Bagi mereka yang benar-benar menyambut kedatangan Ramadan dan meraikannya dengan ibadah serta amal soleh, pasti pemergian Ramadan akan meninggalkan kesan yang sangat mendalam.
Perasaan sedih akan peninggalan tetamu yang penuh barakah seperti sudah dijangka. Oleh itu, Allah Taala telah berpesan dengan mengingatkan umat Islam supaya mengambil peluang untuk bergembira pada hari raya apabila Ramadan berakhir. Allah SWT telah berfirman:
“Bulan Ramadan adalah (bulan) yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang hak dan yang batil). Oleh kerana itu, sesiapa di antara kamu hadir (di tempat tinggalnya atau bukan musafir) pada bulan itu, berpuasalah. Sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya) sebanyak hari (yang ditinggalkannya) pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu agar kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)
Pensyariatan Aidilfitri sangatlah signifikan dalam kehidupan seorang manusia yang perlukan momen-momen yang menggembirakan.
Kemenangan melawan nafsu makan dan batin sepanjang Ramadan dan kepuasan beribadah dijadikan sebab untuk umat Islam bergembira dalam ruang lingkup yang menyempurnakan keperluan seorang manusia.
Justeru, tujuan sambutan hari raya ialah tidak lain dan tidak bukan, iaitu untuk menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan atas kejayaan mengharungi cabaran berpuasa pada bulan Ramadan tersebut.
Kemuncak pesta ibadah Ramadan diredakan dengan pensyariatan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Bagi sesetengah orang, puasa enam hari pada bulan Syawal adalah pelengkap kepada ketidaksempurnaan puasa Ramadan sebelumnya.
Pada sesetengah yang lain pula, puasa enam hari pada bulan Syawal adalah peluang untuk menggantikan puasa dengan pahala yang berlipat ganda.
Selain itu, pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal ialah pengubat kepada kerinduan Ramadan yang baru berlalu pergi.
Apa pun yang disikapi, pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal telah disabitkan melalui hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah ﷺ telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” [Riwayat Muslim (1164)]
Berdasarkan hadis ini, para fuqaha daripada kalangan Mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali telah bersepakat bahawa puasa enam hari pada Syawal adalah sunat yang sangat dituntut dan dijanjikan dengan pahala yang berganda.
Jika dirujuk kepada perincian fuqaha mengenai pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal, rata-rata mengatakan puasa ini boleh dilakukan samada secara berturut-turut mahupun berselang-selang asalkan masih dilakukan pada bulan Syawal. Ini membuktikan bahawa Islam sangat meraikan kemampuan dan keperluan masing-masing.
Amatlah dikesali sekiranya masih terdapat segelintir umat Islam yang masih berbalah tentang puasa Syawal berturut-turut atau berselang-selang tetapi tidak menumpukan perhatian kepada kelebihan mahupun fadilat serta roh pensyariatan puasa Syawal itu sendiri.
Sebagai refleksi, kemahuan dan kerelaan untuk meneruskan puasa sunat selepas Ramadan merupakan salah satu daripada tanda penerimaan ibadah sebelumnya. Sebagaimana kata Ibnu Rajab rahimahullah:
معاودةُ الصيام ، بعدَ صيام رمضان ، علامةٌ على قَبولِ صومِ رمضان ، فإنَّ الله إذا تقبل عملَ عبدٍ ، وفّقهُ لعملٍ صالحٍ بَعدهُ .
Maksudnya: “Kebiasaan berpuasa setelah puasa Ramadan adalah tanda diterimanya puasa Ramadan, kerana sesungguhnya jika Allah menerima amalan seorang hamba, maka Dia akan memberikan taufik untuk beramal setelahnya.”
Pensyariatan puasa enam hari pada bulan Syawal seolah-olah penenang kepada kesedihan pemergian Ramadan. Berdasarkan hadis yang disebutkan tadi, ganjaran puasa enam hari pada bulan Syawal ialah setimpal dengan pahala berpuasa selama setahun.
Sesetengah daripada kita mungkin tidak sedari akan betapa lumayannya pahala yang dijanjikan, melainkan meletakkan posisi kita di suatu keadaan yang sangat-sangat memerlukan kuota pahala untuk sampai kepada syurga-Nya kelak.
Jika ditinjau kepada ayat-ayat sekitar ayat pensyariatan puasa Ramadan dan hari raya Aidilfitri, Allah Taala telah memberikan satu ‘sijil’ untuk umat Islam mendepani hari-hari selepas Ramadan. Sehubungan itu, Allah Taala telah berfirman:
وَاِذَا سَاَلَكَ عِبَادِيْ عَنِّيْ فَاِنِّيْ قَرِيْبٌ ۗ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِۙ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا لِيْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِيْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ
“Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Nabi Muhammad) tentang Aku, sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka, hendaklah mereka memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)
Lihat sahaja apa yang dijanjikan Allah pada ayat ini. Allah SWT menegaskan bahawa Dia sangat dekat dengan sesiapa sahaja yang berdoa kepada-Nya.
Ketika mengulas ayat ini, Prof Hamka telah membentangkan satu sudut pandang menarik tentang hubungan Ramadan dan doa. Menurut beliau, semasa berpuasa umat Islam telah dilatih dengan doa dan ibadah selama sebulan.
Tempoh ini sewajarnya cukup untuk menambahkan pengetahuan untuk seorang Muslim mengenal Tuhannya, lalu akan lahir rasa ikhlas dan tawakal. Ikhlas dan tawakal pula merupakan antara elemen-elemen yang mendasari takwa yang menjadi matlamat puasa itu sendiri.
Justeru, jika kita letakkan plot-plot ibadah yang telah disusun oleh Yang Maha Pencipta, sewajarnya jiwa kita akan meruntun syukur dan menterjemahkan kepada ketaatan penuh rela demi mencipta keluk ibadah yang cemerlang untuk dibawa ‘pulang’ menemui Tuhan.
Apalagi dalam situasi dunia sedang berperang dengan pandemik Covid-19, kita sangat-sangat memerlukan doa-doa yang tulus (selain berikhtiar secara fizikal) untuk dapat memenangi peperangan dengan virus ini.
Paling tidak, puasa enam hari pada bulan Syawal tahun inilah merupakan soladiriti minima kita buat saudara-saudara ‘dekat’, seakidah di bumi Palestin tercinta.
Jangan kita lepaskan peluang yang diberikan-Nya.
Dr Hamidah Mat
Rujukan : Al-Quran, Bada’ie as-Sona’ie, 2/78; Nihayatul Muhtaj, 3/208 dan Al-Mughniy, 3/176