Kedudukan petugas barisan hadapan COVID-19 di sisi Islam

Sudah pasti sebagai barisan paling hadapan, mereka juga amat mudah terdedah dengan jangkitan serta ancaman COVID-19 ini. Malah dukacita sekali kerana ada dalam kalangan mereka ini yang telah pun dijangkiti, bahkan berkemungkinan terdedah kepada ancaman maut. Adakah keberadaan mereka di barisan hadapan ini boleh dianggap sebagai ‘ribat fi sabilillah’ serta layak mendapat ganjaran ribat?

 

‘Ribat’ adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud menahan diri melazimi sesuatu dan tetap bersamanya (حبس النفس على الشيء وملازمته له). Makna umumnya bersesuaian dengan hadis sahih yang berikut:

 

 

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian saya tunjukkan pada suatu amalan yang dengan amalan tersebut Allah SWT akan menghapuskan segala dosa kesalahan serta mengangkat beberapa darjat?” Para sahabat menjawab; “Baik, wahai Rasulullah.” Baginda lalu bersabda: “Menyempurnakan wuduk sekalipun menghadapi banyak kesukaran, memperbanyak berjalan kaki untuk pergi ke masjid dan menunggu waktu solat yang berikutnya setelah selesai solat yang pertama (menahan diri di masjid), itulah yang dinamakan ribat.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Makna ribat dalam istilah penggunaan syariah secara khusus ialah bertugas di perbatasan negara umat Islam untuk menjaga serta mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman dan serangan musuh sekalipun tidak berlaku peperangan. 

 

Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan segala isinya”.

 

Imam Muslim juga meriwayatkan:

Daripada Salman RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berjaga-jaga sehari-semalam (di perbatasan) lebih baik daripada berpuasa di waktu siang dan bersolat di waktu malam selama satu bulan. Seandainya dia meninggal dunia, maka pahala amalnya yang telah dia lakukan akan terus mengalir, dia akan dikurniakan rezeki dan terpelihara daripada huru hara.”

 

Sabda Rasulullah SAW lagi:

“Setiap yang mati akan terhenti amalan kebajikannya melainkan pengawal perbatasan yang mati pada jalan Allah, maka sesungguhnya berkekalan amalan (pahala) sehingga hari kiamat dan diselamatkan mereka daripada ujian serta seksa kubur.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi).

 

Hadis yang lain daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW baginda bersabda:

“Sesiapa yang mati dalam keadaan ribat fi sabilillah, akan mengalir terus amal soleh yang pernah diamalkannya, terus diberikan rezekinya, diselamatkan daripada fitnah, dan dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam keadaan diselamatkan daripada kegawatan ketika itu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

 

Ibnu Abbas RA pula berkata:

Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT dan mata yang pada malam hari berjaga (di perbatasan) kerana membela agama-Nya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

 

Hadis-hadis tersebut menunjukkan betapa tinggi dan hebat kedudukan serta ganjaran mereka yang bersiap siaga mengawal perbatasan negara. Sungguhpun maksud ribat dalam hadis-hadis tersebut khusus bagi mereka yang berjuang di perbatasan melawan musuh, namun dalam suasana serangan virus yang sangat aktif menular di seluruh dunia yang mengancam keselamatan nyawa ribuan manusia, mereka yang terlibat di barisan hadapan mempertahankan serta membendung wabak ini juga seolah-olah boleh dianggap sebagai ribat fi sabilillah.

 

Mereka telah dan sedang berjuang, berjihad dan berpenat lelah menyelamatkan nyawa manusia dengan mempertaruhkan keselamatan dan nyawa diri sendiri. Kepakaran serta kemahiran yang dimiliki menjadi fardu kifayah ke atas mereka untuk berperanan sehingga ancaman virus ini mampu dibasmi dan dibendung. Jika ditakdirkan ada dalam kalangan mereka yang menemui ajal akibat virus ini semasa menjalankan tugas, didoakan semoga mereka juga tergolong dalam golongan syuhada’ di sisi Allah SWT.

 

Unit Hal Ehwal Syariah IKRAM

 

(Artikel ini adalah hasil maklum balas Dr Suhaib Hamudat, Dr Akram Adluni, Dr Amir Hussain dan Dr Ahed Abu Atho’)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia