi kerajaan menyekat kemasukan warga asing dengan meletakkan pagar berduri di perbatasan Hungary dan Serbia.

Di Itali pula, parti nasionalis haluan kanan anti-kemasukan warga asing dan anti-EU bernama Northern League (Lega Nord) telah menambahkan kerusinya di dalam pilihanraya pada tahun 2015. Parti ini semakin popular semenjak kemasukan ramai pendatang asing dari Afrika yang dirasakan telah mendatangkan masalah kepada sistem kebajikan masayarakat negara tersebut.

Di Belanda pula, Party for Freedom (PVV) yang di pimpin oleh Geert Wilders telah menjadi parti paling popular di negara tersebut. Parti beliau adalah anti-EU dan mahu menyekat kemasukan pendatang beragama Islam ke negara tersebut. Ia juga adalah parti ketiga popular di Belanda dan mendapat 24 kerusi dalam pilihanraya umum pada tahun 2010.

Di Sweden, parti nasionalis haluan kanannya ialah parti Sweden Democrats (SD). Ia mahukan kawalan ketat terhadap kemasukan pendatang asing dan juga menentang konsep kepelbagaian budaya (multiculturalism). Pada tahun 2014, parti ini mendapat tempat ketiga dalam pilihanraya umum Sweden dengan mendapat 13% daripada kerusi.

Di Switzerland, parti yang menentang kemasukan warga asing ialah Swiss People’s Party (SVP). Ia telah mendapat hampir 30% daripada undi dalam pilihanraya pada tahun 2015. Dan dengan itu memenangi 65 daripada 200 jumlah kerusi di Parlimen. Polisi menentang kemasukan warga asing adalah faktor utama kejayaan parti ini.

Persoalannya ialah kenapakah sikap anti-pendatang asing begitu popular dalam kalangan ramai rakyat Amerika dan Eropah sekarang?

Jawapannya ialah ramai rakyat Amerika dan Eropah sekarang merasai kesempitan hidup akibat daripada suasana ekonomi yang semakin merudum. Di Amerika, kesan daripada krisis sub-prima pada tahun 2008-2010 masih dirasai sehingga sekarang.

Semasa krisis berlaku, jutaan rakyat Amerika sengsara akibat dibuang kerja atau dipotong gaji. Ramai yang kehilangan tempat tinggal dan menjadi gelandangan. Di samping itu, banyak syarikat pembuatannya yang menghadapi saingan sengit telah memindahkan kilang mereka ke luar negara, terutama sekali ke Asia kerana kos di Asia adalah lebih murah. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana beban hutang mereka sangat besar.

Sebagai contoh syarikat General Motors mempunyai beban hutang sebanyak puluhan bilion dolar dan hampir muflis semasa berlakunya krisis sub-prima. Ia hanya dapat mengelak daripada muflis dengan bantuan suntikan dana oleh kerajaan Amerika.

Di samping itu, banyak syarikat Amerika telah dikalahkan dalam pasaran oleh syarikat dari Asia. Eksport dari Asia ke Amerika mengkibatkan banyak syarikat pembuatan Amerika golong tikar. Ini menyumbang kepada kenaikan masalah pengangguran.

Kesengsaraan ini pada suatu ketika pada tahun 2011 telah mencetuskan satu gerakan protes yang dipanggil ‘Occupy Movement’. Malangnya, gerakan protes ini tidak mampu membuat apa-apa perubahan. Bahkan ahli gerakan protes ini telah dihalau dari tapak demonstrasi mereka di Wall Street, New York dan khemah-khemah mereka dirobohkan.

Sebenarnya, rakyat Amerika yang dalam kesengsaraan ini gagal menyedari bahawa mereka adalah mangsa kepada sistem kewangan berteraskan kepada amalan Riba. Untuk merubah sistem, tidak cukup dengan ahli gerakan memprotes dengan membina khemah serta duduk di Wall Street sambil menjeriti-jerit meminta keadaan diubah.

Ia memerlukan kepada perubahan nilai dan sikap masyarakat yang suka berhutang dari sistem perbankan. Selagi itu tidak berlaku, maka suasana ekonomi yang membuat ramai rakyat, terutama sekali yang lemah dan tidak berpendidikan tinggi semakin sengsara tidak akan berubah juga.

Bahkan, keadaan mungkin akan menjadi lebih teruk kerana sistem perbankan akan terus berkembang. Ini terbukti berlaku di Amerika kerana susulan daripada penghalauan aktivis ‘Occupy Movement’ dari Wall Street, masalah pengangguran dan pendapatan yang rendah berbanding kos kehidupan semakin teruk di Amerika.

Sementara itu, syarikat yang tersepit akibat persaingan sengit serta beban hutang yang tinggi gemar mengambil pekerja asing teruatama sekali dari Mexico kerana kos upah yang mereka minta adalah rendah berbanding rakyat Amerika terutama sekali dari kalangan kulit putih. Ini menyebabkan peluang pekerjaan menjadi semakin sukar.

Sekarang ini keadaan pengangguran di Amerika syarikat semakin teruk. Jika perkiraan kadar pengangguran mengambil kira mereka yang mereka yang hanya berkerja sementara, kadar pengangguran adalah hampir 10%.[3] Akibatnya ramai yang tidak senang hati dengan kehadiran pendatang asing itu yang dirasakan membuat keadaan pengganguran bertambah parah.

Sikap ini sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini di mana masyarakat Amerika sangat menggalakkan kehadiran warga asing. Sebagai contoh, ramai rakyat mereka yang masyhur dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat adalah pendatang asing seperti Arnold Schwarzenegger, Arianna Huffington, Henry Kissinger, Zbigniew Brezinski dan lain-lain.

Semua perkembangan di atas mempunyai kaitan rapat dengan keadaan ekonomi yang semakin teruk di Amerika akibat daripada tahap hutang yang juga semakin tinggi. Menurut Profesor Kotlikoff, seorang pakar ekonomi dari University of Boston, sebenarnya kerajaan pusat Amerika adalah secara teknikal sudah muflis kerana tidak akan mampu membayar hutangnya yang mengikut kiraan beliau adalah lebih daripada USD 200 trilion.[4]

Di samping itu, walaupun kadar inflasi rasmi adalah rendah, namun ramai rakyat sengsara kerana kos barangan dan perkhidmatan keperluan seperti penjagaan anak, pendidikan dan rawatan perubatan adalah tinggi dan membuat rakyat resah dan bimbang. [5]

Sementara itu, di Eropah, sistem Riba yang menciptakan hutang dengan banyak juga telah mengakibatkan ramai rakyat mereka juga sengsara. Syarikat yang berhutang dengan banyak semakin gemar berpindah ke negara lain yang kos buruhnya lebih murah. Yang tinggal akan memastikan gaji yang diberikan adalah rendah. Peluang pekerjaan adalah sempit. Purata kadar pengangguran di Eropah adalah lebih kurang 12%.[6]

Punca utama masalah kewangan di Eropah sekarang ialah krisis kewangan yang melandanya susulan daripada krisis sub-prima AS pada tahun 2008 di mana beberapa negara Eropah terjebak dengan krisis hutang.

Apa yang telah berlaku ialah sektor perbankan Eropah yang telah melabur dengan banyak dalam sektor kewangan Amerika Syarikat telah mengalami kerugian besar apabila krisis sub-prima berlaku di sana. Ini seterusnya mengakibatkan kemelesetan di negara yang terlibat. Harga rumah juga jatuh dengan mendadak dan ini membuat keadaan sektor perbankan bertambah tenat.

Kemelesetan ekonomi ini mengakibatkan banyak kerajaan mendapati kutipan cukai mereka menurun dengan cepat. Namun pada masa yang sama mereka terpaksa berbelanja dengan banyak untuk membantu golongan yang kehilangan kerja.[7] Ini mengakibatkan hutang kerajaan berbanding GDP meningkat dengan mendadak. Sebagai contoh antara 2007 dan 2011, hutang sektor awam UK berbanding KNK naik dua kali ganda dari 36% ke 61%.

Keadaan adalah paling teruk di negara Greece di mana kerajaannya tidak mampu membayar hutangnya yang terlampau tinggi kepada pelbagai pihak termasuk institusi kewangan dari Perancis dan Jerman. Akibatnya, ia terpaksa meminta pertolongan daripada kesatuan EU dan IMF. Jumlah hutangnya sekarang adalah €297.1 bilion.[8]

Lebih daripada separuh rakyat Greece (55%) merasakan bahawa keadaan akan bertambah teruk di negara mereka sementara 61% merasakan negara mereka mungkin akan dikeluarkan daripada Eurozone (persatuan negara-negara yang mengunakan Euro) satu hari nanti akibat tidak mampu menjelaskan hutangnya[9]. Sekarang ini kadar pengganguran di Greece telah meningkat lebih dari 30% dan pendpatan bolehguna (disposable income) telah jatuh sebanyak 25 %.

Keadaan ekonomi juga sangat teruk di Sepanyol. Sektor swasta telah berhutang dengan banyak pada tahun-tahun sebelum berlakunya krisis sub-prima, terutama sekali dalam sektor hartanah. Apabila ekonomi meleset, banyak syarikat telah menghadapi masalah membayar hutang. Kerajaan Sepanyol terpaksa berhutang untuk berbelanja untuk merangsangkan ekonomi. Tetapi ekonominya tetap merudum dan kadar pengangguran pernah meningkat ke kadar 26%.

Di Ireland pula, keadaan hutang kerajaannya terus meningkat ke paras 117% berbanding KNK pada tahun 2012 akibat daripada keperluan kerajaannya membantu sektor perbankan yang hampir muflis. Bahkan hutang kerajaan daripada sumber luar telah meningkat dari €30 bilion ke paras lebih daripada €80 bilion pada tahun 2010. Oleh kerana itulah kerajaan Ireland terpaksa mengurangkan perbelanjaan dengan banyak selepas itu dan ini mengakibatkan ramai rakyatnya sengsara.

Negara Jerman yang merupakan negara yang paling stabil dalam aspek ekonomi juga tidak dapat mengelak daripada terkesan akibat kemelesetan ekonomi di negara-negara Eropah yang lain. Pertumbuhan ekonomi Jerman amat lemah dan kadar pengangguran meningkat ke 7.2% pada tahun 2013 berbanding 6.8% pada tahun 2012.[10]

Jelaslah bahawa terdapat kaitan yang sangat kuat antara perkembangan politik di Amerika dan Eropah dengan masalah kemelesetan ekonomi yang semakin teruk di negara-negara tersebut. Kecenderungan pengundi untuk melantik pemimpin yang mempunyai pendirian nasionalis dan sempit adalah akibat daripada perasaan yang meluas serta kuat dalam kalangan rakyat bahawa keadaan kehidupan mereka semakin tersepit akibat kenaikan kos kehidupan dan pengangguran.

Malangnya, mereka gagal menyedari bahawa punca sebenar kepada masalah mereka ialah bukannya orang asing atau syarikat asing, tetapi adalah sistem ekonomi yang mereka amalkan yang berteraskan kepada industri hutang. Mereka gagal menyedari bahawa krisis hutang yang seriuslah yang menjadi penyebab kepada timbulnya masalah kos kehidupan yang meningkat serta masalah pengangguran.

Salah faham berkenaan punca utama masalah kehidupan mereka inilah mengakibatkan semakin ramai yang cenderung melantik ahli politik yang nasionalis, anti-pendatang asing serta anti-perjanjian perdagangan bebas seperti TPPA.

Sebenarnya langkah menyekat kemasukan barang asing atau pendatang asing ke sesebuah negara tidak akan mampu menangani masalah negara mereka kerana punca sebenar masalah adalah perkembangan sektor kewangan yang menggalakkan pertumbuhan tahap hutang.

Bahkan jika industri kewangan yang menggalakkan tahap hutang ini dibiarkan berkembang, maka sudah pasti keadaan ekonomi akan menjadi lebih parah pada masa hadapan sama ada wujud atau tidak pendatang asing.

Keputusan rakyat Amerika dan Eropah melantik pemimpin nasionalis dan anti-pendatang asing menunjukkan dengan jelas bawa pemikiran mereka tersangat mundur walaupun negara mereka dikatakan maju daripada segi ekonomi. Bagaimana pula dengan pemikiran pengundi kita? Adakah ianya juga semundur mereka?

Rujukan:

[1] http://www.cbsnews.com/news/cbs-news-exit-polls-how-donald-trump-won-the-us-presidency/
[2] http://www.bbc.com/news/world-europe-36130006
[3] Kadar ini dirujuk sebagai kadar U6. Sumber: http://portalseven.com/employment/unemployment_rate_u6.jsp
[4] https://socioecohistory.wordpress.com/2016/10/27/laurence-kotlikoff-usa-actually-bankrupt-now-in-worse-shape-financially-than-russia/
dan http://stevenmcollins.com/WordPress/professor-kotlikoff-u-s-is-bankrupt/
[5] http://fortune.com/2015/11/10/us-unemployment-rate-economy/
[6] http://www.profitconfidential.com/european-debt-crisis/
[7] http://www.economicshelp.org/blog/3806/economics/euro-debt-crisis-explained/
[8] http://graphics.wsj.com/greece-debt-timeline/
[9] https://www.theguardian.com/business/2016/jan/04/greeces-economic-crisis-goes-on-odyssey-without-end
[10] http://www.profitconfidential.com/european-debt-crisis/

Artikel oleh Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail
Penulis adalah Ketua Biro Penyelidikan IKRAM dan pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia