Jauhi Fitnah: Pelihara Ekosistem Kehidupan Muslim

Penciptaan alam dan makhluk disusun dengan sistem yang sangat teratur dan teliti. Ia membuktikan kekuasaan Allah SWT mentadbir alam dengan penuh kebijaksanaan dan kasih sayang.

Semuanya bekerja bersama secara harmoni daripada makhluk sebesar zarah sehingga galaksi terbesar. Sel dalam badan manusia – ovum sebagai sel terbesar, manakala sperma pula merupakan sel terkecil – bekerjasama untuk meneruskan keturunan manusia.

Planet  Musytari diberi masa 10 jam 33 minit untuk berputar pada paksinya, manakala bumi diberi masa 23 jam 56 minit. Sistem ini tidak diberi peluang kepada manusia untuk mengubahnya.

Maka tetaplah semua berjalan mengikut aturan yang telah ditentukan. Sebagai Muslim, kita percaya bahawa Allah SWT adalah Pencipta dan Pemelihara utama alam semesta, dan segala sesuatu di dalamnya tunduk pada kehendak-Nya. Keyakinan ini tercermin dalam Surah al-Fatihah ayat 1-3:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan seluruh alam. Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.”

Jelas bahawa prinsip kejadian alam ini dan susur aturnya terangkum dalam dua sifat utama iaitu pemurah dan penyayang.

Sebagaimana Allah SWT mengatur sistem dalam tubuh badan manusia serta mengatur sistem cakerawala, Allah SWT juga telah mengatur kehidupan manusia dengan undang-undang yang bijaksana dan adil.

Syariah adalah panduan

Syariah adalah undang-undang yang mengatur tatacara kehidupan yang penuh nilai bagi umat Islam. Ia merangkumi peraturan mengenai ibadah, muamalat, hukum jenayah dan akhlak.

Syariah berfungsi sebagai panduan bagi individu dalam menjalani kehidupan dengan penuh kesedaran terhadap kehendak Allah SWT. Setiap aspek kehidupan, dari hukum alam hingga norma sosial berada di bawah pengawasan-Nya.

Seperti halnya alam semesta yang teratur dan berstruktur, begitu juga kehidupan manusia yang diatur dengan rapi oleh kebijaksanaan-Nya. Semua ini juga disusun dengan sangat sistematik dengan dinaungi sifat pemurah dan penyayang. 

Manusia diberi petunjuk melalui ajaran agama dan nilai-nilai akhlak untuk menjalani kehidupan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Namun, umat manusia diberi pilihan sama ada setuju patuh tunduk kepada sistem kehidupan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT atau sebaliknya.

Begitu juga halnya dengan matahari yang patuh dan tunduk setiap hari tanpa gagal terbit di ufuk timur dan tenggelam di ufuk barat.

Namun, masih ada manusia yang tidak tunduk dengan perintah Allah SWT. Contohnya memfitnah, berhasad dengki, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

Hakikatnya, tindakan ini telah mengganggu ekosistem kehidupan seorang manusia yang berperanan sebagai seorang khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab untuk menjaga bumi dan segala isinya serta berusaha mencapai kesejahteraan dan keharmonian bagi semua makhluk.

Ekosistem seorang Muslim

Ekosistem kehidupan sebagai seorang Muslim terangkum dalam Rukun Iman, Rukun Islam dan konsep ihsan seperti disebut dalam hadis kedua daripada kitab himpunan Hadis 40 susunan Imam Nawawi.

Apabila seorang Muslim terkeluar daripada ekosistem tersebut, maka akan timbullah pelbagai kerosakan, kemusnahan, kezaliman dan penganiayaan, contohnya melalui penyebaran fitnah.

Penyebaran fitnah pada hari ini sangat mudah berlaku kesan daripada perkembangan teknologi yang semakin rancak. Fitnah berlaku dalam dua keadaan iaitu:

i) Apabila seseorang mengada-adakan berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

ii) Ketika seseorang menerima berita mengenai seseorang lain tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya, sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

Cara penyebaran fitnah tidak hanya terhad melalui media sosial, malah masih tetap berkembang  melalui cara tradisional seperti laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang tidak beretika, perbualan sesama rakan dan sebagainya. Kesemua medium ini mudah membentuk persepsi tanpa dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa.

Selain itu, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penyebaran fitnah, antaranya:

  1. Ketidakfahaman: Fitnah sering timbul akibat ketidakfahaman atau kurangnya pengetahuan tentang suatu peristiwa. Orang yang tidak memahami sepenuhnya sesuatu situasi cenderung untuk menyebarkan informasi yang tidak benar.
  2. Ketidakpuasan: Orang yang tidak puas dengan sesuatu keadaan atau pihak tertentu mungkin cenderung untuk menyebarkan fitnah dengan tujuan merosakkan reputasi atau mengkritik.
  3. Kebencian: Perasaan benci terhadap seseorang atau sesuatu pihak dapat menggalakkan penyebaran fitnah. Orang yang bermusuhan cenderung mencari peluang untuk menjatuhkan lawan mereka.
  4. Ketidakstabilan emosi: Orang yang tidak dapat mengawal emosi atau tidak stabil emosinya lebih mudah terpengaruh oleh fitnah dan cenderung menyebarkannya tanpa memeriksa kebenaran.
  5. Media sosial: Kemajuan teknologi dan media sosial memudahkan penyebaran informasi, sekali gus mempercepat penyebaran fitnah dan berita palsu.
  6. Ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa: Ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa atau institusi tertentu dapat menggalakkan penyebaran fitnah. Orang cenderung mempercayai informasi yang sesuai dengan pandangan mereka tanpa memeriksa kebenarannya.

Sesungguhnya syaitan tidak pernah lupa menjalankan peranannya dalam mewujudkan konflik dan perbalahan sesama manusia: 

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu.” [Surah al-Maidah: 91]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi SAW telah bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”. [Riwayat Muslim (4482)]

Jelas bahawa penyebaran fitnah adalah salah satu contoh gangguan dalam ekosistem kehidupan manusia. Fitnah akan mengganggu keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Masyarakat perlu dididik untuk kembali kepada ekosistem yang telah ditetapkan bagi mengelakkan pelanggaran-pelanggaran yang lebih dahsyat sehingga boleh meruntuhkan ummah.

Disiplin terhadap ilmu

Antara langkah bagi mengelakkan penyebaran  fitnah ialah perlu melakukan tabayyun dalam memastikan kebenaran setiap isu yang ingin disampaikan. Disiplin dalam menyampaikan ilmu perlu memastikan ia diperoleh daripada sumber yang berautoriti.

Pastinya perkara ini hanya boleh dilakukan dengan akal yang sihat tanpa dipengaruhi sentimen dan emosi yang tidak stabil. Dalam banyak keadaan, fitnah datang dengan cara yang sangat halus dan sukar untuk dikenal pasti sama ada ia fitnah atau sebaliknya.

Benarlah sabda Rasulullah SAW:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ؛ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا

Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Hal ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia. [Riwayat Muslim (169), al-Tirmizi (2121), Ahmad (11056) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (2881)]

Tuntasnya, sangat penting bagi kita sebagai ahli masyarakat untuk kembali kepada ekosistem kehidupan yang telah Allah SWT tetapkan supaya ia berjalan dengan harmoni dalam orbitnya.

Sistem dan peraturan yang telah Allah SWT tetapkan telah dipenuhi dengan rahmat dan kasih sayang. Hanya tinggal kita tunduk dan patuh sahaja kerana Dia telah menyusunnya dengan sangat bijaksana untuk kita dengan penuh kasih sayang dan cinta.

Hasliza Talib
Pensyarah Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia