Jaga Lidah: Benarkah ‘Mulut Jahat Tapi Hati Baik’?

Ajaran agama Islam membawa intipati makna kesejahteraan dan kedamaian. Ini bukanlah bermaksud Islam mengajar kita untuk sentiasa berdamai sehingga dipijak dan dihina maruah dan harga diri. 

Pun begitu, kesejahteraan dan kedamaian yang juga datang daripada perkataan Islam, menatijahkan suatu pandangan jelas bahawa Islam adalah suatu cara hidup yang menenangkan, mendamaikan, malah jauh daripada perkataan buruk dan jahat. 

Oleh sebab demikian, Islam sangat menitikberatkan soal perhubungan kita sesama insan agar tindakan kita tidak ada yang menyakiti mereka. 

Muslim yang utama

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari [11] dan Muslim [42], daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a. beliau berkata:

“Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama?’ Baginda menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya.”

Berdasarkan hadis ini, seseorang Muslim yang baik itu adalah dalam kalangan mereka yang menjaga dan memelihara pertuturannya dan perbuatannya daripada menyakiti orang lain.

Ini bermaksud, menjadi keutamaan dan kewajipan orang Islam untuk sentiasa berwaspada dengan pertuturan yang dihamburkan.

Umum mengetahui, lidah adalah anggota penting buat umat manusia. Bukan sahaja untuk bercakap dan bertutur, bahkan lidah juga berperanan untuk merasai keenakan dan kelazatan rezeki makanan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Anugerah lidah oleh Allah Azzawajalla kepada umat manusia merupakan satu ciptaan Allah yang unik. Keunikannya terletak kepada sifatnya yang tidak bertulang, tetapi apabila bertutur, kadang lebih tajam berbanding pisau. 

Dalam kehidupan ini, manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kekhilafan. Keadaan ini juga membuktikan bahawa betapa lemahnya insan itu sendiri. 

Namun begitu, ia bukanlah hujah untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT seperti memfitnah, mencaci, memaki hamun dan seumpamanya.

Apabila lidah sudah terbiasa mengungkapkan perkara yang tidak baik, ini bukan lagi soal kesalahan tetapi ia adalah cerminan pada hati diri manusia itu sendiri.

Cerminan hati

Dalam soal ini, baginda Nabi SAW tekan menekankan akan kepentingan menjaga hati. 

Sekiranya baik dan elok hatinya, maka akan keluarlah perkataan ungkapan yang baik dan elok pada pertuturannya. Sebaliknya, jika buruk dan kotor hatinya, maka akan keluarlah ungkapan yang buruk dan kotor pada pertuturannya. 

Demikian apa yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari [52] dan Muslim [1599], daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”

Melalui pemahaman hadis ini, maka tidak timbullah soal “mulut jahat tapi hati baik,” kerana apa yang baik di hati, maka akan baiklah juga pada seluruh jasadnya. Ungkapan yang terbit daripada mulut adalah cerminan apa yang ada pada hati seseorang. 

Oleh itu, bagi sebahagian mereka yang beranggapan mencarut, bercakap kotor dan seumpamanya adalah tabiat kebiasaan sesetengah manusia atau adat kebiasaan seseorang, maka wajiblah mereka bermuhasabah dan memeriksa semula kesihatan hati mereka kerana dibimbangi terdapat kerosakan pada hati.

Sikap dan pendirian orang yang beriman itu pada asasnya adalah dengan selalu berwaspada dengan lidah. Ini kerana, lidah adalah satu ciptaan tidak bertulang tetapi boleh menikam lebih pedih dari tusukan pisau. 

Dalam pada Islam mengajar umatnya untuk berwaspada dengan lidah, Allah SWT juga sangat benci kepada hamba-Nya yang bercakap dan berperangai kotor dan tidak senonoh. Ini berdasarkan pada sebuah hadis riwayat Ahmad [24735, Sahih], Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai perbuatan yang keji atau Allah membenci orang yang bercakap kotor dan orang yang berperangai kotor.”

Betapa hina mereka yang suka bercakap dan berperangai kotor sehingga dibenci oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, penting dan mustahaknya kita untuk memelihara pertuturan agar tidak dididik dengan kebiasaan bercakap kotor. 

Berjuang Islam tapi berkata kotor

Lebih malang dan parah lagi, apabila yang bercakap kotor itu pula adalah mereka yang berjuang atas nama agama Islam. Inilah malapetaka yang sungguh besar bagi umat ini.

Pada zahirnya berpakaian soleh tetapi pada lidahnya penuh kata-kata dusta dan nista, cercaan, maki hamun dan sebagainya. Semuanya dihalalkan atas nama perjuangan, walhal agama tidak mengajar sedemikian rupa. 

Orang Islam yang berprinsip seharusnya menjauhi diri daripada menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah, cercaan dan seumpamanya. Ini kerana, seseorang yang hidup atas prinsip Islam yang membawa manifestasi sejahtera itu, pastinya ungkapannya membawa perdamaian dan keamanan.

Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari [6475], mengingatkan kita untuk bercakap yang baik, jika tidak, adalah lebih baik berdiam diri sepertimana yang disabda oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Dalam hadis lain riwayat Tirmidzi [1977, Hasan], daripada Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.”

Demikianlah peringatan penting oleh baginda Nabi SAW berkenaan lidah. Sudah jelas kepada kita bahawa apa yang keluar melalui lidah, maka itulah cerminan pada hatinya.

Periksa hati

Sekiranya lidah ini sudah terbiasa mencarut, memaki hamun orang, gemar memfitnah, memperlekehkan, mengherdik dan seumpamanya lagi, maka periksalah hati ini dan perbaikilah dengan kembali kepada jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Sesungguhnya tidak ada yang akan kembali kepada Allah dengan tenang dan selamat melainkan dengan hati yang suci dan bersih. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Asy-Syu’ara’ ayat 88 – 89 yang bermaksud:

“(Iaitu) pada hari harta dan anak pinak tidak berguna lagi, kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat dan sejahtera.”

Dengan mengambil sikap untuk insaf dan bermuhasabah, marilah kita sentiasa mengingatkan diri kita bahawa sesuatu yang hak tidak akan bercampur dengan yang batil.

Sesuatu yang baik tidak akan berkedudukan sama dengan yang buruk. Kebenaran tetap kebenaran. Tidak ada yang boleh menenggelamkannya dengan kebatilan. 

Oleh itu, tidak ada istilah mulut jahat tapi hati baik, kerana tidak mungkin yang benar akan bercampur dengan yang batil dalam satu-satu masa.

Waspadalah dengan apa yang kita ungkapkan. Malulah kita yang mendakwa berjuang atas nama Islam namun mulut tidak mencerminkan wajah Islam yang sebenar.

Mudah-mudahan Allah berikan kita kekuatan untuk menghindari daripada bercakap perkara yang kotor, jijik lagi tidak bermaruah ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Muhammad Faidhi Azis

Pendakwah Bebas

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia