Cikgu Fadli: Kita Perlukan Lebih Ramai Sepertinya

Cikgu Fadli: Kita Perlukan Lebih Ramai Sepertinya | IKRAM

Benarkah kebenaran sering terpencil sepanjang masa dan samar-samar dalam lingkungan manifestasi budaya dan realiti? Tentunya tidak sama sekali.

Dunia telah membuktikan, bahawa sentiasa ada orang yang baik dan memperjuangkan kebenaran demi menyelamatkan generasi yang ada dan seterusnya, walaupun dirinya terpaksa berkorban dalam banyak perkara.

Ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun tidak susah jika ia dilakukan dengan konsisten dan berprinsip. Sebagaimana hadis riwayat Imam Ibnu Hibban (361) dalam sahihnya, ada menyebutkan, “Berkatalah benar, sekalipun ia pahit.”

Dan pada hadis yang lain, daripada Abu Sa’id al-Khudri, Nabi SAW bersabda, “Jihad yang paling utama ialah mengatakan kebenaran (berkata yang baik) di hadapan penguasa yang zalim.” (HR Tirmidzi, No. 2174, Hadis hasan)

Dengan mengatakan kebenaran itu, banyak manfaat dan kebaikan akan didapati. Perlu diingat juga, jika seseorang itu menyampaikan kebenaran juga, akan mendapat risiko yang balasannya bukan sedikit, tetapi terkadang terpaksa mengorbankan jiwa dan raga.

Perjalanan panjang untuk mengaplikasikan kebenaran tentu akan menjadi motivasi dan semangat bagi para  pengikut dan perjuangannya.

Jadilah Penasihat Kepada Kebenaran

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, pemerintahan Islam digantikan dengan kepimpinan Khulafa’ ar-Rasyidin yang diawali dengan Saidina Abu Bakar r.a. Maka usai dibaiah, beliau pun segera menyampaikan pidatonya:

“Wahai sekalian manusia, hari ini aku telah diangkat menjadi pemimpin kamu bukanlah kerana aku yang terbaik di antara kamu. Untuk itu jika aku berbuat baik, bantulah aku, dan jika aku berbuat salah, luruskanlah aku.”

“Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah pengkhianatan. Orang lemah di antara kamu aku pandang kuat posisinya di sisiku dan aku akan melindungi hak-haknya, insya-Allah.”

“Orang kuat di antara kamu aku pandang lemah posisinya di sisiku dan aku akan mengambil hak-hak mereka yang mereka peroleh dengan jalan yang jahat untuk aku kembalikan kepada yang berhak menerimanya, insya-Allah.”

“Janganlah di antara kamu meninggalkan jihad, sebab kaum yang meninggalkan jihad akan ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT.  Tidaklah suatu bangsa banyak melakukan perbuatan faahisyah (keburukan), melainkan Allah akan menimpakan bala (seksa) kepada mereka seluruhnya.”

“Patuhlah kalian kepadaku selama aku mematuhi Allah dan Rasul-Nya. Jika aku derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya maka tidak ada kewajipan bagi kalian untuk mematuhiku. Kini marilah kita menunaikan solat semoga Allah Subhanahu Wa Taala melimpahkan Rahmat-Nya kepada kita semua.”

Menerusi pidato tersebut, dapat kita ambil pengajarannya bahawa sebagai rakyat, mereka perlulah menjadi ‘penasihat’ atau dengan kata lain ‘pemberi amaran’ kepada pihak berkuasa apabila tersasar daripada laluan yang sepatutnya.

Dalam undang-undang Islam, rakyat diberikan kebebasan untuk mengkritik dan memantau tindakan kerajaan. Dalam istilah Arab, kebebasan ini disebut sebagai hurriyat al-mu’aradah.

Kebebasan yang dimaksudkan di sini ialah boleh melalui nasihat ikhlas, kritikan membina atau dengan tidak mematuhi arahan kerajaan yang salah jika pihak berkuasa itu telah melanggar peruntukan undang-undang Islam.

Sebagaimana dengan prinsip yang terkandung dalam al-Quran, menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran (al-amr bil ma’ruf wan nahyu al-munkar), prinsip ini mewajibkan seseorang Islam mengkritik, mengubah dan membetulkan kezaliman dan kejahatan seseorang atau sesuatu pihak, termasuk kerajaan.

Pendek katanya, terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW tentang hak dan kewajipan ini sehingga ia membentuk tema utama, dan kewajipan dalam pegangan hidup seseorang.

Fakhruddin ar-Razi yang diberi julukan Sultan al-Mutakallimin ialah seorang ilmuwan Muslim berbangsa Parsi melalui Tafsir At-Tahrir wat-Tanwir karya Ibnu Asyur (8: 74) telah mengatakan:

“Jika rakyat ingin terbebas daripada penguasa yang zalim, maka hendaklah mereka meninggalkan kezaliman yang mereka lakukan.” 

Memperjuangkan Kebenaran

Menyoroti isu yang tular hingga membuka mata ramai pihak pada minggu lalu yang melibatkan seorang guru yang juga kakitangan awam dikenakan surat tindakan tatatertib daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), membuktikan bahawa negara kita masih memiliki orang yang baik dan memperjuangkan kebaikan.

Terdahulu, menerusi hantaran status Facebooknya, Cikgu Mohd Fadli Salleh berkata:

“Ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan negara kita, namun orang-orang atasan sana tak nak akui. Dan apa akibatnya? Akibatnya sistem pendidikan negara kehilangan guru-guru hebat yang super berdedikasi.”

“Antaranya guru Adiwira Samuel Issiah. Sangat sedih bila Sam melangkah keluar dari KPM, salah seorang sahabat guru yang sangat aku kasihi dan kagumi. Dan beberapa rakan guru Adiwira lain turut menyuarakan hasrat yang sama.” 

“Negara kita sedang mengalami kerugian yang besar! Ramai guru-guru hebat, guru-guru Adiwira, guru-guru contoh, guru-guru berdedikasi pakat tawar hati dengan sistem pendidikan kita yang langsung tak nak dengar luahan pelaksana.”

Menurutnya, bukan seorang, bukan dua orang tetapi ramai. Mereka ini bukan guru biasa. Mereka guru inspirasi yang menang banyak anugerah, yang banyak menabur bakti, menghabiskan masa dan wang ringgit tanpa berkira, kerana mereka kasihkan pendidikan lebih daripada segala-galanya.

“Sesungguhnya ada yang tidak kena dengan KPM dan mereka tak nak akui,” demikianlah ujar beliau.

Kebangkitan Rakyat

Cikgu Fadli turut berharap agar gelombang kebangkitan rakyat akibat cubaan membuang dirinya daripada sistem ini menjadi titik tolak kepada perubahan dalam KPM agar menjadi lebih disegani dan cemerlang.

“Jujur kata, saya kasih akan pendidikan negara. Namun ada tangan-tangan berkuasa tidak senang melihat adanya guru yang jujur dalam bicara.”

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan mengenai apa yang disampaikan Unit Aduan JPN Selangor beberapa tahun lepas, yang berkata:

“Cikgu pasang ‘lawyer’ macam mana pun, susah nak menang. Kerajaan ada lawyer mereka sendiri. Dan antara taktik mereka ialah melengah-lengahkan perbicaraan sampai bertahun-tahun lamanya, sampai duit cikgu habis dan terpaksa give up.”

Betapa hebatnya kuasa kebenaran yang disampaikan oleh seorang guru ini, hingga statusnya itu diberikan tanda suka lebih 60,000 penyokongnya.

Seorang cikgu Fadli juga dengan sikap tegas dan berprinsipnya berkata;

“Siapa sangka kes saya menggempar satu Malaysia. Saya pun tidak sangka. Hingga ramai ahli politik, menteri bahkan PM turut sama membicarakannya. Ramai tokoh-tokoh ternama, nama besar dalam arena politik turut serta menyatakan sokongan mereka.”

“Terima kasih semua yang ikhlas menyokong. Cuma saya bukan anak kecil yang boleh diperguna oleh mana-mana pihak. Saya tidak teruja dengan tawaran wang ringgit, pangkat dan kedudukan.”

“Saya tidak teruja bila orang ternama, ada kedudukan, ada pangkat menyebut nama saya, mengajak saya berjumpa.  Saya tidak mudah terpedaya dengan janji manis orang politik memuja-muji saya, dan nak tolong saya dengan ikhlas katanya.”

“Kalian yang jujur nak tolong pejuangkan isu pendidikan kita agar disegani dan dihormati, teruskan perjuangan kalian. Masukkan apa saja yang perlu dalam manifesto untuk menarik sokongan rakyat.”

“Silakan guna isu pendidikan atas pentas politik dan ceramah berapi kalian. Sila realisasikan setiap cadangan baik dan bernas untuk kebaikan rakyat Malaysia.”

Selamatkan Nilai Kebebasan

Ahli falsafah Belanda Spinoza dianggap sebagai perintis dalam revolusinya menentang sekatan yang melucutkan jiwa daripada nilai kebebasan. Oleh itu, tidak hairanlah sebilangan besar ahli falsafah mengikuti fikirannya yang bernas.

Hinggakan, Penyair Jerman Goethe sentiasa membawa ke mana-mana buku ‘Etika’, salah satu karya Spinoza yang paling sukar dan lama dihasilkan.

Apa yang menariknya, ahli Falsafah Perancis, Frederic Lenoir mendorong Spinoza untuk menulis bukunya dengan cara geometri. Pada pendapatnya, ahli falsafah Belanda seperti Descartes percaya, bahawa struktur dunia adalah matematik dan pembentangan masalah dan penyelesaiannya adalah lebih lengkap kerana ia dalam bentuk inferens geometri.

Gilles Deleuze pula menggambarkan Spinoza sebagai seorang pemikir bebas, yang mengisytiharkan perang terhadap nilai budaya yang merosak.

Sesungguhnya, apa yang luar biasa tentang keperibadian Spinoza ialah keengganannya untuk berselindung di sebalik topeng, dan beliau tidak menerima tawaran yang dibuat oleh pendeta mazhabnya.

Beliau membelanjakan kerahsiaan pada ideanya sebagai balasan untuk sejumlah wang. Dengan kata mudahnya, beliau lebih suka kemiskinan daripada berbohong, serta suka menegakkan kebenaran.

Lantaran itu, dirinya menjadi orang buangan dalam kalangan pengikut mazhabnya, terutamanya selepas membuat keputusan meninggalkan lingkungan sosialnya dan tinggal di rumah gurunya Van den In, yang kemudiannya beliau dibunuh di Perancis.

Begitulah perjuangan dan prinsipnya untuk sebuah kebenaran. Ia memakan waktu yang bukan sedikit, namun idea-ideanya terus bugar walaupun beliau telah hilang dari dunia.

Seperti apakah pemimpin yang kita perlukan? Tentunya yang berani memperjuangkan kebenaran untuk negara dan rakyatnya walaupun ditindas, dikecam dan seumpama dengannya.

Maka, tugas kita adalah menyelamatkan nilai kebebasan terutamanya berkaitan kebebasan bersuara untuk menyatakan kebenaran perlu diperjuangkan. Apa sahaja penghalangnya, perlu didedahkan apalagi jika ia melibatkan banyak manusia lainnya.

Teruskan Perjuangan

Apa yang pasti, kita dambakan lebih ramai lagi manusia seperti Cikgu Mohd Fadli Salleh ini. Kita perlukan manusia-manusia yang berani menyuarakan kebenaran walaupun di depan sesiapa pun.

Kita perlukan mereka yang tidak kalah dengan ugutan dan ancaman demi memperjuangkan hak kebenaran, apatah lagi untuk generasi seterusnya dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang dihamparkan semata-mata untuk menyelamatkan ‘periuk nasi’ masing-masing.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 ini, sewajarnya sekalian rakyat Malaysia melaksanakan peranan penting mencalonkan dan mengundi calon yang bersih daripada rasuah, pencuri dan tidak amanah. 

Jika terdapat calon demikian walau daripada parti manapun, bersamalah kita tolak agar negara ini dipimpin oleh mereka yang benar-benar berintegriti dan kompeten serta mempunyai semangat untuk membangunkan juga menyelamatkan negara dengan bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, mereka yang terpilih menjadi pemimpin perlu mempunyai jiwa yang terbuka, bersedia mendengar segala aduan dan luahan rakyat tanpa memilih siapa pun mereka. 

Moga dengan ini, negara ini mampu kembali sejahtera di bawah pemerintahan yang lebih baik daripada sebelum ini, insya-Allah.

Ayuh, bersama selamatkan Malaysia.

Atriza Umar

Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia