“Ini berdasarkan kes positif harian dalam negara yang merekodkan jumlah dua angka sepanjang minggu lepas.”
Namun tegasnya, capaian kepada unjuran ini bergantung kepatuhan rakyat kepada norma-norma baharu yang diamalkan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuatkuasakan.
“Kalau tidak ada keperluan di luar, duduk di rumah, itulah mesej kita. Sekarang ini duduk di rumah paling selamat, tidak dapat jangkitan dari seorang ke seorang,” ujarnya dalam sidang media hariannya mengenai COVID-19 di sini pada Rabu.
Menurutnya, kes kebolehjangkitan sekarang ini semakin berkurang.
“Kita harapkan kes ini dari 1,700 kini akan berkurang kepada 1,000 dan kemudiannya 500.”
Dalam perkembangan berkaitan, Data-Driven Innovation Laboratory, Singapura University of Technology & Design menjangkakan jangkitan pandemik COVID-19 di Malaysia dijangka akan tamat sepenuhnya pada awal Julai depan.
Berdasarkan data yang dibuat pada 26 April lalu, sebanyak 97 peratus jangkitan itu dapat dikawal pada 6 Mei manakala pada 20 Mei pula, wabak itu dikatakan akan dihapuskan sebanyak 99 peratus di negara ini.
Manakala data yang sama turut menunjukkan rata-rata negara di Eropah akan mengakhiri wabak tersebut antara Julai sehingga Oktober depan.
Sehingga kini, wabak yang didakwa berpunca daripada sebuah pasar basah di Wuhan pertama kali muncul pada bulan Disember tahun lalu telah menjangkiti lebih 3 juta orang di seluruh dunia.
Ketika ini, 185 negara telah dikesan menjangkiti wabak tersebut dengan jumlah kematian keseluruhan kini melebihi 200,000 orang.