Kecerdasan Buatan (AI) Bantu Tugas atau Mesin Fitnah?

Kecerdasan Buatan (AI) Bantu Tugas atau Mesin Fitnah? | IKRAM

Idea mengenai kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) muncul seiring dengan perkembangan awal sains komputer pada pertengahan abad ke-20, apabila pengkaji mula membayangkan mesin bukan sekadar sebagai alat pengiraan semata-mata seperti kalkulator, tetapi lebih daripada itu sebagai entiti yang berupaya menjalankan tugas dan memproses maklumat secara autonomi.

Tanpa disangka-sangka, teknologi  yang suatu masa dahulu hanya sebagai satu idea, hari ini mula mengambil tempat terpusat (centralized) dalam kehidupan kita hingga menjadi komponen teras dalam pelbagai aktiviti masyarakat pelbagai usia, khususnya dalam ruangan digital.

Perlu disedari, usaha penciptaan AI pada asasnya didorong oleh keperluan untuk mengurangkan beban kognitif dalam menjalankan tugas yang kompleks dan berulang melalui peniruan keupayaan mengira, menganalisis, mengelaskan dan membuat keputusan.

Dengan “jalan pintas” ini secara idealnya, manusia boleh menumpukan perhatian kepada aspek pemikiran yang lebih strategik, reflektif dan kreatif. 

Dengan kata lain, AI hanyalah mesin yang berfungsi sebagai lanjutan keupayaan akal manusia (cognitive extension) untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kelajuan melaksanakan tugas. Bukan menggantikan tugas manusia sepenuhnya.

Jika ditelusuri sejarah pembangunan teknologi kebolehcapaian tinggi (widely accessible technology) ini, AI berkembang dalam bentuk sistem berasaskan peraturan (rule-based systems) dan logik simbolik, yang bergantung sepenuhnya kepada arahan eksplisit yang ditetapkan oleh manusia.

Walaupun pendekatan ini menakjubkan dari sudut teori, namun terbukti AI terhad dalam menangani kerumitan bahasa semula jadi, tingkah laku manusia dan konteks sosial yang dinamik. 

Perkembangan seterusnya memperlihatkan peralihan model simbolik, logik formal, peraturan eksplisit kepada pendekatan statistik dan pembelajaran mesin (machine learning), yang membolehkan sistem AI mengenal pola melalui data berskala besar tanpa perlu diprogramkan secara terperinci bagi setiap situasi.

Dalam dekad kebelakangan ini, kemajuan pesat dalam deep learning, peningkatan kuasa pengkomputeran serta ketersediaan data digital yang meluas telah melonjakkan keupayaan AI ke tahap yang belum pernah dicapai.

AI bukan sahaja digunakan dalam bidang teknikal seperti pengenalan imej atau ramalan data, malah semakin terlibat jauh dalam penghasilan teks, penterjemahan bahasa, penilaian maklumat dan interaksi linguistik yang menyerupai komunikasi manusia.

Kehadiran AI generatif pada tahun 2014 menandakan satu fasa baharu – mesin tidak lagi sekadar memproses maklumat sedia ada, tetapi turut berperanan aktif dalam mencipta kandungan dan membentuk naratif. 

Perkembangan ini menjadikan AI sebahagian daripada infrastruktur maklumat moden, sekali gus mengubah cara pengetahuan dihasilkan dan difahami. Justeru, wacana berkenaan AI tidak lagi boleh terhad kepada aspek teknikal semata-mata, tetapi perlu diperluas kepada implikasinya terhadap autoriti maklumat, kepercayaan epistemik dan dinamika penyebaran ilmu dalam masyarakat kontemporari.

Lebih-lebih lagi dengan kemampuan tinggi menghasilkan teks, imej dan video yang sangat menyerupai realiti, AI generatif bukan sahaja mempermudah penciptaan kandungan kreatif, malah turut membuka ruang untuk penyebaran maklumat palsu, propaganda dan fitnah secara lebih sistematik.

Ironinya hari ini, kita melihat kandungan yang dijana oleh AI telah digunakan sesetengah pihak untuk mempengaruhi persepsi, mencipta naratif tidak benar atau menggugat kepercayaan terhadap sumber maklumat konvensional.

AI di luar landasan penciptaannya 

Apabila menyebut tentang AI sebagai medium penyebaran maklumat palsu dan fitnah, saya teringat sebuah hadis riwayat al-Bukhari (no. 1386) yang pernah saya hafaz sejak bersekolah menengah.

Disebabkan hadis itu, saya menjadi sangat berhati-hati untuk menyampaikan sesuatu cerita jika terdapat keraguan atau kemungkinan tidak tepat dalam cerita tersebut, walaupun pada zaman dahulu, penceritaan secara lisan tidak mungkin tersebar luas seperti sekarang. 

Tidak disangka, hadis itu menjadi lebih relevan lagi apabila diletakkan dalam konteks hari ini apabila media sosial dan AI generatif membolehkan teks, gambar dan video tersebar dengan cepat ke seluruh dunia, walaupun kandungannya belum tentu benar.

Fenomena ini menekankan betapa pentingnya ketelitian, tanggungjawab dan literasi maklumat dalam menyampaikan serta menilai setiap cerita atau kandungan yang diterima hari ini. 

Petikan daripada hadis itu berbunyi:

قَالا: الَّذِى رَأَيْتَهُ يُشَقُّ شِدْقُهُ، فَكَذَّابٌ يَكْذِبُ بِالْكَذْبَةِ، تُحْمَلُ عَنْهُ حَتَّى تَبْلُغَ الآفَاقَ، فَيُصْنَعُ بِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maka berkata malaikat Jibril dan Mikail: Adapun orang yang kamu lihat telah ditusuk pipinya dengan besi, dia adalah seorang pembohong yang disebarkan berita bohongnya itu ke serata dunia. Azab itu akan diperlakukan kepadanya hingga hari kiamat.

Hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ini menceritakan tentang mimpi Rasulullah SAW yang melihat beberapa peristiwa pelik, antaranya seorang lelaki yang ditusuk pipinya dengan sejenis besi yang dipanggil kallub (iaitu besi penggantung daging yang biasa digunakan di pasar daging) hingga menembusi belakang lehernya secara berulang-ulang, di pipi kiri dan kanan, sehingga hari Kiamat.

Kallub yang biasa digunakan oleh penjual daging

Setiap pelajar yang mempelajari subjek Ulum al-Qur’an di sekolah-sekolah agama pasti akan tahu bahawa mimpi seorang nabi adalah wahyu. Bermaksud apa saja yang dilihat oleh Rasulullah SAW seperti mimpi ini pastilah kejadian sebenar yang akan berlaku pada hari kiamat kelak. 

Dengan keyakinan ini dan gambaran ngeri penyeksaan terhadap orang yang menyebarkan berita palsu seperti yang diriwayatkan daripada baginda, pastilah ia akan menimbulkan rasa gerun dan takut untuk melakukan dosa tersebut.

Menghubungkan maksud hadis ini dengan konteks perbincangan, apabila seseorang pembuat konten YouTube, Facebook atau TikTok menggunakan AI untuk tujuan menyebarkan maklumat palsu, sudah tentu perbuatan itu sangat berat kesalahannya dan mengundang azab yang pedih kerana melibatkan lebih ramai manusia dengan hal yang merosakkan, keliru dan bercanggah dengan moral serta agama. 

Lebih-lebih lagi apabila maklumat palsu itu menceroboh hak pihak lain hingga merosakkan kepercayaan orang terhadap mangsa, menimbulkan cemuhan dan nista berdasarkan perkara yang tidak benar, maka perbuatan itu jauh lebih besar dosanya. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq (yang tidak pasti beritanya adalah benar atau palsu), maka periksalah terlebih dahulu, agar kamu tidak menghukum sesetengah kaum secara melulu lalu kamu akan menyesali tindakan itu kelak.”

Fitnah dan maklumat palsu tidak hanya dihukum di akhirat

Mungkin ada pihak yang mengambil mudah akan hal ini dan mengatakan: 

Takpa, nanti saya boleh minta maaf kalau salah.

Allah SWT kan Maha Pengampun, nanti boleh bertaubat.” 

Kata-kata seperti ini tidak lain merupakan suatu usaha untuk meremehkan kepentingan memastikan kebenaran maklumat yang disebarkan. 

Individu seperti ini biasanya tidak mudah terkesan dengan peringatan-peringatan dosa dan azab kerana hati mereka yang sudah hitam diselubungi dosa lampau yang sangat banyak.

Dakwaan kononnya ingin bertaubat itu sering kali hanya menjadi cover up bagi kesedaran agamanya yang sudah semakin nipis ekoran tidak pernah menempuh akibat sebenar daripada perbuatan mereka. Semoga kita semua terhindar daripada sikap yang berbahaya seperti ini, amin.

Walau bagaimanapun, jika ada yang pernah terlintas di dalam fikiran ungkapan-ungkapan seperti di atas, wajar diingat bahawa penyebaran maklumat palsu dan fitnah sebenarnya tidak terbatas kepada hukuman di akhirat.

Masih banyak akibat buruk di dunia yang menanti, antaranya dikenakan tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 385 dan 233) atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di Malaysia. Hukumannya termasuklah denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan, sudah tentu pesalah tersebut akan menanggung masalah kewangan dan sosial yang sangat berat. Denda yang dikenakan adalah jumlah yang sangat besar, di samping kos guaman tinggi untuk proses perbicaraan dan pembelaan undang-undang. 

Keadaan ini pastilah tidak akan hanya menjejaskan pesalah terbabit, bahkan yang turut terlibat ialah anggota keluarga itu yang tertekan psikologi mereka, selain menanggung aib dan stigma sosial.

Rekod jenayah boleh menjejaskan peluang pekerjaan, hubungan sosial dan reputasi jangka panjang menyebabkan tidak wajar risiko kesalahan yang serius seperti ini dianggap mudah.

Sebuah laporan akhbar kosmo.com bertarikh 14 September 2025 telah merekodkan siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap kes ugut individu ternama untuk menyebarkan video lucah palsu yang dijana menggunakan teknologi AI. 

Melalui kerjasama antara pihak PDRM dan MCMC, dijangka pihak terbabit yang menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan fitnah tersebut akan dikenakan tindakan tidak lama lagi, sebelum azab lebih berat menimpa pesalah itu di hadapan Allah SWT di hari kiamat kelak.

Dr Amer Hudhaifah Hamzah

Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia