SERI KEMBANGAN – Sebanyak 40 kematian baharu akibat jangkitan Covid-19 setakat tengah malam tadi, dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada 30,614 orang, daripada 2.65 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.
“Sebanyak 10 daripada 40 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID),” lapor data KKM di portal CovidNow.
Menurutnya, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 61,999 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 51,260 individu atau 82.7 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,899 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 4,369 kes dirawat di hospital dan 471 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), membabitkan 207 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 264 lagi memerlukan mesin ventilator.
Dalam pada itu, data John Hopkins University menunjukkan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini melepasi 265.7 juta, berikutan lebih setengah juta kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
Manakala angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 5.25 juta, dengan Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 788,000 kes.