Jaga Anak Istimewa, Rozalli Terima Anugerah Bapa Teladan

Jaga Anak Istimewa, Rozalli Terima Anugerah Bapa Teladan | IKRAM

SERI KEMBANGAN – Hj Rozalli Hashim, Yang Dipertua IKRAM Kawasan Jasin, Melaka telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Bapa Teladan 2022 oleh Pertubuhan Bapa Hebat Malaysia (Better Dads Malaysia).

Anugerah tersebut diumumkan semasa forum sempena Hari Bapa 2022 bertajuk ‘Bapa Hero Keluarga: Membina Ketahanan Bapa’ pada Sabtu secara dalam talian. 

Anugerah Bapa Teladan 2022 disampaikan oleh Presiden Better Dads Malaysia, Mr Joshua Hong, turut disaksikan oleh pengasasnya, Mr Jason Leong.

Rozalli menerima anugerah daripada Joshua Hong

Rozalli, 59, melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas anugerah tersebut, namun menganggap masih ramai bapa hebat yang layak menerimanya dan boleh dijadikan teladan.

“Banyak bapa di luar sana yang merupakan bapa-bapa yang cemerlang dari pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai latar belakang,” katanya dalam satu temu ramah.

Namun begitu, beliau menghargai pihak Better Dads Malaysia yang memberikan anugerah tersebut, juga kepada Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Ketika ditanya tentang pengalaman sebagai bapa, beliau dengan merendah diri menjawab bahawa beliau bukanlah seorang bapa yang teristimewa di Malaysia.

“Saya melalui semua pahit suka duka sebagai seorang bapa sepertimana bapa-bapa di Malaysia juga,” jelasnya. 

Belajar Jaga Anak Istimewa

Menurut Rozalli, beliau ditakdirkan berkahwin dan dikurniakan anak pertama pada usia muda semasa berusia 24 tahun, dan pada tahun yang berikutnya mereka dianugerahkan dengan anak perempuan yang sangat istimewa (mengidap cerebral palsy) yang kini berusia 34 tahun. 

Rozalli bersama ahli-ahli keluarga dalam satu pertemuan bersama

“Sebagai seorang bapa muda bersama dengan isteri saya, kami terpaksa berusaha dengan masa yang singkat, kami mesti belajar bagaimana nak mendepani kehidupan anak yang sakit, anak yang istimewa.”

Tambahnya pada waktu itu, mengikut pengalaman keluarganya, memang tidak banyak sokongan yang boleh didapati daripada masyarakat untuk membantu mereka dalam menguruskan anak istimewa tersebut.

“Anak saya adalah anak yang amat cacat mengikut kategori yang ditetapkan pada waktu itu, Jadi anak saya tidak boleh buat apa-apa, sehinggakan makan minum pun berharap kepada bantuan.”

Katanya lagi, anaknya telah melalui pelbagai penyakit dan kesakitan, berada di hospital dalam masa yang lama.

“Sebagai orang yang bukan (belajar) dalam bidang sains, saya dan juga isteri terpaksa belajar banyak benda – seperti nak jadi doktor pula – cari cara macam mana nak jaga beliau, sehinggalah beliau dapat hidup dengan sejahtera hari ini,” kongsi beliau. 

Anak-anak Turut Membantu

Jelasnya, beliau memastikan semua anaknya faham keadaan anak istimewa itu.

“Dari kecil saya dan isteri memang kami asuh anak-anak ini supaya mereka dapat memainkan peranan untuk sama-sama menjaga kakak mereka, adik mereka dan pada satu masa saya kata, abah dan mama akan tua dan kita memerlukan anak-anak (untuk menjaganya),” sambungnya.

Uniknya keluarga ini, mereka sentiasa mengadakan mesyuarat sejak anak-anak mereka kecil hinggalah dewasa, berkongsi apa saja masalah dalam keluarga.

“Tidak ada benda yang kami tidak tahu apa yang berlaku dalam kalangan ahli-ahli keluarga.”

Apabila anak-anaknya berkahwin, mereka turut berkongsi masalah dengan menantunya.

“Alhamdulillah pada hari ini anak menantu sudah banyak dapat membantu, jadi tugas kami bawa anak istimewa ini ke hospital sudah pun diambil alih oleh menantu dan anak. Jadi isu-isu tentang kesihatan dia dan sebagainya, kami kongsi dalam keluarga.”

Tambah Rozalli lagi, anak-anaknya bekerja tidak berjauhan dengannya, jadi mereka sentiasa meluangkan masa pada waktu tengah hari untuk menyantuni kakak mereka untuk dimandikan, dibersihkan dan diberi makanan. 

“Setiap kali makan pada waktu yang diperlukan, sentiasa ada saja adik-beradiknya yang akan bersamanya.”

“Itulah yang dilakukan dalam keluarga ini dan pada masa yang sama, kami pastikan ada juga ruang masa keluarga ini yang digunakan untuk kebajikan masyarakat di luar sana.”

Pesanan Untuk Bapa

Beliau menekankan kepada semua bapa di Malaysia bahawa mereka tidak berseorangan dalam usaha untuk menjadi seorang bapa yang berjaya.

“Dengan kewujudan pertubuhan seperti Better Dads, Pertubuhan IKRAM Malaysia di bawah Institusi Keluarga Utuh, kita membantu dan mencari jalan dan sentiasa berbincang bersama-sama, apakah pendekatan yang terbaik yang dapat kita kongsikan kepada golongan lelaki, golongan bapa.”

Katanya, bapa ini adalah lelaki dan dalam al-Quran ada disebut, lelaki itu adalah pelindung kepada wanita dan perlu menjaga ahli keluarga, isteri, ibu, anak-anaknya selamat di dunia dan akhirat.

“Ada ayat al-Quran yang mengatakan bahawa peliharalah dan selamatkanlah keluarga kamu daripada api neraka.”

Jelasnya, jika kita ingin berjaya sebagai bapa, kita perlu menjadi seorang ‘rijal’ atau gentleman, iaitu orang yang boleh melindungi diri, isteri, keluarga, ibu bapa dan semua orang yang berada di rumahnya.  

“Kalau kita tidak mampu menjalankan kerja itu, maka kita bimbang kebapaan kita atau gentlemanship itu akan terhakis.”

Menurutnya, Malaysia memerlukan bapa-bapa yang cemerlang, yang boleh berkorban dan membimbing anak-anaknya dan keluarganya untuk terus berjaya kerana cabaran yang dihadapi oleh bapa-bapa hari ini tidak seperti bapa-bapa masa dahulu.

“Kalau dulu bapa-bapa kita, bila anak-anak sudah bertambah dewasa, berkahwin, mereka lepaskan keluarga itu dan mereka boleh berehat.”

“Tapi bapa-bapa hari ini walaupun anak sudah dewasa dan sudah berkahwin, mempunyai keluarga, kita masih lagi ada peranan untuk menentukan bahawa keluarga anak-anak kita ini akan terus berjaya.”

Ini kerana ujarnya, cabaran yang dihadapi hari ini apabila negara sudah terbuka luas dengan masalah globalisasi dan sebagainya, maka bapa-bapa ini perlu dibantu, diberi latihan dan perlu sentiasa dibimbing.

“(Ini dilakukan) agar mereka dapat menjadi seorang bapa yang berjaya untuk anak-anak mereka, dan kemudian anak-anak mereka pula kepada generasi yang akan datang.”

Seorang lagi penerima Anugerah Bapa Teladan 2022 oleh Better Dads Malaysia ialah Yasir Dawat @ Robert, 76, seorang petani dari Sabah yang mendidik empat orang anaknya hingga berjaya dengan pencapaian terbesarnya ialah menjauhkan anak-anaknya daripada meminum arak.

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia