SERI KEMBANGAN – Jumlah kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori tidak sihat meningkat kepada 16, merangkumi sembilan negeri setakat jam 9 pagi Isnin.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Cheras di ibu kota merekodkan IPU tertinggi dengan bacaan 164, diikuti Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan yang masing-masing mencatat bacaan pada tahap 163 dan 158.
Putrajaya, mencatatkan bacaan IPU kategori tidak sihat pada tahap 156; Petaling Jaya, Shah Alam dan Banting di Selangor (157); Port Dickson di Negeri Sembilan (156); selain tiga kawasan merekodkan bacaan pada tahap 153 iaitu Bukit Rambai di Melaka; Batu Muda, Kuala Lumpur dan Johan Setia di Selangor.
Turut mencatat bacaan IPU melebihi 100 ialah Klang, Selangor (152); Alor Gajah, Melaka (138); Taiping, Perak (137); Seberang Jaya, Pulau Pinang (107) dan Tangkak, Johor (104).
Sementara itu, 45 stesen APIMS di seluruh negara mencatat bacaan IPU sederhana, manakala tujuh stesen lagi merekodkan bacaan baik.
Terdahulu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di beberapa bahagian negara semalam adalah disebabkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, kebakaran hutan menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan pantai barat Semenanjung serta bahagian barat Sarawak.
“(Berdasarkan) imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, 52 titik panas dikesan di Sumatera, 264 dikesan di Kalimantan dan tiada titik panas dikesan di dalam negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, keadaan cuaca kering dijangka berterusan di bahagian tengah dan selatan Sumatera, serta selatan Kalimantan, dengan gugusan titik panas melepaskan asap jerebu tebal yang ditiup angin ke arah barat laut.
“Bagaimanapun, hujan di beberapa bahagian barat Kalimantan mungkin membantu mengurangkan keadaan titik panas dan berjerebu,” tambahnya.