Isu Pendidikan Pascapandemik Yang Lebih Mencabar

Isu Pendidikan Pascapandemik Yang Lebih Mencabar | IKRAM

Tular di media sosial baru-baru ini isu berkaitan isu Cikgu Fadli Salleh diberikan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyebabkan sama ada beliau hilang profesion sebagai seorang guru atau diturunkan pangkat. 

Ini gara-gara tindakan beliau yang lantang mengkritik isu bebanan murid yang terpaksa membawa beg berat ke sekolah dan isu silibus Matematik yang sukar. 

Sehubungan dengan tindakan oleh KPM itu, live beliau di Facebook mendapat lebih 500,000 tontonan. Ini sesuatu yang di luar jangkaan dan sewajarnya menjadi signal kepada kerajaan agar terus cakna dan peka dengan suara hati guru, ibu bapa dan pelajar. 

Apa yang diperjuangkan oleh Cikgu Fadli ini bukanlah isu baharu. Ia sudah menjadi bualan dan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa sejak sekian lama. 

Pasca-Covid-19 Lebih Mencabar

Bukan dua isu ini sahaja yang sepatutnya menjadi perhatian, malah pelbagai isu lain lagi seharusnya memerlukan inovasi serta kajian berterusan oleh KPM.

Ini penting agar pendidikan negara menjadi suatu usaha bersepadu ke arah pembinaan generasi yang manusiawi dan potensi dalam diri individu seperti yang ditulis oleh mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam buku beliau yang bertajuk Generasi Yang Hilang.  

Isu pendidikan hari ini menjadi lebih mencabar pascapandemik . Kesannya bukan sahaja kepada negara ini, malah ‘tsunaminya’ terasa ke seluruh dunia.

Walaupun hari ini kita lihat hampir kesemua sekolah telah beroperasi seperti biasa, namun intervensi yang perlu dilakukan kepada sistem pendidikan hari ini lebih banyak dan lebih berat lagi. 

Kesan ini tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja oleh KPM khususnya. Jangan pula isu pendidikan ini dijadikan sekadar gula-gula pemanis mulut rakyat menjelang PRU-15.

Tiba masanya KPM diterajui oleh tokoh yang passionate dan berkemahiran untuk merubah bidang pendidikan itu sendiri. Usah lagi pertaruhkan isu pendidikan ini di gelanggang politik yang mana akan memberi kesan kepada generasi hari ini.

Pada 22 Oktober lalu, Sinar Harian telah melaporkan bahawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan akan mengusulkan cadangan daripada seorang guru mengenai Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk dimasukkan ke dalam agenda pendidikan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas ini cumalah janji yang ditabur oleh orang politik untuk meraih undi semata. Isu pendidikan negara ini perlukan lebih sekadar janji. Kajian, intervensi dan inovasi yang berterusan diperlukan untuk memperkasakan tahap pendidikan negara. 

Kerjasama dengan pelbagai pemegang taruh diperlukan untuk menaik taraf bidang pendidikan kita. Tidak perlu menjadi jaguh dan mendabik dada  siapa yang lebih hebat.

Apa yang lebih penting adalah ketamadunan bangsa dan generasi pewaris dapat dilahirkan sejajar dengan keperluan dunia akan datang.

Pendidikan Tanpa Peperiksaan

Telah lama juga kita terperangkap dalam dunia peperiksaan, sehinggakan apabila peperiksaan bertaraf kebangsaan seperti UPSR dan PT3 dihapuskan, pelajar, ibu bapa dan guru seolah-olah hilang arah tuju.

Mereka mencari-cari ke mana mahu dihalakan motivasi pelajar untuk terus berminat dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran. 

Sebelumnya bilangan A dijadikan mantra untuk anak-anak fokus dalam pelajaran. Tidak cukup sesi pembelajaran di sekolah, anak-anak dihantar pula ke kelas-kelas tambahan berbayar bagi memastikan anak-anak ini mendapat keputusan yang cemerlang.

Bilangan A terus dikejar atas pelbagai alasan. Namun, apabila A bukan lagi sandaran kejayaan, ramai yang terpinga-pinga. Guru-guru dan ibu bapa mula mengeluh kerana anak tidak lagi bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Di mana silapnya?

Faktor terbesar ia berlaku adalah kerana pemansuhan peperiksaan dilakukan secara drastik tanpa perancangan dan persediaan yang tersusun. Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga menambah bebanan kepada para guru.

Langkah Sebelum Mansuh Peperiksaan 

Sewajarnya sebarang perubahan yang mahu diterapkan memerlukan persediaan yang rapi.  Dr. Maszlee dalam bukunya, Generasi Yang Hilang mencadangkan agar beberapa langkah dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pemansuhan peperiksaan ini dilaksanakan oleh KPM.

Antara yang dicadangkan oleh beliau adalah:

1. Guru-guru diberikan latihan yang cukup agar mereka mampu untuk melaksanakan pentaksiran bersepadu dan menyeluruh melalui program Latihan dalam Perkhidmatan (LADAP) secara berterusan.

2. Sistem data berasaskan telefon bimbit yang mesra pengguna dibangunkan bagi memudahkan para guru. Malah usaha ini telah diamanahkan kepada Jawatankuasa Data Raya (Big Data) KPM pada 2019.

3. Jawatankuasa Data Raya KPM diwujudkan bagi membina sistem pangkalan data akumulatif murid tahun satu sehingga mereka tamat sekolah rendah untuk penilaian pelbagai aspek.

4. Sistem sokongan kepada kurikulum diwujudkan dalam bidang insaniah (soft skill).

5. Semangat dan jati diri para guru dibangunkan semula dengan mengurangkan beban kerja perkeranian supaya mereka dapat memberikan tumpuan penuh kepada tugas hakiki iaitu mengajar dan mendidik demi kemenjadian murid.

6. Mendapatkan pandangan dan penglibatan dari pelbagai pemegang taruh agar pelaksanaan sistem sokongan kurikulum berasaskan pendekatan dari pihak bawah ke pihak atas (bottom up).

7. Mengambil pandangan Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) yang mengutarakan Model Pendidikan Baharu (New Education Model) bertaraf dunia bagi menggantikan sistem pendidikan rendah yang sedia ada. 

Banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilaksanakan bagi memartabatkan semula institusi pendidikan ini. Sesungguhnya usaha ini memerlukan usaha sama pelbagai pihak agar setiap kepakaran dapat digembleng bersama bagi menghasilkan keputusan yang terbaik dan holistik. 

Roselinee Mohammad Radzi
Setiausaha Wanita IKRAM Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia