Jangan Pilih Pemimpin Lemah Lagi Merosakkan

Seseorang pemimpin dikenali dalam masyarakat kerana pelbagai faktor. Ada yang menjadi terkenal kerana kemampuan kepimpinannya yang kalis mendepani cabaran hingga menjadi rujukan pemimpin lain dan disanjung.

Ada juga pemimpin yang dikenali bukan disebabkan khidmat baktinya, tetapi kerana kesalahan moralnya. Rakyat marah dan menderita kerana pentadbirannya yang lemah dan kepimpinannya yang mengecewakan.

Justeru itu, rakyat perlu penuh persediaan dan teguh keyakinan ketika sampai waktu untuk memangkah undi dan sudah tahu dan yakin siapa yang layak menggalas tugas kepimpinan.

Undian itu kelak akan menentukan mandat kepada wakil rakyat terpilih yang akan duduk bersidang di parlimen membincangkan hal kepentingan rakyat dan tadbir urus negara. 

Teliti Siapa Calon

Barisan kepimpinan ini yang akan terlibat dengan proses penggubalan undang-undang, menyemak setiap dasar, belanjawan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan bagi memastikan perancangan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Oleh itu, hanya calon yang kompeten, berkemampuan disertai dengan keperibadian jujur dan amanah yang selayaknya diberi tanggungjawab berat ini. 

Tarikh mengundi telah diketahui umum pada 19 November 2022, manakala penamaan calon pada 5 November juga seharusnya dianggap sama penting.

Pada hari itu, secara rasminya akan diketahui siapakah calon wakil rakyat yang diletakkan pada kawasan yang telah ditentukan. 

Buatlah pemeriksaan latar belakang calon berdasarkan penjejakan rekodnya ketika perkhidmatannya sebagai wakil rakyat sebelum ini. Adakah beliau berdisiplin hadir ke persidangan parlimen? 

Bagaimanakah kredibiliti beliau ketika menjalankan tanggungjawabnya? Adakah kawasan yang diwakilinya terbela dan membangun? Sekiranya sebaliknya, rakyat berhak bertindak menukar ganti calon baru.

Sekiranya beliau tidak pernah menjadi wakil rakyat, boleh dilihat latar belakang calon dari segi khidmat baktinya pada masyarakat atau pencapaian dalam kerjayanya. Adakah beliau mampu menjadi wakil rakyat dengan rekod kepimpinannya sebelum ini?

FPTP: Calon Atau Parti Diutamakan?

Sejak tahun 1957, pilihan raya umum (PRU) di Malaysia menggunakan sistem First-Past-The-Post (FPTP), iaitu parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri layak menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri.

Kemenangan berdasarkan majoriti kerusi yang dimenangi calon parti dan bukan undian popular.

Berdasarkan dinamik politik sekarang, ramai penganalisis politik membayangkan tidak akan ada kemenangan dominan daripada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan pada PRU15.

Besar kemungkinan, parti-parti ini akan membentuk gabungan bagi mendapat kepercayaan untuk menubuhkan Kerajaan Pusat yang terdiri daripada campuran pelbagai parti.

Maka pada akhirnya, negara ini memerlukan wakil rakyat yang berkredibiliti tidak kira dari parti mana untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran pada rakyat dan negara.

Sekiranya calon-calon berwibawa ini menang, mereka akan membentuk kerajaan yang kuat.

Sekiranya mereka kalah, mereka akan menjadi pembangkang terbaik sebagai alat semak imbang yang kuat, lantas mengimbangi kuasa pihak kerajaan. Mereka menjadi pejuang yang membawa suara rakyat dan masyarakat setempat. 

Jangan Salah Pilih Pemimpin

Krisis kepimpinan berlaku kerapa wujudnya pemimpin yang diangkat cacat keperibadian dan integritinya. Pihak yang memilihnya hanya melihat kepada kemampuan seseorang dalam menggalas tugas tetapi meminggirkan susuk keperibadian jujur dan amanah.

Walhal kedua-dua sifat inilah teras yang menjadikan seseorang integriti sebagai prinsipnya dan meletakkan beliau sebagai watak yang dipercayai. 

Sejauh mana hebatnya kepakaran atau kecekapan seorang individu dalam tugasannya, tetapi sekiranya kontang dari segi nilai jujur dan amanah, beliau akan berpotensi menyalahgunakan kuasa dan menyelewengkan harta rakyat, bahkan selamba saja menuturkan penipuan atau melakukan pengkhianatan tanpa rasa bersalah.

Ahli perniagaan Amerika Syarikat yang tersohor, Kenneth Lee Lay merupakan pengarah urusan dan pengerusi syarikat gergasi Enron yang pernah tersenarai dalam New York Stock Exchange.

Lay menerajui Enron ketika syarikat itu di ambang keruntuhan dan kemudian membangunkannya sehingga menjadi syarikat ketujuh terbesar di negara itu.

Beliau terserlah sebagai tokoh perniagaan yang berkarisma. Namun pada tahun 2001, Lay telah disabitkan bersalah atas pertuduhan penipuan dan konspirasi dalam skandal kewangan terbesar syarikatnya sehingga jatuh muflis. 

Ia menjadi iktibar kepada masyarakat tentang pentingnya melantik pemimpin yang menjadikan jujur dan amanah sebagai maruah diri. 

 Dalam pada itu, tumpuan pada nilai susuk yang jujur dan amanah tetapi lemah dalam pengurusan dan tadbir urus boleh menyebabkan negara porak-peranda. 

Sejarah pernah mencatatkan kisah sahabat nabi, Abu Zar r.a. yang terkenal baik dan soleh tetapi Nabi SAW secara berhemah menyampaikan bahawa beliau tidak cukup berkemampuan untuk memegang tampuk kepimpinan. Pesan baginda kepada Abu Zar: 

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (HR Muslim, No. 1825)

Keluarlah Mengundi

Rakyat perlu keluar mengundi demi kebaikan diri, generasi akan datang dan kemakmuran negara. Jangan sesekali merajuk untuk mengundi.

Boleh untuk berasa kecewa dengan ahli politik dan parti yang memimpin, namun jangan sesekali berputus asa berjuang untuk tanah air yang dicintai. 

Pastikan calon yang terpilih tidak sekadar menjadi wakil parti yang mempergunakan pengaruhnya untuk mendapatkan peruntukan kerajaan atau mencari penaja untuk membiayai projek kepentingan mereka.

Sebaliknya negara ini memerlukan wakil rakyat yang memperjuangkan agenda rakyat yang sebenar, menentang rasuah dan korupsi, menyemai keharmonian serta memakmurkan negara.

Sejauh mana perlu kita berusaha dalam perjuangan ini? Sejauh mungkin. 

Basmin Maarof

Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia